oleh Nizal Mohammad
Apabila nilai tidak sekadar disebut, tetapi dirasakan
Pada 18 Oktober nanti, Zohran Kwame Mamdani genap berusia 35 tahun.
Usia yang masih muda untuk seorang Datuk Bandar New York — sebuah kota yang tidak pernah benar-benar tidur, dihuni lebih lapan juta manusia dengan segala kerencaman bangsa, agama, kelas, cita-cita dan keresahan hidup.
Tetapi ada sesuatu tentang Mamdani yang sejak awal menarik perhatian saya.
Bukan kerana beliau seorang Muslim. Bukan kerana beliau anak imigran.
Bukan juga kerana beliau berjaya menewaskan nama-nama politik yang jauh lebih besar daripadanya.
Sebaliknya kerana semakin saya memerhatikan cara beliau berpolitik, berkomunikasi dan kini mentadbir, semakin satu perkataan dari tanah air sendiri terlintas di fikiran:
Madani. (Ironisnya, nama Mamdani dengan istilah madani lebih kurang sama bunyi dan ejaannya.)
Tentulah Mamdani tidak berkempen membawa gagasan Malaysia MADANI. Dua dunia ini lahir daripada sejarah, budaya dan sistem politik yang berbeza.
Tetapi madani lebih besar daripada sebuah slogan politik.
Pada pengertian yang paling luhur, ia berbicara tentang bagaimana sebuah masyarakat yang bertamadun memperlakukan manusianya.
Kerangka Malaysia MADANI sendiri meletakkan enam nilai sebagai terasnya
- Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan
- dengan cita-cita menjadikan dasar serta pelaksanaan negara lebih manusiawi dan sentiasa ditambah baik melalui maklum balas rakyat.
Maka saya tertanya:
Jika madani itu sebuah nilai, apakah rupanya apabila ia berjalan di jalan raya, menaiki bas, memasuki rumah rakyat dan hadir dalam kehidupan sehari-hari?
Barangkali di situlah Mamdani menarik untuk diperhatikan.
Daripada kempen kepada amanah
Saya pernah menulis tentang Mamdani ketika beliau masih memburu mandat.
Ketika itu yang memikat ialah caranya mendekati manusia.
Beliau berbicara tentang pemandu bas, pekerja restoran, penyewa rumah dan mereka yang bergelut dengan kos kehidupan. Bahasa politiknya tidak terlalu sarat dengan jargon. Isu yang rumit dipulangkan kepada bentuk yang paling mudah difahami:
Apa ertinya dasar ini kepada hidup aku esok pagi?
Tulisan terdahulu saya menyebutnya sebagai “Politik Empati — turun ke jiwa, bukan sekadar turun padang.”
Tetapi memenangi hati manusia ketika berkempen adalah satu perkara.
Menjaga hati mereka setelah memperoleh kuasa adalah perkara yang sama sekali berbeza.
Di situlah ukuran sebenar bermula.
Ketika mengangkat sumpah pada Januari lalu, Mamdani membawa janji-janji besar: penjagaan kanak-kanak sejagat, usaha membekukan sewa bagi kediaman yang dikawal sewa, serta bas yang lebih pantas dan akhirnya percuma.
Belum semuanya tercapai.
Dan sembilan bulan terlalu singkat untuk menulis keputusan akhir sebuah pentadbiran.
Namun beberapa perkara sudah mula berpindah daripada kata-kata kepada kerja.
Dalam enam bulan pertama, pentadbirannya membiayai penciptaan atau pemeliharaan 12,491 kediaman mampu milik, termasuk lebih 2,000 untuk warga New York yang sebelumnya kehilangan tempat tinggal. Hampir 10,000 orang pula ditempatkan atau dihubungkan kepada perumahan mampu milik.
Bagi penjagaan kanak-kanak, bandar raya New York memperoleh persetujuan pembiayaan AS$1.2 bilion dengan kerajaan negeri untuk memulakan laluan ke arah penjagaan sejagat bagi kanak-kanak berusia dua tahun; pentadbirannya kemudian menghapuskan bayaran sendiri bagi kira-kira 22,000 keluarga berpendapatan rendah yang menerima bantuan penjagaan kanak-kanak.
Dalam 100 hari pertama juga, bandar raya memperoleh lebih AS$9.3 juta dalam restitusi untuk pekerja, pengguna dan perniagaan kecil
Angka-angka ini penting.
Tetapi angka tidak pernah menjadi bahagian yang paling menarik bagi saya.
Di belakang 12,491 rumah itu ada keluarga.
Di belakang subsidi penjagaan anak ada seorang ibu atau ayah yang setiap bulan mengira baki gaji.
Di belakang AS$9.3 juta itu ada pekerja yang akhirnya menerima kembali sesuatu yang memang menjadi hak mereka.
Barangkali di situlah sebuah dasar mula mempunyai jiwa.
Politik jalan berlubang
Mamdani menggunakan satu ungkapan yang agak bersahaja untuk pendekatan pentadbirannya:
“Pothole politics.”
