November 29, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Kebijaksanaan, Keberanian & Sergahan

Khamis lepas, 26 November 2026, saya turut diberi penghormatan oleh Kelab Rakan Kebijaksanaan (KRK) pimpinan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, untuk berbicara di Persidangan Mejabulat Wisdom, dengan tema ‘Kebijaksanaan Dalam Masyarakat Majmuk’.

KRK tampilkan tiga tokoh terbilang sebagai Pembicara Utama, manakala saya bersama Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Dr Mahadzirah Mohamad, sebagai Pembicara Pelengkap. Kami bertiga bukan sekadar memperakui dan menokok-tambah hujah oleh tiga tokoh utma itu. Kami diberi amanah untuk memperkuatkan justifikasi pembinaan kebijaksanaan anak watan, menerajui agenda kemakmuran negara, dalam masyarakat majmuk yang amat unik formula perpaduannya.

Tan Sri Alimuddin membicarakan aspek kebijaksanaan anak watan dari perspektif pendidikan. Sejak anak watan berjaya memperolehi kembali hak  memerintah dan mentadbir negara dari penjajah terakhir, iaitu British, banyak sumbangan bidang pendidikan dalam mencorakkan agenda kemakmuran negara ini. Menerusi falsafah dan agenda pendidikan yang jelas, terancang dan dilaksana kemas, berlakulah beberapa anjakan paradigma, terutama mobiliti sosial yang amat signifikan, mengeluarkan banyak keluarga daif dari belenggu kemiskinan. Begitulah bijaksananya para pemimpin dan eksekutif terdahulu, majoriti mereka itu adalah anak watan.

Datuk Dr Zakariah pula berhujah sebagai pakar ekonomi. Sekalipun sekadar sempat berbicara mengenai impak kepada tindakan kerajaan menetapkan dasar gaji minimum, senario yang beliau cuba kongsikan, agak mencemaskan juga. Bayangkan, setelah hampir 70 tahun merdeka, jurang ekonomi antara kaum semakin ketara. Usaha menguncupkannya menerusi perlaksanaan beberapa dasar, terutama DEB 1970, nampaknya kurang berimpak. Secara purata, anak watan masih berstatus warganegara kelas ketiga, tercicir bukan saja kepada kaum Cina, malah kaum India.

Tiba giliran Prof Dr Mohamad. Beliau memberikan pandangan dari aspek sains sosial, akan kedudukan serta peranan anak watan dalam menerajui usaha membina kemakmuran dalam masyrakat majmuk, yang dilihat semakin kompleks.

Beliau mentakrifkan wisdom sebagai usaha dikalangan anak watan cuba berdamai dengan keadaan, atau berdamai dengan kepelbagaian. Pelbagai usaha itu lebih terjurus kepada tindakan bagi mengurangkan kegagalan dan bersifat ‘fire-fighting’.

Nah, bila kita berdepan dengan gelombang globalisasi, yang terkini berbentuk ancaman geopolitik dan geoekonomi,  sesama kita anak watan pun, membina persepsi berbeza. Ia dirumitkan lagi dengan pelbagai ancaman buatan oleh mereka bukan dikalangan anak watan. Sejak kebelakangan ini mereka senantiasa mencetuskan kepelbagaian, seolah-olah ingin menambahkan kegagalan, sekaligus menyusahkan usaha berdamai sesama kita.

Nada pembicara ketiga itu nampaknya meningkatkan suhu perbincangan di Persidangan ini.

Apabila giliran Tan Sri Dr Aziz berbicara, secara sepontan beliau menyergah kekyusukan, sekaligus meningkatkan lagi suhu Persidangan. Hujah beliau,  kelunturan kesungguhan politik dikalangan pemimpin politik anak watan nampaknya menjadi pemangkin utama menyebabkan semakin sukar kita semua membina kebijaksanaan mutlak bagi mencorakkan kembali budaya perpaduan masyarakat majmuk. Kita adalah kaum majoriti tetapi kuasa politik bukan ditangan kita. Manakan mungkin kita mampu mencorakkan warna-warna perpaduan yang dihajatkan. Hajat mereka dikalangan kaum minoriti itu tidak sama sepertimana kita. Mereka adalah golongan cauvinis yang sengaja mengeruhkan keadaan untuk mereka mudah ‘menangguk di air keruh’. Itu nawaitu mereka.

