Mei 17, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

UiTM Negeri Sembilan: Model Sumbangan Universiti kepada Masyarakat Setempat

Oleh: Ahmad Ismail FASc

UiTM Negeri Sembilan dengan tiga kampus utamanya—Kuala Pilah, Rembau dan Seremban—boleh menjadi contoh bagaimana sebuah universiti bukan sekadar menara gading, tetapi nadi pembangunan masyarakat. Kehadiran UiTM di bumi Negeri Sembilan membawa makna besar: ia bukan hanya melahirkan graduan, tetapi membina komuniti yang berdaya tahan, berpengetahuan dan berdaya saing.

Peranan UiTM dalam membangunkan masyarakat bumiputera dan rakyat tempatan tidak terbatas kepada bilik kuliah. Setiap kampus memiliki kekuatan tersendiri yang boleh digembleng untuk manfaat bersama, menjadikan UiTM sebagai pusat ilmu, inovasi dan khidmat masyarakat. Kekuatan ini sesuai dengan seruan pendidikan tinggi melatih pelajar untuk mencipta kerjaya.

Di Kampus UiTM Kuala Pilah yang memberi fokus utama pada program sains dan teknologi, juga mengetengahkan bidang biologi, ekologi dan alam sekitar. Kedudukannya berhampiran hutan tropika dan kawasan kaya dengan kepelbagaian biologi memberi peluang unik kepada pelajar untuk belajar secara amali. Mereka bukan sekadar membaca teori, tetapi turun ke lapangan, meneliti flora dan fauna, memahami interaksi ekologi, dan menilai fungsi habitat semula jadi. Pendekatan ini menjadikan ilmu lebih bermakna, sementara masyarakat setempat turut mendapat manfaat melalui program kesedaran kepelbagaian biologi, lawatan pendidikan dan projek pemuliharaan.

Di Kampus Seremban, fokus diberikan kepada pentadbiran, pengajian polisi, sains pengkomputeran dan bidang sukan. Isu pencemaran plastik di Sungai Linggi dan perkara berkaitan boleh dijadikan kajian kes untuk pelajar menilai cabaran pelaksanaan dasar. Melalui simulasi perkomputeran, perbincangan dan projek komuniti, mereka bukan sahaja memahami kelemahan polisi, tetapi juga boleh mencadangkan penyelesaian yang lebih berkesan. UiTM Seremban melahirkan graduan yang bukan sekadar mahir dalam teori, tetapi mampu menghubungkan dasar dengan realiti masyarakat, sekali gus menjadi penggerak kesedaran dan penasihat kepada pihak berkuasa tempatan.

Kampus Rembau pula mengangkat bidang komunikasi, pengajian media, teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI). Di sinilah pelajar dilatih untuk menjadi pencetus perubahan melalui teknologi. Mereka boleh membangunkan aplikasi digital, menghasilkan infografik, video pendek atau kempen media sosial yang menyampaikan mesej penting kepada masyarakat. Integrasi AI pula membuka ruang baharu untuk menganalisis data kepelbagaian biologi dan menilai keberkesanan polisi, menghubungkan ekologi dengan teknologi moden. Kampus UiTM Rembau paling menghadapi cabaran masa hadapan dalam era AI dan perkongsian maklumat yang kompleks. Graduan mesti lengkap pengetahuan asas, kreatif dan inovatif serta mempunyai kemahiran tinggi dalam mengendalikan teknologi.

Apabila peranan ketiga-tiga kampus ini digabungkan, UiTM Negeri Sembilan boleh membentuk model sinergi universiti–komuniti yang unik. Misalnya pelajar biologi mengumpul data lapangan, pelajar polisi menganalisis dasar, manakala pelajar komunikasi menyebarkan mesej tepat kepada masyarakat. Gabungan ini memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran, sambil memberi impak nyata kepada komuniti setempat.

Kerjasama dengan pihak korporat, NGO dan majlis kerajaan tempatan akan memastikan program yang dijalankan berkesan dan berterusan. UiTM Negeri Sembilan berpotensi menjadi rujukan nasional tentang bagaimana universiti berperanan sebagai pusat pembangunan masyarakat dan melahirkan graduan yang berkualiti serta terus dapat berfungsi dalam masyarakat. Dengan kepimpinan kampus yang berwawasan, dan pensyarah yang berkemahiran, UiTM mampu memperkasa masyarakat bumiputera dan rakyat tempatan agar tidak ketinggalan dalam era teknologi komunikasi dan AI.

UiTM Negeri Sembilan bukan sekadar membina ilmu. Ia membina masyarakat. Ia membina masa depan.