Oktober 2, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

NGO: Benteng Alam, Bukan Batu Loncatan Politik

Oleh Ahmad Ismail,

Kemarahan dan kekecewaan ahli persatuan terhadap kepimpinan NGO yang tersasar bukanlah sesuatu yang luar biasa. Bagi persatuan yang berasaskan alam sekitar, ia adalah tindak balas wajar daripada akar umbi yang sedar bahawa kegagalan pemimpin untuk fokus boleh membawa kepada kemusnahan ekosistem yang tidak mungkin dipulihkan. Bagi NGO berteraskan alam sekitar, kepimpinan bukan sekadar jawatan tetapi ia adalah amanah untuk memastikan bumi terus bernafas.

Pemimpin NGO tidak boleh berfungsi seperti ahli politik yang mengejar undi atau korporat yang mengejar keuntungan. Mereka mesti menjadi benteng semak imbang terhadap dasar kerajaan dan industri. Tugas utama ialah memastikan tindakan lapangan selari dengan Dasar Alam Sekitar Negara dan komitmen antarabangsa seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Apabila berlaku isu kritikal seperti pencemaran sungai, pembalakan haram, kemusnahan kawasan sensitif alam sekitar, atau lambakan plastik di lautan, pemimpin NGO wajib tampil dengan teguran berasaskan sains dan data. Lebih penting, mereka mesti bebas daripada konflik kepentingan. NGO bukan platform untuk melobi jawatan politik atau mengaut keuntungan projek. Pemimpin yang menggunakan NGO sebagai batu loncatan peribadi telah mengkhianati amanah ahli.

Isu ikan invasif di Malaysia adalah contoh jelas bagaimana kepimpinan yang lemah boleh menjerumuskan ekosistem ke dalam krisis. Tilapia, Keli Afrika, dan Peacock Bass diperkenalkan atas alasan keuntungan cepat, tetapi kini mengancam lebih 400 spesies ikan asli negara. Lebih parah, ikan Bandaraya (Pleco) yang dilepaskan oleh pemilik hobi telah merosakkan tebing sungai, memberi kesan kepada populasi spesies tempatan, dan menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.

Di sinilah peranan NGO menjadi kritikal. pemimpin berwibawa mesti mendidik masyarakat dengan fakta saintifik, bukan emosi. Masyarakat sering takut kepada piranha kerana pengaruh filem Hollywood, sedangkan ancaman sebenar datang daripada spesies invasif yang sudah pun menguasai sungai kita. NGO mesti membetulkan naratif ini, menuntut penguatkuasaan undang-undang lebih ketat, dan memimpin usaha pemulihan ekosistem dengan melepaskan benih ikan asli seperti Kelah dan Lampam Sungai.

Program CEPA (Communication, Education, Public Awareness) sangat penting dan mesti dilaksanakan oleh NGO berasaskan alam sekitar bagi memastikan masyarakat akar umbi memahami alam sekitar, kepentingannya kepada manusia, dan ikut bersama NGO menjalankan aktiviti berkaitan.

Kekecewaan ahli terhadap kepimpinan NGO biasanya berpunca daripada tiga perkara iaitu, penyelewengan kewangan, salah guna kuasa, dan manipulasi pemilihan jawatankuasa. Misalnya, ada pemimpin yang mendiamkan diri terhadap isu pembalakan kerana telah dilantik sebagai penasihat bergaji dalam agensi kerajaan. Ada pula yang menggunakan nama NGO untuk mendapatkan kontrak rundingan daripada syarikat tertentu yang sedang dikritik oleh NGO itu sendiri, atau ada yang membenarkan pihak tertentu mengunakan nama NGO untuk publisiti syarikat mereka.

Ahli persatuan tidak boleh berdiam diri. Mereka adalah pemilik sebenar NGO. Kuasa untuk menegur dan melucutkan jawatan pemimpin tersasar terletak di tangan ahli melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) atau Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM). Mekanisme undi tidak percaya adalah instrumen sah untuk memastikan kepimpinan kembali kepada landasan asal.

Ahli mesti berani menuntut akauntabiliti. Mereka perlu bertanya soalan kritikal tentang dana, punca kewangan, dan mengapa NGO gagal bersuara terhadap isu semasa. Dalam memilih pemimpin baharu, kriteria utama ialah rekod bersih daripada konflik kepentingan, keupayaan intelek memahami isu saintifik, dan kesediaan turun ke padang bersama ahli akar umbi. Pemimpin NGO bukan sekadar hadir di forum antarabangsa untuk publisiti tetapi mereka mesti berjuang di lapangan, bersama masyarakat yang terkesan.

NGO adalah suara rakyat yang tidak boleh dibeli. Ia mesti kekal sebagai benteng mempertahankan alam daripada kerakusan politik dan industri. Kemarahan ahli terhadap kepimpinan yang tersasar adalah tanda bahawa akar umbi masih peduli. Dan apabila ahli bangkit menuntut kepimpinan bersih, itu bukan sekadar protes tetapi ia adalah perjuangan untuk memastikan bumi Malaysia terus hidup dengan kepelbagaian biologi yang kaya dan lestari.