Pengakhir mukadimahnya, Tan Sri Dr Aziz menyeru, menjelang PRU 16 ini, anak-anak watan hendaklah terlebih dahulu perkukuhkan kesungguhan politik sesama mereka, jika ingin melihat negara ini benar-benar aman makmur dan rakyatnya sejahtera, secara adil dan saksama.

Bila tiba giliran saya pula berbicara, saya juga terikut-ikut rentak Tan Sri Dr Aziz, menyergah rentak persidangan. Secara kebetulan, saya baru saja sertai mesyuarat di MPM mengenai hasrat para warganya untuk mengangkat kembali Perkara 153 Perlembagaan Pesekutuan, sebagai landasan utama bagi negara ini melakukan structural reform yang sebenarnya. Bagi kami, kemakmuran hanya akan tercapai apabila anak watan, yang merupakan 70% penduduk bumi bertuah ini, bijaksana dan berani menerajui kepimpinan negara dengan segala sifat-sifat mahmudah.

Untuk itu, MPM akan desak semua institusi anak watan membina the common mind,  bagi sama-sama menjadikan, bukan saja Perkara 153 ini, malah keseluruhan peruntukan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai asas untuk melakukan the structural reform secara menyeluruh.

Sepatutnya, sebaik saja Perjanjian Perlembagaan Persekutuan dimeterai pada 5 Ogos 1957, oleh dua pihak utama, Majlis Raja-raja Melayu dengan Pentadbir British, itulah masa terbaik dilakukan total structural reform. Malangnya, pemerintah dan pemimpin dikalangan anak watan ketika itu terlalu accomodating dan bersangka baik, terhadap lain-lain kaum.

Sejarah tidak dapat dikitar-semula. Lupakanlah hasrat sedemikian. Dalam keadaan semasa, adalah mustahil untuk total structural reform dapat dilakukan.

Namun, kami di MPM akan tetap ajukan usul itu dan akan desak semua institusi politik anak watan memasukkan tuntutan Perkara 153 ini sebagai kandungan utama manifesto PTU 16 mereka.

Jika tidak, kita semua anak-anak watan, ketandusan sergahan yang mampu mengganggu mimpi mereka.

Hari ini, rata-rata anak-anak watan, termasuk generasi saya yang berada di ambang senja, leka dalam sindrom penafian. Kita asyik berbicara hasrat peralihan kuasa politik, tatkala saban hari kita dihujani pelbagai serangan siber, yang dihasilkan di negara jiran. Mereka tumpukan serangan dengan satu sentimen utamanya, iaitu, 20 juta Melayu bergantung hidup kepada 7 juta kaum Cina yang gigih membina ekonomi negara ini, tetapi dinafikan kesaksamaan hak dan peluang, dek adanya begitu banyak hak-hak istimewa diutamakan kepada anak watan. Itu naratif yang mereka bina dan hebahkan.

Hendaknya generasi saya ini tidak dilihat sebagai generasi dinasour yang dah tak relevan, yang anak-cucu sendiri pun enggan kongsi the common mind dengan kita. Malah, mereka secara terbuka dan berani mempertikaikan beberapa perkara yang terang-terang bercanggah dengan semangat terkandung dalam ideologi nasional, iaitu Rukun Negara.

Di penghujung Persidangan, apabila sekali lagi saya diminta memberikan inputs terakhir untuk direkodkan ke dalam Dapatan Persidangan, saya ulangi akan hasrat MPM untuk dengan segera hasilkan resolusi, bagi diagihkan kepada semua parti politik anak watan, bagi dimasukkan ke dalam manifestro PRU 16 mereka. Terpulanglah kepada mereka untuk pertimbangkannya. Apa jua hasilnya, MPM akan terus-menerus berusaha menyergah anak-anak watan akan hak-hak mereka yang terkandung dalam Perkara 153. Ia adalah collateral kepada consent kita kepada pemerintah memberikan hak kerakyatan dan hak mengundi kepada kaum-kaum ini, secara abadi (perpetual).

Jika hak kerakyatan dan mengundi mereka perolehi secara abadi, mengapa hak anak watan dalam Perkara 153 diabaikan oleh pemerintah dan kini dijadikan bahan lawak oleh kaum-kaum ini. Mereka semakin berani menyergah kita.

Jika itu hakikatnya, maknanya, kita ini hanya akan benar-benar bijaksana, apabila kita benar-benar berani bertindak menuntut apa yang hak kepada kita, serta berani menyergah mereka untuk tidak mencuit apa yang hak kepada kita. Selagi tiada keberanian dan sergahan itu, selagi itulah kebijaksanaan dikalangan kita anak watan belum sempurna terbina.