Oleh Ahmad Ismail,
Dalam era yang ditandai oleh kecerdasan buatan (AI), automasi, dan transformasi digital yang pesat, dunia pendidikan Malaysia sedang melangkah ke fasa baharu yang menuntut keberanian serta kebijaksanaan. Persatuan Pendidikan Malaysia (PERPEMA) tampil untuk menerajui gerakan nasional melalui Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035, iaitu satu inisiatif besar yang menyatukan tenaga pendidik, pensyarah, guru, dan pentadbir pendidikan untuk memperkukuh sistem pendidikan negara.
Seminar bertemakan “Pemberdayaan Pendidikan Negara dalam Era Digital” yang akan berlangsung pada 17 Oktober 2026 sempena Bulan Akademik Malaysia bukan sekadar pertemuan ilmiah, tetapi medan kebangkitan baharu bagi warga pendidik. Ia menjadi platform strategik untuk memperkenalkan agenda RPN kepada generasi baharu pendidik dan pemimpin pendidikan, serta membina pelan tindakan yang relevan dengan cabaran zaman digital.
RPN 2026–2035 merupakan pelan induk bersepadu yang merangkumi dua komponen utama: Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). RPN 2026-2035 yang dilancarkan pada 20 Januari 2026, menjadi kompas pembaharuan bagi tempoh satu dekad akan datang.
RPM menekankan reformasi struktur pendidikan dengan tema “Merapatkan Jurang, Meningkatkan Mutu, Meraih Kejayaan Bersama”, melalui pengukuhan Kurikulum 2027, pemerkasaan guru, prasarana digital, dan tadbir urus yang cekap. Bagi RPTM pula, sasaran utama ialah 50% lepasan SPM menyertai laluan TVET menjelang 2030, bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri teknologi dan inovasi.
Seminar PERPEMA ini sebagai wadah strategik untuk menyatukan suara pendidik dan pemimpin pendidikan. Antara tokoh yang akan tampil ialah Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Ali (Pendidikan Tinggi dan Cabaran Global), Prof. Dr. Ramlee Mustapha (TVET dan STEM dalam Era Digital), Dr. Anuar Ahmad (Pendidikan dan Perubahan Masyarakat), serta Dato’ Satinah Syed Saleh (Pendidikan Digital dan AI). Turut menyumbang ialah Prof. Dr. Ismi Arif Ismail (Pendidikan Komuniti dan Kelestarian), Dr. Azman Omar dari IPG (STEM dan Minat Pelajar), dan Dr. Abang Ismail Abang Julhi dari IAB (Kualiti Guru dan Kurikulum). Gabungan tokoh-tokoh ini dijangka memperkukuh hala tuju RPN 2026–2035 dengan pandangan strategik dan tindakan praktikal yang menyeluruh.
Skop perbincangan seminar ini menunjukkan kesinambungan pendidikan sekolah dan institusi pengajian tinggi yang saling melengkapi. Rantaian kelangsungan ini amat penting, misalnya dalam bidang pendidikan dan latihan pertanian di Malaysia yang beroperasi secara komprehensif melalui struktur bersepadu melibatkan institusi peringkat menengah, vokasional, dan pasca-sekolah bagi melahirkan aktivis serta pakar industri yang menyokong keterjaminan makanan negara.
Pensyarah di institusi pengajian tinggi turut diberi perhatian khusus. Mereka bukan sekadar penyampai silibus, tetapi penggerak utama dalam menjana pengetahuan baharu, mencetus pemikiran kritis, dan menjadi jambatan antara menara gading dengan masyarakat. Namun, budaya Key Performance Indicator (KPI) yang kaku sering menekan minat pensyarah untuk menghadiri seminar atau persidangan ilmiah. Seminar PERPEMA boleh menjadi saluran penting untuk validasi rakan sejawat, membina jaringan kepakaran, menyebarluaskan penemuan terkini, dan mengangkat reputasi institusi serta negara.
Dalam konteks ini, seminar PERPEMA dapat mengajak pendidik dan pensyarah berjiwa besar diangkat melalui empat paksi utama: meneroka ilmu baharu, membimbing bakat muda, penghormatan melalui dana dan penerbitan, serta berbakti kepada masyarakat. Seminar ini turut menekankan isu-isu kritikal pendidikan semasa seperti kurikulum dinamik untuk menjamin kemenjadian murid secara holistik, integriti akademik yang terancam oleh plagiarisme dan teknologi generatif, psikologi pelajar yang terjejas akibat budaya hedonisme digital, serta jurang digital yang masih wujud di kawasan pedalaman.
Seminar PERPEMA bukan sekadar acara akademik, tetapi satu gerakan nasionaluntuk memastikan RPM, RPTM, dan RPN bergerak seiring dan berkesinambungan. Seminar PERPEMA dapat mengangkat peranan pendidik dan pemimpin pendidikan sebagai peneraju utama transformasi pendidikan negara. Penghargaan tertinggi kepada seorang sarjana bukanlah sekadar pingat di atas pentas, tetapi apabila ilmu mereka diguna pakai, idea mereka membentuk dasar negara, dan suara mereka didengari dalam menentukan masa depan pendidikan Malaysia.

More Stories
Fahami Tugas Mereka, Hargai Pengorbanan yang Tidak Selalu Terlihat
The New Advertising Power: How Social Media Influencers Are Taking a Huge Chunk of Malaysia’s Advertising Market
REIT Wakaf – Jalan Keluar Dilema Pembangunan Tanah Rizab Melayu Tanpa Mengorbankan Hak Milik Melayu