Wartawan mempunyai peranan yang amat penting dalam masyarakat. Mereka memastikan orang ramai mengetahui apa yang berlaku di sekeliling mereka melalui pelbagai berita yang mereka tulis atau lapor dalam akhbar, televisyen, radio, portal berita dan media sosial. Wartawan bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi memastikan maklumat yang disampaikan adalah benar, tepat dan sahih. Wartawan membawa satu amanah besar kerana berita yang mereka laporkan mampu membentuk pemikiran, keputusan dan tindakan masyarakat.
Oleh Mohamad Letfee Ahmad
Prinsip utama kewartawanan ialah menyampaikan maklumat tanpa sebarang manipulasi fakta.
Wartawan yang berintegriti tidak mengubah fakta semata-mata untuk menarik perhatian pembaca atau mengejar jumlah tontonan.
Tajuk berita yang sensasi tetapi tidak menggambarkan keadaan sebenar, akan menghakis kepercayaan masyarakat.
Oleh itu, ketepatan dan kejujuran perlu menjadi asas dalam setiap laporan.
Tanggungjawab tersebut menjadi lebih besar apabila berita yang dilaporkan melibatkan kepentingan awam.
Kepentingan prinsip ini dapat dilihat ketika kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 8 Mac 2014.
Peristiwa yang menggemparkan itu mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai nasib pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Dalam keadaan maklumat rasmi masih terhad, pelbagai dakwaan tidak berasas mula tersebar melalui laman sosial, blog dan platform perkongsian video.
Penulis sendiri turut berhadapan dengan tekanan semasa menguruskan penyiaran berita kejadian itu ketika mengetuai Jabatan Berita, Bernama Radio.
Pada hari ke-11 kejadian tersebut, Pusat Bantuan Kecemasan dan Tindak Balas Kebangsaan Malaysia (MyCERT) mengeluarkan amaran bahawa maklumat kononnya pesawat MH370 telah ditemukan, merupakan berita palsu yang mengelirukan.
Peristiwa tersebut memperlihatkan betapa pentingnya wartawan membezakan antara fakta yang telah disahkan dengan khabar angin.
Dalam tragedi yang melibatkan kehilangan nyawa, penyebaran maklumat tidak sahih boleh memberikan harapan palsu kepada waris yang sedang menunggu berita.
Antara Fakta dengan Spekulasi
Berita mengenai keselamatan, ekonomi, pendidikan, kesihatan, alam sekitar atau isu sosial boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat.
Dalam keadaan sedemikian, wartawan perlu berhati-hati ketika mendapatkan dan mengesahkan maklumat.
Wartawan perlu membezakan antara fakta, pendapat, dakwaan dan spekulasi supaya orang ramai tidak membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang belum disahkan.
Peranan kewartawanan dalam hal ini dapat dilihat melalui liputan antarabangsa mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Skandal kewangan tersebut menjadi antara isu tadbir urus paling besar yang mendapat perhatian masyarakat Malaysia dan dunia.
Pada 15 Mei 2018, agensi berita Reuters menerbitkan laporan penyiasatan berdasarkan maklumat seorang anggota panel yang meneliti fail kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Laporan itu menyatakan bahawa panel berkenaan mendakwa terdapat bukti pemindahan RM42 juta daripada akaun Ihsan Perdana Sdn. Bhd. ke akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mengemukakan persoalan mengenai tindakan susulan terhadap bukti tersebut.
Ihsan Perdana ialah syarikat yang mengendalikan program tanggungjawab sosial korporat 1MDB. Najib pula secara konsisten menafikan sebarang pembabitan dalam kes berkenaan.
Contoh ini menunjukkan bagaimana tanggungjawab wartawan untuk meneliti isu yang rumit, mendapatkan dokumen, mengenal pasti sumber yang boleh dipercayai dan memberikan ruang kepada pihak yang dinamakan untuk menjawab dakwaan.
Laporan yang baik tidak seharusnya bergantung pada tuduhan semata-mata. Sebaliknya, ia perlu membezakan dengan jelas antara fakta yang didokumenkan, dakwaan sumber, penjelasan pihak berkaitan dan perkara yang masih memerlukan siasatan.
Dengan pendekatan sedemikian, media dapat membantu masyarakat memahami isu kepentingan awam tanpa menjatuhkan hukuman berdasarkan persepsi semata-mata.
Dalam konteks ini, kewartawanan ialah satu bentuk amanah sosial.
Amanah ini semakin mencabar dalam era digital. Perkembangan teknologi membolehkan sesuatu berita tersebar dalam masa beberapa saat.
Wartawan juga bertanggungjawab memastikan bahawa hak masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang sahih tidak dinafikan.
Masyarakat yang mempunyai akses kepada maklumat yang sahih lebih berupaya memahami sesuatu isu, menilai keadaan secara rasional dan membuat keputusan yang tepat.
Sebaliknya, masyarakat yang terdedah kepada maklumat palsu atau mengelirukan mudah dipengaruhi oleh khabar angin, propaganda dan manipulasi.
Sesiapa sahaja boleh merakam video, menulis hantaran atau berkongsi maklumat kepada ribuan pengguna melalui media sosial.
Keadaan ini memberikan manfaat kerana masyarakat boleh mendapatkan maklumat dengan pantas.
