Oleh: Nur Farhana Kassim
BATU KAWAN, PULAU PINANG – September 2026
Di tengah panas terik Batu Kawan, sekumpulan remaja sedang mengangkat buluh bersama-sama. Seorang memegang hujungnya, seorang lagi mengikat tali, sementara yang lain memberi arahan sambil sesekali ketawa apabila ikatan terpaksa dibuka dan dibuat semula. Tidak ada yang bertanya siapa Melayu, Cina atau India. Pada ketika itu, yang mereka tahu hanyalah satu perkara, pintu gerbang itu perlu disiapkan bersama-sama.
Beginilah proses Pengakap memanusiakan manusia.
Jambori Pengakap Malaysia ke-15 (MYJAM15) di Batu Kawan bukan sekadar sebuah perhimpunan besar Pengakap. Ribuan peserta, termasuk Pengakap dari 13 buah negara, berkumpul membawa bahasa, budaya, pengalaman dan latar belakang yang berbeza. Namun mereka hadir dengan satu tujuan, iaitu mahu belajar, mengalami dan memahami erti sebenar menjadi seorang Pengakap.
Di sebalik khemah, lencana, aktiviti lasak dan pakaian seragam, sebenarnya sedang berlaku satu proses pendidikan yang jauh lebih besar — proses membentuk manusia.

Dalam satu sesi temu bual, Tan Sri Dato’ Dr Johari bin Abdul, Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Kedah mengingatkan tentang tiga bahagian penting dalam Persetiaan Pengakap yang turut dilambangkan melalui tiga jari dalam Isyarat Pengakap, iaitu taat kepada Tuhan, Raja dan Negara, menolong orang pada setiap masa serta menurut Undang-undang Pengakap.
Tiga ungkapan ini mungkin kelihatan mudah, namun jika direnungkan, di dalamnya terkandung asas pembentukan manusia yang mempunyai prinsip, empati dan tanggungjawab.
Dalam dunia yang semakin individualistik, mungkin inilah antara bentuk pendidikan yang paling diperlukan oleh generasi muda hari ini.
Berjalan di sekitar tapak perkhemahan MYJAM15 memberi saya peluang melihat sendiri bagaimana nilai-nilai ini terbentuk melalui perkara yang kelihatan kecil.
Ada yang mengikat buluh untuk membina ampaian, ada yang memasang khemah, dan ada yang membantu rakan membawa peralatan. Semuanya dilakukan bersama-sama.
Mereka belajar bahawa satu ikatan yang longgar boleh menjejaskan keseluruhan binaan, dan jika hanya seorang yang bekerja sedangkan yang lain sekadar melihat, tugasan tidak akan selesai.
Tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya sedang belajar mengenai kehidupan, tentang kerjasama, kesabaran, komunikasi, tanggungjawab, toleransi dan rasa hormat terhadap orang lain.
Pengakap tidak sekadar mendidik seseorang supaya berdikari, tetapi mengingatkan bahawa kita tidak pernah hidup seorang diri.
Cuaca panas pula menjadi sebahagian daripada guru mereka. Ada ketika bekalan air menjadi terhad dan sesuatu yang biasanya mudah diperoleh di rumah tiba-tiba perlu digunakan dengan sangat berhati-hati.
Mereka belajar mencari penyelesaian, belajar berjimat dan belajar bahawa air yang sering dianggap perkara biasa sebenarnya sangat bernilai apabila ia tidak mudah diperoleh.
Namun kesukaran itu tidak membuatkan mereka berputus asa. Khemah tetap diurus, aktiviti dan tugasan tetap diselesaikan dan mereka belajar menyesuaikan diri dengan keadaan yang ada.