Politik jalan berlubang. Tidak begitu gah bunyinya.
Tetapi mungkin kerana itulah ia menarik.
Dalam 100 hari pertama, pentadbirannya melaporkan sekitar 100,000 lubang jalan dibaiki. Laporan pengurusan bandar raya terbaharu pula mencatat 229,000 pembaikan sepanjang tahun fiskal, di samping peningkatan pemasangan bonggol jalan dan penanaman pokok. Namun laporan tersebut meliputi tempoh bermula Julai 2025, enam bulan sebelum Mamdani memegang jawatan, maka tidak wajar semuanya dianggap pencapaian beliau seorang.
Tetapi falsafah di sebaliknya menarik:
Kerajaan tidak semestinya perlu sentiasa kelihatan hebat. Kerajaan perlu terasa berguna.
Kita kadangkala terlalu terpesona dengan perkara besar. Pelancaran.
Slogan. Backdrop. Ucapan.
Pelan lima tahun.
Sedangkan rakyat bertemu kerajaan dalam bentuk yang jauh lebih sederhana.
Jalan yang mereka lalui. Bas yang mereka tunggu. Rumah yang mereka sewa.
Sekolah tempat anak mereka belajar. Kaunter tempat mereka berurusan.
Dan harga yang perlu dibayar untuk menjalani kehidupan biasa. Di situlah sebenarnya negara bersentuhan dengan manusia.
Mendengar sebelum mahu didengar
Ada satu lagi perkara yang saya fikir tidak harus dipandang ringan.
Sebelum mengangkat sumpah, Mamdani menghabiskan 12 jam mendengar warga New York dari setiap daerah menceritakan kota yang mereka diami. Beliau sendiri merujuk pengalaman itu dalam ucapan sulungnya.
Dua belas jam tidak menjadikan seseorang pemimpin sempurna. Tetapi simbolismenya besar.
Kerana politik moden mempunyai begitu banyak alat untuk bercakap kepada manusia, tetapi semakin sedikit ruang untuk benar-benar mendengar manusia.
Di sinilah saya teringat kembali tulisan saya dahulu:
pemimpin perlu mendengar, bukan hanya berbicara; berkhidmat, bukan hanya berjanji; berprinsip, bukan hanya berpengaruh.
Mungkin ayat itu lebih benar selepas kemenangan daripada sebelumnya. Kerana selepas memperoleh kuasa, mikrofon menjadi semakin banyak.
Yang semakin sukar ialah mengekalkan telinga.
Bahasa manusia
Mamdani juga memahami sesuatu yang kadang-kadang gagal difahami oleh institusi besar:
dasar yang baik belum tentu terasa baik jika manusia tidak memahami apa ertinya kepada kehidupan mereka.
Tulisan saya terdahulu tentang beliau menyebut kekuatannya menyampaikan mesej secara ringkas, mudah didekati dan jelas — menjadikan media sosial bukan semata-mata alat kempen tetapi ruang membina kepercayaan dan membawa isu yang kompleks lebih dekat kepada orang biasa.
Di sinilah komunikasi awam menjadi amanah.
Bukan bagaimana kerajaan membuat dirinya kelihatan hebat.
Tetapi bagaimana rakyat memahami apa yang sedang dilakukan untuk mereka, mengapa ia dilakukan dan apakah kesannya kepada kehidupan mereka.
Ada beza besar antara publicity dengan public understanding. Yang pertama mahu manusia melihat kita.
Yang kedua memastikan kita melihat manusia.
Tidak semua sudah menjadi kenyataan
Namun kalau kita mahu belajar daripada Mamdani, kita juga mesti berlaku adil kepadanya.
Jangan kita bina seorang wira sebelum waktunya.
Sebahagian janji terbesarnya masih belum selesai. Bas belum sepenuhnya percuma. Perubahan sewa melibatkan sebuah lembaga bebas. Program penjagaan kanak-kanak sejagat pula sedang dilaksanakan secara berperingkat. Mamdani sendiri mengakui bahawa beberapa cita-cita itu memerlukan kerjasama dengan kerajaan negeri dan institusi lain.
Itulah realiti pentadbiran.
Kemahuan seorang pemimpin tidak serta-merta menjadi kemampuan sebuah sistem.
Mamdani juga mempunyai pengkritik dan kontroversinya sendiri. Maka tulisan ini bukan sebuah sijil kecemerlangan untuk beliau. Masih terlalu awal.
Yang sedang kita perhatikan ialah cara sebuah amanah cuba diterjemahkan kepada tindakan.
Dan di situlah pembelajaran menjadi lebih bernilai daripada pemujaan.
Lalu, apa yang Malaysia boleh pelajari?
Mungkin sebenarnya bukan Malaysia sahaja.
Mana-mana orang yang memegang amanah awam boleh bertanya soalan yang sama.
Seorang menteri. Datuk bandar.
Pegawai daerah. Ketua jabatan.
Ahli Parlimen. ADUN.
Pegawai di sebuah kaunter kecil.