Namun, kepantasan tersebut turut membawa risiko apabila maklumat yang belum disahkan tersebar lebih cepat daripada fakta sebenar.
Pengalaman Malaysia ketika pandemik COVID-19 pada tahun 2020 memperlihatkan kesan buruk penyebaran berita palsu.
Pada 31 Januari 2020, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan bahawa sebanyak 18 berita palsu berkaitan jangkitan koronavirus ketika itu telah ditangani dan diberikan penjelasan melalui portal Sebenarnya.my.
Maklumat tidak sahih mengenai penyakit berjangkit boleh mencetuskan panik, menjejaskan keyakinan masyarakat dan menyebabkan orang ramai mengambil tindakan yang tidak bersandarkan nasihat kesihatan yang betul.
Dalam keadaan krisis kesihatan, wartawan perlu memastikan laporan mereka berpandukan maklumat yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak yang mempunyai kepakaran berkaitan.
Sebarang statistik dan perkembangan mengenai sesuatu wabak serta maklumat mengenai rawatan perlu disahkan sebelum diterbitkan.
Wartawan Menghubung Masyarakat dengan Pihak Berkuasa
Wartawan juga berperanan sebagai penghubung antara masyarakat dengan pihak yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab.
Melalui laporan yang berasaskan fakta, wartawan dapat membawa isu dan suara rakyat kepada perhatian pihak berkuasa.
Masalah yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat dapat diketengahkan melalui pemberitaan.
Pada masa yang sama, tindakan atau keputusan pihak berkuasa boleh diteliti dan dipersoalkan secara terbuka terutama bagi isu yang ada kaitan dengan kepentingan awam.
Wartawan juga perlu mengelakkan tajuk yang membangkitkan ketakutan secara berlebihan.
Tanggungjawab mereka bukan sekadar melaporkan perkembangan terkini, tetapi membantu masyarakat memahami risiko berdasarkan bukti dan penjelasan yang tepat.
Dalam persaingan untuk menjadi pihak pertama yang melaporkan sesuatu kejadian, wartawan mungkin berdepan tekanan untuk menerbitkan berita dengan segera.
Namun, wartawan tidak seharusnya mengorbankan prinsip ketepatan semata-mata kerana ingin mendahului pesaing.
Lebih baik sesuatu berita diterbitkan selepas fakta disahkan daripada menjadi laporan terawal tetapi mengandungi kesilapan yang boleh mengelirukan masyarakat.
Sekiranya kesilapan berlaku, wartawan dan organisasi media perlu bersedia membuat pembetulan secara terbuka, jelas dan bertanggungjawab.
Kesediaan mengakui kesilapan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan integriti serta profesionalisme sesebuah organisasi media.
Namun, wartawan perlu sentiasa meletakkan kepentingan awam sebagai pertimbangan utama.
Kebebasan Media atau Kepentingan Awam?
Kebebasan media akan kehilangan maknanya jika berita boleh dipengaruhi oleh kepentingan peribadi, politik atau komersial sehingga fakta diketepikan.
Kebebasan tersebut perlu disertai tanggungjawab.
Wartawan tidak boleh menggunakan kebebasan media sebagai alasan untuk menerbitkan maklumat yang tidak disahkan atau menceroboh privasi seseorang tanpa alasan yang munasabah.
Sensitiviti terhadap mangsa, keluarga dan individu yang terlibat dalam sesuatu peristiwa juga penting.
Cara sesuatu berita dilaporkan boleh memberi kesan yang besar kepada kehidupan seseorang.
Oleh itu, wartawan perlu mengimbangi hak masyarakat untuk mengetahui dengan keperluan melindungi maruah dan kepentingan individu.
Wartawan yang baik juga tidak seharusnya hanya melaporkan sesuatu kejadian, tetapi turut membantu masyarakat memahami konteks di sebalik sesuatu isu.
Sebuah berita mengenai kenaikan harga, misalnya, bukan sekadar menyatakan bahawa harga sesuatu barangan meningkat.
Sebaliknya, sesuatu laporan akan menjadi lebih bermakna apabila disertai penjelasan mengenai faktor yang menyumbang kepada kenaikan tersebut.
Laporan berkenaan sudah pasti akan menghasilkan kesan positif kepada pengguna.
Dengan cara ini, kewartawanan bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah meningkatkan tahap kefahaman masyarakat terhadap sesuatu isu.
Kesedaran masyarakat amat penting kerana media tidak boleh berdiri sendiri.
Di samping itu, pembaca dan penonton juga perlu mempunyai sikap kritis terhadap maklumat yang diterima.
Mereka perlu membandingkan sumber, memeriksa tarikh penerbitan dan tidak terburu-buru berkongsi berita yang belum dipastikan kesahihannya.
Hubungan antara wartawan dengan masyarakat seharusnya berasaskan kepercayaan yang dibina melalui ketelusan dan tanggungjawab kedua-dua pihak.
Pada akhirnya, kekuatan sesebuah masyarakat bergantung pada kualiti maklumat yang diterimanya.

More Stories
Malaysia Becomes a Reference Point for Libya: Knowledge Sharing to Strengthen Social and Community Development
Malaysia Menjadi Sumber Rujukan Libya: Perkongsian Ilmu Memperkasa Pembangunan Sosial dan Komuniti
Apabila Orang Berdosa Menegur Dosa: Siapakah Sebenarnya Layak Menegakkan Kebenaran?