Di Pulau Aman pula, aktiviti eksplorasi dan jelajah membawa mereka keluar daripada rutin. Mereka berjalan, membaca peta, menggunakan kemahiran orienteering serta menguji ketahanan fizikal dan mental.
Dalam proses itu, mereka mempelajari sesuatu yang kadangkala sukar diajar melalui buku teks, apabila jalan di hadapan tidak jelas, kita perlu berhenti, melihat arah, berbincang dan kemudian terus bergerak.
Bukankah kehidupan juga begitu? Pengakap tidak sekadar meminta seorang anak muda menjadi kuat. Pengakap mengajarnya supaya menggunakan kekuatan itu untuk membantu orang lain.
Namun ada satu pemandangan di tapak jambori yang paling menggembirakan saya sebagai seorang guru. Suasana tapak perkhemahan sentiasa hidup dengan suara peserta memanggil rakan, bunyi tapak kaki berlari, ketawa dari khemah sebelah dan kumpulan-kumpulan kecil yang bermain bersama-sama.
Ada yang baru mengenali satu sama lain beberapa jam sebelum itu, tetapi sudah boleh bermain bola ragbi dan sepak takraw, berbual dan bergurau seperti sahabat lama. Untuk beberapa ketika, telefon bimbit seolah-olah kehilangan tarikannya.
Telefon masih ada. Gambar masih diambil dan ibu bapa masih dihubungi. Namun dunia sebenar di hadapan mereka jauh lebih menarik. Mereka belajar untuk hidup gembira dalam saat itu.
Dalam zaman apabila sebahagian besar interaksi generasi muda berlaku melalui skrin, di sebuah tapak perkhemahan di Batu Kawan kita dapat melihat mereka kembali menikmati sesuatu yang pernah menjadi perkara biasa dalam kehidupan kanak-kanak — bermain dan bergembira bersama-sama. Tanpa perlu “like”, tanpa perlu “share” dan tanpa perlu melihat berapa ramai yang menonton.
Di satu sudut lain jambori, terdapat pula satu “mata wang” yang amat bernilai dalam kalangan Pengakap, iaitu lencana. Peserta membawa koleksi lencana dari negeri dan negara masing-masing untuk ditukar dengan rakan baharu. Pada mata orang lain, ia mungkin hanya sekeping kain kecil, namun bagi seorang Pengakap, setiap lencana mempunyai cerita.
Perbualan yang bermula dengan “Ini dari Malaysia”, “Ini dari Vietnam” atau “Ini dari Singapura” sering berakhir dengan pertukaran nama, cerita tentang negara masing-masing dan kadang-kadang sebuah persahabatan baharu.
Di sinilah jambori menjadi sebuah bilik darjah tanpa dinding. Daripada pertemuan dengan peserta antarabangsa termasuk Pengakap dari Vietnam dan Singapura, kita dapat melihat bagaimana aktiviti yang kelihatan sederhana mampu menjadi jambatan budaya.
Mereka mencuba masakan rimba, membina dan melancarkan roket air, merasa makanan tempatan, mencuba membuat popia Pulau Pinang m dan menikmati cendol. Reaksi mereka mungkin ringkas, sedap, seronok dan mahu cuba lagi tetapi di sebalik pengalaman itu berlaku sesuatu yang lebih besar.
Mereka sedang belajar bahawa dunia jauh lebih luas daripada lingkungan kehidupan sendiri, bahawa orang daripada negara berbeza masih boleh ketawa pada perkara yang sama, dan bahawa makanan, permainan serta aktiviti boleh menemukan dua manusia yang sebelumnya langsung tidak mengenali antara satu sama lain.
Perbezaan ternyata tidak semestinya memisahkan. Kadang-kadang perbezaanlah yang membuatkan kita mahu mendekati, bertanya dan mengenali.
Kita sering bercakap tentang masalah disiplin, gejala sosial, kurangnya empati dan cabaran membentuk generasi muda. Namun membina manusia tidak boleh dilakukan hanya melalui arahan.
Tidak cukup sekadar memberitahu seorang anak supaya bertanggungjawab; dia perlu diberikan tanggungjawab. Tidak cukup mengatakan bahawa dia perlu menghormati orang lain; dia perlu berada bersama orang yang berbeza daripadanya. Tidak cukup mengajar bahawa dia perlu membantu orang lain; dia perlu berada dalam situasi apabila bantuan itu benar-benar diperlukan.
Di sinilah gerakan Pengakap mempunyai kekuatannya. Ia menyediakan ruang untuk nilai-nilai itu dialami, bukan sekadar disebut.
Apabila seorang Pengakap berkongsi air dengan rakannya, di situlah empati sedang dibentuk. Apabila dia menunggu kawannya yang ketinggalan ketika menjelajah, di situlah persahabatan sedang diuji. Apabila dia menerima pandangan orang lain ketika membina sesuatu bersama-sama, di situlah toleransi sedang dipelajari. Dan apabila dia mematuhi peraturan walaupun tiada ibu bapa berdiri di sebelahnya, di situlah disiplin dalaman sedang tumbuh.
Pengakap juga tidak hanya mengajar kepimpinan, tetapi mengajar seorang pemimpin supaya tahu mendengar, bertolak ansur dan berkhidmat.
Pengakap mungkin tidak mampu menyelesaikan semua cabaran sosial dalam kalangan remaja, tetapi ia menyediakan sesuatu yang sangat penting dalam usaha membentuk mereka — rasa memiliki, disiplin, persahabatan, tanggungjawab dan peluang untuk menjadi berguna kepada orang lain.
Seorang anak muda yang tahu dirinya diperlukan akan melihat dirinya secara berbeza. Seorang anak muda yang pernah membantu orang lain akan memahami bahawa hidup bukan hanya tentang dirinya. Dan seorang anak muda yang belajar menghormati manusia lain akan membawa nilai itu jauh selepas pakaian seragamnya disimpan.

