November 29, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Kepercayaan dan Agama Sebagai Asas Kelestarian Alam Sekitar

Oleh Ahmad Ismail

Dalam era pembangunan yang semakin dipacu oleh pertumbuhan ekonomi, keuntungan jangka pendek dan persaingan menguasai sumber, manusia semakin cenderung melihat alam sekitar sebagai komoditi yang boleh dieksploitasi tanpa had.

Hutan dinilai berdasarkan hasil kayu, sungai diukur melalui nilai ekonominya, manakala tanah dianggap aset pembangunan semata-mata. Akibatnya, kestabilan ekosistem, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian kepelbagaian biologi sering diketepikan.

Sebelum munculnya konsep pembangunan lestari, perubahan iklim dan kesihatan planet, agama dan kepercayaan serta budaya telah lama mengajar manusia bahawa alam semula jadi ialah asas kehidupan yang perlu dipelihara.

Hampir semua agama utama dunia menegaskan bahawa manusia bukan pemilik mutlak bumi, tetapi penjaga yang dipertanggungjawabkan mengurus sumber alam secara berhemah. Dalam Islam, manusia diangkat sebagai khalifah yang diberikan amanah untuk memakmurkan bumi tanpa melakukan kerosakan.

Al-Quran berulang kali mengingatkan bahawa keseimbangan alam adalah sebahagian daripada ketentuan Tuhan dan manusia dilarang merosakkannya. Air, udara, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan keseluruhan sistem ekologi diwujudkan bagi menyokong kehidupan. Apabila manusia melampaui batas melalui pencemaran, pembaziran dan eksploitasi berlebihan, keseimbangan ini akan terganggu lalu membawa pelbagai musibah yang akhirnya menimpa manusia sendiri.

Dalam tradisi Hindu, alam semula jadi mempunyai hubungan yang rapat dengan kerohanian manusia. Sungai, gunung, pokok dan pelbagai unsur alam dihormati sebagai sebahagian daripada kehidupan yang suci. Prinsip yang tidak melakukan kemudaratan kepada mana-mana makhluk hidup, menggalakkan penghormatan terhadap alam dan semua bentuk kehidupan. Begitu juga dalam ajaran Buddha yang menekankan kesederhanaan, belas kasihan dan kesedaran bahawa semua makhluk saling bergantung antara satu sama lain. Sifat tamak dan kerakusan terhadap alam dianggap punca kepada penderitaan.

Agama Kristian pula menekankan konsep amanah terhadap ciptaan Tuhan. Manusia diberikan tanggungjawab untuk menjaga bumi dan segala isinya, bukannya mengeksploitasi sumber semula jadi untuk kepentingan diri tanpa batas. Pemeliharaan alam sekitar dilihat sebagai tanggungjawab moral demi kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan.

Amalan masyarakat Orang Asli dan komuniti peribumi yang bergantung secara langsung kepada alam semula jadi untuk mendapatkan makanan, ubatan, bahan binaan, pakaian dan sumber kehidupan lain bukan sekadar ekonomi, tetapi juga budaya, sosial dan spiritual.

Masyarakat Orang Asli mengamalkan pelbagai adat, pantang larang dan etika penggunaan sumber yang diwarisi turun-temurun. Mereka memburu sekadar keperluan, mengambil hasil hutan secara berhemah, menghormati musim pembiakan hidupan liar dan memahami had kemampuan alam untuk terus menyokong kehidupan. Pengurusan sumber lestari dan pemuliharaan kepelbagaian biologi sebenarnya telah lama diamalkan oleh komuniti peribumi.

Kebimbangan global mengenai perubahan iklim, kehilangan kepelbagaian biologi, keselamatan makanan dan kesihatan planet telah lama difahami oleh masyarakat peribumi. Mereka mengetahui bahawa kemusnahan hutan akan menjejaskan sumber air, kehilangan spesies akan mengganggu rantaian makanan dan pencemaran alam akan mengancam kesihatan manusia. Bagi mereka, melindungi alam bermakna melindungi kehidupan itu sendiri.

Namun, pembangunan moden sering mengabaikan nilai agama dan kebijaksanaan tradisional ini. Hutan diteroka secara berlebihan, cerun bukit ditarah tanpa kawalan, tanah lembap ditimbus dan sungai dijadikan saluran pembuangan sisa atas nama pembangunan. Dan teknologi.

Keuntungan diperoleh oleh segelintir pihak, tetapi kos kerosakan alam ditanggung oleh seluruh masyarakat. Banjir besar, tanah runtuh, pencemaran air, cuaca ekstrem dan kehilangan kepelbagaian biologi menjadi harga yang terlalu mahal untuk dibayar.

Justeru, penyelesaian kepada krisis alam sekitar tidak boleh bergantung kepada teknologi, undang-undang dan dasar semata-mata. Apa yang lebih penting ialah mengembalikan nilai kepercayaan, agama dan budaya sebagai asas pembangunan negara.

Pendidikan alam sekitar perlu diperkukuhkan dengan nilai amanah, kesederhanaan, rasa hormat terhadap alam dan tanggungjawab antara generasi. Pembangunan tidak seharusnya dipandu oleh kerakusan mengaut keuntungan, tetapi oleh kesedaran bahawa kesejahteraan manusia bergantung kepada kestabilan ekosistem.

Akhirnya, agama, kepercayaan dan kebijaksanaan tradisional mengingatkan kita bahawa alam sekitar bukan sekadar sumber untuk dieksploitasi tetapi amanah yang perlu dipelihara. Jika manusia benar-benar menghayati nilai ini, pembangunan dilaksanakan secara lebih seimbang, ekosistem dapat dikekalkan dan kepelbagaian biologi terus terpelihara.

Alam yang sihat menjamin kehidupan yang sejahtera, manakala alam yang rosak akan terus mengundang bencana. Kelestarian hanya dapat dicapai apabila kepercayaan, agama dan tanggungjawab moral terhadap alam menjadi kompas utama dalam setiap keputusan pembangunan, bukannya keuntungan dan kerakusan yang tidak mengenal batas.