Kerana kuasa awam hadir dalam pelbagai saiz.
Dan madani bukan hanya urusan mereka yang berada di puncak.
Ia adalah cara kita menggunakan amanah apabila nasib manusia berada dalam tangan kita.
Kita tidak perlu meniru Mamdani. New York bukan Kuala Lumpur.
Apa yang berkesan di Queens belum tentu sesuai di Kampung Bharu. Tetapi nilai boleh merentas sempadan.
Daripada Mamdani, sekurang-kurangnya ada beberapa perkara yang boleh kita renungkan.
Turunlah ke jiwa, bukan sekadar turun padang.
Gambar seorang pemimpin bersama rakyat mungkin mengambil masa satu saat.
Memahami kehidupan mereka memerlukan jauh lebih lama.
Bercakaplah dalam bahasa manusia.
Rakyat tidak hidup dalam slaid PowerPoint. Mereka hidup dengan sewa rumah, yuran sekolah, perjalanan ke tempat kerja, harga makanan dan keresahan tentang hari esok.
Biarkan prinsip mempunyai tulang belakang.
Kita boleh tidak bersetuju dengan seseorang, tetapi manusia lebih mudah mempercayai pendirian yang konsisten daripada pendirian yang berubah
mengikut arah angin. Itulah antara renungan utama tulisan saya tentang Mamdani sebelum ini.
Dan barangkali yang paling penting:
Jangan hanya membuat rakyat mendengar bahawa kita prihatin. Biarkan mereka mengalami sendiri kesan keprihatinan itu.
Di situlah ihsan berhenti menjadi perkataan.
Madani bukan apa yang tertulis di belakang pentas
Malaysia MADANI berbicara tentang Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
Enam perkataan yang indah.
Tetapi nilai hanya benar-benar hidup apabila ia keluar daripada dokumen dan memasuki kehidupan manusia.
Kemampanan apabila keputusan hari ini tidak menggadaikan hari esok.
Kesejahteraan apabila sebuah keluarga terasa hidupnya sedikit lebih terurus.
Daya Cipta apabila birokrasi lama berani dicabar kerana ia tidak lagi menyelesaikan masalah baharu.
Hormat apabila mereka yang tidak bersetuju dengan kita masih dilayani sebagai manusia yang mempunyai maruah.
Keyakinan apabila rakyat percaya bahawa kata-kata pemerintah masih mempunyai nilai.
Dan Ihsan apabila sebuah keputusan tidak sekadar bertanya “bolehkah kita melakukannya?”, tetapi juga:
“Apakah kesannya kepada manusia?”
Mungkin itulah sebabnya saya memilih tajuk yang sedikit nakal ini —
Betapa Madaninya Mamdani…
Bukan kerana saya mahu mengatakan Mamdani telah memenuhi kesemua ukuran MADANI kita.
Tidak.
Tetapi kerana seorang Datuk Bandar di seberang dunia sedang memberi kita kesempatan untuk melihat kembali sebuah perkataan yang kita sendiri gunakan hampir setiap hari.
Dan bertanya:
Sudahkah kita benar-benar menghayatinya?
Pada 18 Oktober nanti, Zohran Mamdani berusia 35 tahun.
Barangkali hadiah terbaik kepada seorang pemimpin bukanlah pujian.
Dan pelajaran terbaik daripada seorang pemimpin juga bukanlah menirunya.
Kita mengambil cermin yang dihulurkannya, lalu melihat diri sendiri.
Kerana akhirnya rakyat tidak meminta pemimpin menjadi wira.
Mereka mahu pemegang amanah yang memahami bahawa kuasa bukan hadiah untuk dinikmati, tetapi tanggungjawab untuk dipulangkan kepada manusia dalam bentuk khidmat.
Mereka mahu didengar sebelum disuruh mendengar. Mereka mahu difahami sebelum diminta memahami.
Dan mereka mahu dasar yang bukan sahaja kelihatan baik di atas kertas —
tetapi terasa baik dalam kehidupan.
Mungkin di situlah letaknya ukuran sebuah pentadbiran yang benar-benar madani.
Bukan pada seberapa kerap perkataan itu disebut. Bukan pada sebesar mana ia terpampang.
Tetapi pada saat seorang manusia biasa, yang mungkin tidak pernah bertemu pemimpinnya, dapat menjalani hidup dengan sedikit lebih mudah, sedikit lebih bermaruah dan sedikit lebih yakin bahawa dirinya dilihat, didengar dan dipedulikan.
Kalau itu yang akhirnya mampu dilakukan oleh sebuah kepimpinan, kita mungkin tidak perlu lagi bertanya:
“Di manakah Madani?”
Kerana rakyat sendiri sudah dapat merasainya.

More Stories
Bolehkah Kita Lari Daripada Mengundi dan Tidak Mengambil Tahu Hal Ehwal Umat?
NGO: Benteng Alam, Bukan Batu Loncatan Politik
Beting Beras Basah: Warisan Raja Melayu, Benteng Alam Sekitar