Tidak lama lagi, semua khemah akan diturunkan. Buluh yang diikat dengan begitu teliti akan dibuka, pintu gerbang yang dibina berjam-jam akan tinggal dalam gambar dan tapak perkhemahan yang hari ini penuh dengan suara, sorakan serta gelak ketawa akan kembali sunyi.
Peserta akan pulang ke rumah masing-masing membawa lencana, gambar, nombor telefon kawan baharu dan cerita tentang lencana, cuaca panas, penjelajahan, makanan, khemah serta malam yang panjang.
Tetapi saya percaya mereka juga membawa pulang sesuatu yang tidak dapat dilihat, sedikit tambah nilai kesabaran, sedikit lagi keberanian, sedikit lagi rasa hormat, sedikit lagi empati dan sedikit lagi keyakinan bahawa mereka mampu menyelesaikan masalah.
Mereka juga mungkin membawa pulang kefahaman bahawa menjadi manusia bukan sekadar hidup untuk diri sendiri, tetapi hidup dengan memberi manfaat kepada orang lain.
Akhirnya, mungkin itulah makna terbesar sebuah jambori. Kita datang dengan pakaian seragam, tetapi pulang dengan watak. Kita datang membawa lencana, tetapi pulang membawa persahabatan. Kita datang untuk belajar tentang Pengakap, tetapi akhirnya belajar tentang kehidupan.
Kerana tugas Pengakap bukan sekadar mengajar seorang anak bagaimana mendirikan khemah, mengikat simpulan, membaca kompas atau bertahan di dalam hutan. Tugas yang jauh lebih besar ialah mengajar seorang manusia bagaimana menggunakan tangannya untuk membantu, menggunakan fikirannya untuk menyelesaikan masalah, menggunakan hatinya untuk memahami orang lain dan menggunakan hidupnya untuk memberi manfaat kepada manusia di sekelilingnya.
Di Batu Kawan, saya melihat semua itu berlaku di hadapan mata.
Di saat dunia sibuk mengajar anak-anak kita bagaimana untuk menjadi lebih pantas, lebih pintar dan lebih berjaya, Pengakap masih melakukan satu tugas yang semakin penting, iaitu mengajar mereka bagaimana untuk menjadi manusia.
Itulah Jambori Pengakap Malaysia. Memanusiakan manusia.

Nur Farhana binti Mohd Kassim, seorang guru di SK Sungai Ara, Pulau Pinang dan pemimpin Pengakap di Pulau Pinang, aktif dalam bidang pendidikan digital, teknologi pendidikan dan pembangunan kandungan kreatif. Dalam Jambori Pengakap Malaysia ke-15 (MYJAM15), beliau terlibat secara aktif bersama Pasukan Media, khususnya dalam penghasilan kandungan editorial buletin MYJAM15 serta pengurusan kandungan media digital dan audio siar.
Foto: Moganraj Villavan dan Mohd Muktasim Rosli, Persekutuan Pengakap Malaysia

More Stories
Jangan Tutup Pintu Kajian: Hipotesis Juga Sebahagian Daripada Perjalanan Ilmu
Bernama Radio: 19 tahun Menginspirasi
Statistik Negara Milik Rakyat: Benteng Melawan Berita Palsu dan Manipulasi Fakta