Oleh Nizal Mohammad
Pagi Yang Kita Kongsi
Apakah ertinya hidup berjiran, jika keluh di sebelah rumah tidak sampai ke hati kita?
Ada pagi, kita membuka tingkap seperti biasa. Kemudian, terhidu bau itu.
Kita terdiam seketika. Mata mencari langit. Bangunan di kejauhan kelihatan samar. Lalu, perlahan-lahan, tingkap ditutup kembali.
Di sebuah rumah, seorang ibu membatalkan rancangan membawa anaknya ke taman. Di rumah yang lain, seorang ayah mengingatkan orang tuanya supaya berehat sahaja, tangguhkan dahulu berjalan pagi.
Anak kecil bertanya mengapa hari ini tidak boleh bermain di luar. Kita mencari jawapan yang mudah untuk diterimanya.
Di seberang sana, lebih dekat dengan tanah yang terbakar, ada keluarga yang sedang melalui pagi yang sama. Barangkali asap di halaman mereka lebih tebal. Barangkali sudah lebih lama mereka menunggu untuk melihat langit kembali cerah.
Sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan, sebelum hujah berbalas dan kebanggaan negara dipertaruhkan, ada kehidupan kecil yang sedang terganggu.
Ada orang yang sekadar mahu menjalani harinya. Ada orang yang mahu menarik nafas dengan tenang.
Wajah-wajah inilah yang perlu kita bawa bersama setiap kali berbicara tentang jerebu.
Supaya dalam kesibukan mempertahankan pendirian, kita tidak tercicir daripada memahami penderitaan dan menghayati kepedulian.
Budi di Sebelah Pagar
Sejak kecil, kita mengenal suatu tertib dalam hidup berjiran.
Apabila jiran sakit, kita memperlahankan suara. Apabila mereka bermusafir, kita menjenguk rumahnya. Kalau buah di pokok kita menjadi, ada bahagiannya yang sampai ke sebelah pagar.
Dan sekiranya sesuatu dari halaman kita menyusahkan mereka, kita cuba menguruskannya.
Mungkin dengan sedikit rasa serba salah. Mungkin juga kita sendiri belum tahu bagaimana hendak menyelesaikannya.
Namun, kita datang menjenguk. Kita bertanya. Kita mengakui kesulitan yang sedang ditanggung.
“Maaf ya, menyusahkan. Mari kita tengok apa yang boleh dibuat.”
Ringkas sahaja.
Tetapi dalam kata-kata itu ada budi. Ada kesediaan untuk memikul tanggungjawab. Ada pengakuan bahawa ketenteraman jiran turut mempunyai tempat dalam pertimbangan kita.
Itulah adab berjiran yang kita kenal.
Pagar menandakan sempadan rumah. Dalam kehidupan seharian, kita tetap belajar mengambil kira orang di sebelahnya.
Asap mengingatkan kita betapa rapatnya kehidupan itu.
Keluhan yang Mahu Didengari
Sebab itulah kenyataan tentang Indonesia turut membekalkan oksigen kepada negara jiran ketika tiada asap terasa begitu mengguris. Laporan mengenai kenyataan tersebut mengundang sindiran dan rasa tidak percaya dalam kalangan pengguna media sosial Malaysia.
Pada saat orang sedang mengadu kesulitan, jawapan sedemikian mudah dirasakan sebagai menidakkan keluhan mereka.
Bayangkan ruang tamu jiran dimasuki asap dari halaman kita.
Kemudian kita mengingatkannya tentang pohon rendang di rumah kita yang selama ini meneduhi kawasan sekeliling.
Benar, teduh itu pernah dinikmati.
Namun, asap yang sedang memenuhi rumahnya tetap perlu diuruskan.
Sumbangan alam begitu besar nilainya. Hutan wajar dipelihara, dihargai dan dipulihkan. Pada masa yang sama, keluarga yang hidup berhampiran hutan, serta mereka yang berada di laluan asapnya, juga berhak mendapat perhatian.
Kasih terhadap alam dan kepedulian terhadap manusia seharusnya tumbuh bersama.
Apatah lagi dalam tutur seorang pemimpin.
Kita memahami keinginan untuk mempertahankan nama negara. Tiada siapa senang apabila tanah airnya dipersoalkan.
Namun, cinta kepada negara juga memerlukan kelapangan jiwa untuk mengakui kekurangan.
Maruah sebuah bangsa tetap terpelihara apabila pemimpinnya mampu berkata:
“Kami dengar keresahan saudara. Kami sedang berusaha. Ada perkara yang perlu kita tangani bersama.”
Ada wibawa dalam kejujuran begitu.
Sepanjang berkecimpung dalam dunia komunikasi, saya sering melihat bagaimana orang boleh menerima penjelasan yang sukar apabila mereka terlebih dahulu merasakan diri mereka didengari.
Mereka mahu tahu bahawa kesulitan yang ditanggung itu diambil peduli.
Tanpa rasa tersebut, penjelasan yang panjang sekalipun boleh meninggalkan hati semakin jauh.
Tegas, dengan Rasa Tanggungjawab
Singapura memilih untuk bersuara dengan tegas.
Pendirian yang diumumkan untuk meneliti syarikat yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kebakaran, termasuk perniagaan yang tersenarai di Singapura, memberikan arah kepada ketegasan itu. Dalam respons yang sama, usaha pentadbiran Presiden Prabowo Subianto menangani masalah tersebut dan menerima bantuan luar turut dihargai.
