Mei 24, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

100 Tahun Usia Tun M: Warna-Warni Kepimpinannya

Sempena sambutan ulang-tahun kelahiran ke-100 tahun, YABhg Tun Dr Mahathir Mohammad, aka Tun M, izinkan saya berkongsi dengan warga MPM, pengalaman kami bersama beliau sejak MPM diasaskan penubuhannya pada 24 Disember 2009.

Peluang pertama saya wakili MPM dan berkesempatan bersama Tun M ialah menerusi keanggotaan saya dalam Panel Pemikir, Yayasan Kepimpinan Perdana yang Tun M sendiri pengerusikan. Ada sama dalam Panel itu termasuklah Arwah Tun Mohamad Hanif Omar, Arwah Tan Sri Mohamd Ali  Hashim, Arwah Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, Arwah Prof Emeritus Dato Dr Mahadzir Mardan, Tan Sri Prof Emeritus Dr Sharifah Habsah dan Datuk Zuraidah Atan. 

Banyak pengalaman yang kami timba semasa berada dalam Panel itu. Salah satu darinya ialah Tun M akan karang dan utus warkah kepada Perdana Menteri ketika itu, akan hasil dan pandangan para ahli Panel berkaitan isu-isu semasa kepentingan negara, yang kami bincangkan.

Dari situ MPM berpeluang mendampingi Tun M lebih rapat.

Saya masih ingat, apabila saya dan Dato Faridah ajukan permintaan untuk Tun M bersama kami bantu BN harungi PRU13. Beliau secara sepontan setuju. Hatta beberapa forum dan sesi townhall diadakan yang mana Tun M jadi panelist utamanya.

Foto itu ialah forum anjuran UMNO Selangor di Meru. Tun M adalah Panelist Utama manakala saya selaku Moderatornya.

Tun M juga passionate sertai townhall engagement kami anjur bersama generasi muda, tajaan MARA di Hotel Primera. Sdr Kamarul selaku Moderator manakala saya temani Tun M, figura utama sesi townhall itu.

Julung-julung kalinya MPM anjurkan Forum Negara di Dewan Negara Parlimen Malaysia. Tun M jugalah Panelist Utamanya, bersama Tun Hamid Mohamad (mantan Ketua Hakim Negara) dan Arwah Tan Sri Mohamad Ali Hashim (mantan CEO JCorp). Malangnya Perdana Menteri ketika itu dan Timbalan beliau, tidak sudi luangkan masa hadir bersama kami.

Sebaik saja selesai PRU13, hubungan Tun M dengan Perdana Menteri ketika itu mula dingin.

Sekitar Jun 2015 saya dapat mesej dari pejabat beliau yang Tun M nak berjumpa saya dan Dato Faridah. Tujuannya kami tak tahu.

Setibanya di YKP saya terus ke pejabatnya manakala Dato Faridah singgah sekejap berbual dengan Tan Sri Bad.

Saya yang terus masuk dan duduk depan Tun M, tergamam lihat beliau menitiskan air mata. Saya tidak bertanya, duduk diam terus menatap wajah beliau.

Sebaik saja Dato Faridah masuk sertai kami berdua, beliau tanpa bertanya, terus menangis melihat Tun M menitiskan air mata.

Seingatan kami, Tun M seraya berkata selepas lama semuanya diam, katanya: Saya dah tulis surat kepada Najib, menarik diri dari menyokong  beliau.

Tidak banyak yang kami bualkan selepas beliau berkata demikian.

Kami sekadar mendengar alasan beliau bertindak demikian.

Kami pun beredar.

Lepas dari saat itu Panel Pemikir yang pernah kami adakan pertemuan setiap bulan pun akhirnya senyap tanpa berita.

Yang kita semua tahu ialah selepas itu krisis perseteruan diantara keduanya memuncak sehinggalah Tun M dapat membentuk pakatan Bersatu-Pakatan Rakyat membentuk Pakatan Harapan dan berjaya menumbangkan Kerajaan BN.

Selang dua minggu selepas Tun M terajui Kerajaan PH, melalui Sr Akramsyah Sanusi, saya utus memorandum untuk beliau pastikan ianya terus diterima oleh Tun M.

Sdr Akramsyah kirim foto kepada saya yang beliau telah jalankan amanah itu.

Tak semena-mena saya terima mesej dari EPU menyatakan YBM Menteri Ekonomi, YB Dato Seri Azmin Ali hendak berjumpa kami sehari selepas Raya Eid Adha.

Maka hadirlah saya ke pertemuan itu ditemani Dato Faridah dan Hj Razak Kassim.

YB Dato Seri Azmin yang ditemani CEO TERAJU dan TKP EPU, tunjukkan memorandum yang saya utuskan kepada Tun M dan tertulis diatasnya memo mengarahkan YB Dato Seri Azmin berjumpa kami dan beri penghormatan kepada MPM untuk bentangkan syornya mengenai Kemakmuran Negara Diterajui Bumiputera, di KBN 2018, anjuran Kementerian Ekonomi.

Terima kasih Tun M kerana amenghargai kami di MPM.

Selepas itu, dek kerajaan PH pimpinannya sentiasa bergelora, kami pun semacam hilang punca ke manakah akan MPM dibawa sebagai institusi pemikir bangsa dan institusi bina daulah bangsa, agama dan negara.

Sejak itu kami di MPM kurang dapat kesempatan bertemu secara fizikal dengan Tun M.

Pun begitu, bilamana kami merasakan perlu bersua Tun M, saya akan hubungi YB Dato Seri Mukhriz untuk aturkan pertemuan langsung kami dengan Tun M.

Kami sentiasa mengikuti setiap cerita mengenai Tun M, baiknya atau sebaliknya, dari cerita-cerita yang dipaparkan di media massa atau di media sosial.

Seperti kata Prof Makoto Tsuruki dari Keio University, yang saya sempat berdamping dengannya, sekitar tahun 1980, yang ketika itu beliau sering berkunjung ke pejabat Tun M di Kompleks Jalan Dato Onn. Kata beliau, Dr Mahathir is a manager, more than a politician. He manages the country. If the country is calm and steady he will stir it to create lively ripple, wave or even storm. Or else no one will remember that Malaysia exist. Even worst if it is not stirred, its growth will be stagnant.

Selamat sambut ulangtahun hari kelahiran ke-100 kepada Tun M. Hendaknya terus harungi kehidpuan yang berwarna-warni.

Dato Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM

CEO, The Global Academy @ MPM

10 Julai 2025