Di sini ada suatu sikap yang patut kita renungkan.
Hubungan yang baik seharusnya memberi ruang untuk teguran yang jujur. Dalam hubungan itu juga, langkah yang membina wajar disambut dan dibantu.
Selepas kenyataan dibuat, kerja yang lebih sukar menanti: mengumpulkan bukti, menentukan tanggungjawab dan mengambil tindakan dengan adil.
Siasatan perlu diberi ruang untuk menemukan kebenaran. Tuduhan sahaja belum membuktikan kesalahan.
Pada masa yang sama, kekayaan, pengaruh dan susunan pemilikan syarikat yang berlapis-lapis tidak seharusnya menghalang penelitian.
Ke mana pun bukti membawa, ke situlah keberanian kita perlu sampai.
Termasuk apabila ia membawa kepada kepentingan yang mempunyai hubungan dengan negara kita sendiri.
Di situlah kejujuran pendirian benar-benar diuji.
Di Sebalik Sindiran Kita
Kita di Malaysia pula memang pantas menangkap kejanggalan kata-kata.
Kadangkala, satu sindiran pendek sudah cukup untuk menyampaikan rasa yang gagal diluahkan oleh kenyataan berjela-jela. Dalam gurauan yang dikongsi, ada sedikit kelegaan. Ada rasa bahawa keresahan kita turut difahami orang lain.
Namun, elok juga kita berhenti sejenak sebelum sindiran itu menjadi penghinaan.
Kerana di Indonesia, ada ibu yang barangkali sedang menanggung kebimbangan yang serupa.
Ada ayah yang mahu melindungi keluarganya.
Ada warga yang lebih hampir dengan api, lebih lama diselubungi asap, dan lebih terbatas pilihannya untuk mencari udara yang nyaman.
Mereka juga jiran kita.
Jangan sampai wajah mereka terlindung di sebalik kenyataan seorang pegawai.
Kita boleh mengkritik sikap yang tidak peka dengan setegas-tegasnya sambil terus menjaga penghormatan terhadap sesama manusia.
Malah, kepedulian terhadap manusialah yang memberikan sebab paling kuat untuk kita terus mendesak penyelesaian.
Kita mahu kebakaran ditangani kerana ada kehidupan yang sedang terjejas.
Di kedua-dua belah sempadan.
Apabila Erti Berjiran Diuji
ASEAN sering menyebut tentang diplomasi komuniti.
Indah maknanya apabila kita membayangkan sebuah rantau yang saling mengenali, saling membantu dan belajar hidup dalam kebersamaan.
Makna itu menjadi nyata melalui keputusan yang dibuat ketika keadaan menyulitkan.
Sanggupkah kita berkongsi maklumat yang diperlukan?
Bolehkah kita menerima bantuan sebelum rasa segan atau bangga memanjangkan kesusahan?
Beranikah kita mengemukakan soalan kepada pihak yang berpengaruh?
Dan mahukah kita terus bekerja bersama setelah perhatian media beralih ke tempat lain?
Di situlah jiran mengenal jirannya.
Kerja yang menanti memerlukan pencegahan lebih awal, maklumat yang boleh dipercayai, bantuan yang sampai kepada keperluan sebenar, serta penguatkuasaan yang konsisten.
Orang ramai juga wajar mengetahui apa yang sedang dilaksanakan, di mana kekangannya dan apa yang masih belum selesai.
Sudah terlalu lama harapan untuk melihat langit cerah diserahkan kepada hujan dan perubahan arah angin.
Tanggungjawab manusia perlu hadir lebih awal.
Harapan di Sebalik Tingkap
Fikiran saya kembali kepada tingkap-tingkap tadi. Tingkap yang ditutup oleh seorang ibu di Johor.
Tingkap tempat seorang datuk memandang keluar di Singapura.
Tingkap sebuah keluarga di Kalimantan yang berharap dapat menahan sedikit lagi asap daripada memasuki rumah mereka.
Rumahnya berbeza. Negaranya berbeza.
Namun, harapan di dalamnya begitu dekat dengan harapan kita. Mahu melihat orang tersayang sihat.
Mahu membenarkan anak bermain di halaman.
Mahu memulakan pagi tanpa perlu bimbang tentang udara yang bakal disedut.
Barangkali dari situlah kita boleh menyuburkan kembali adab berjiran: dengan mengingati betapa banyaknya kehidupan orang lain yang sebenarnya kita fahami.
Di seberang sana, ada insan yang menyayangi keluarganya seperti kita. Ada insan yang memendam risau seperti kita.
Ada insan yang esok pagi juga ingin membuka tingkap rumahnya.
Mudah-mudahan wajah insan itu hadir dalam setiap perbincangan pemimpin kita tentang jerebu.
Dan dalam kata-kata yang kita titipkan sesama jiran, biarlah ada budi yang terus menghubungkan.
Supaya apabila angin melintasi sempadan, kepedulian kita turut sampai bersamanya.

More Stories
Halal Bukan Sekadar Logo: Siapa Sebenarnya Menjaga Makanan Umat Islam?
Renewal Of The PPM–WOSM Cooperation Agreement Elevates The Standing Of The World Scout Movement
Puasa Untuk Perjalanan Yang Jauh: Rahsia Batin Di Sebalik Lapar Dan Dahaga