September 4, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Bernama Radio:  19 tahun Menginspirasi

(Bersempena dengan ulang tahun Bernama Radio ke-19 pada 3 September 2026) Oleh:  Mohamad Letfee Ahmad…

(Bersempena dengan ulang tahun Bernama Radio ke-19 pada 3 September 2026)

Oleh:  Mohamad Letfee Ahmad

Penulis teringat sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan apabila mendengar saluran 93.9FM pada pagi 3 September 2007 ketika dalam perjalanan ke Limkokwing University, Cyberjaya, tempat penulis mengajar sejak 2001.  Yang terdengar bukan lagu klasik daripada stesen Radio Irama Melayu Asli atau RIMA, sebaliknya suara pembaca berita, laporan semasa, lintas langsung dan perkembangan terkini setiap 15 minit.

RIMA yang kini dikenali sebagai Radio Klasik memang menjadi pilihan penulis setiap hari kerana lagu-lagu dan gaya penyampaian yang nyaman didengar berbanding gaya gila-gila penyampai yang menggelarkan diri mereka sebagai DJ tanpa mengetahui konsep DJ sebenarnya dalam landskap industri hiburan.

Mulai pagi 3 September itu, penulis mula menjalin persahabatan yang akrab dengan Radio24 kerana frekuensi 93.9FM bukan lagi milik RIMA.  Pada tarikh itu, frekuensi itu telah menjadi milik Radio24, sebuah stesen berita 24 jam milik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau BERNAMA.  

Setiap hari tanpa henti, penulis menjadikan Radio24 sebagai teman pemanduan dari Kuala Lumpur ke Cyberjaya.  Tanpa lagu, tanpa celoteh.  Hanya berita ringkas setiap lima belas minit dan berita penuh setiap jam secara langsung dari pagi hingga tengah malam.  Selepas tengah malam, berita-berita penting akan diulang siar sehingga awal pagi. 

Takdir menentukan, empat bulan kemudian, pada 2 Februari 2008, penulis ditawarkan menjadi ahli keluarga Radio24 dan diberi tanggungjawab mengetuai unit berita sehingga 2016 apabila penulis dilantik sebagai Ketua Penerbitan  Berita Bernama TV.

Bermula dengan Idea yang Berani

Radio24 lahir pada ketika landskap radio tanah air didominasi oleh stesen berorientasikan hiburan, muzik dan segmen santai.  Dalam suasana itu, langkah BERNAMA untuk membangunkan sebuah stesen yang menjadikan berita sebagai kandungan utama merupakan satu tindakan berani.

Radio24 yang diketuai oleh tiga orang pengasas, iaitu bekas Pengurus Besar BERNAMA, Allahyarham Dato’ Syed Jamil Syed Jaafar selaku Pengarah; Allahyarham Openg Onn Net, Pengurus Operasi dan Sheikh Raffie Abd. Rahman selaku Perunding; memulakan operasinya di Lembah Klang dengan konsepnya yang jelas, iaitu menyediakan berita dalam dan luar negara secara berterusan, selain laporan trafik, cuaca, pasaran saham, temu bual dan perkembangan semasa.

Keunikan itu memberikan pendengar satu pilihan baharu, iaitu mendapatkan berita ketika sedang memandu atau bekerja tanpa perlu menunggu berita televisyen atau membaca akhbar.

Kelahiran Radio24 telah membawa satu budaya baharu.  Stesen itu telah menjadi medium penyampaian maklumat yang utama kepada pendengar yang sentiasa sibuk dengan urusan harian. 

Penjenamaan Radio24 sebagai Bernama Radio24, sebelum nama Bernama Radio digunakan secara rasmi pada 2016, bukan sekadar perubahan identiti.   Perubahan nama tersebut bertujuan memperkukuh kedudukan stesen itu sebagai sebahagian daripada jenama BERNAMA, sekali gus menghubungkan kekuatan radio serta Bernama TV dengan rangkaian kewartawanan agensi berita nasional tersebut.

Membina Identiti Melalui Berita

Sepanjang hampir dua dekad, Bernama Radio berkembang dalam aspek pengoperasian, teknologi dan pembangunan sumber manusia.

Wartawan, penerbit, penyampai dan kru teknikal menjadi tenaga penting yang menterjemahkan berita kepada kandungan radio yang berkualiti.  Mereka perlu pantas membuat keputusan, memilih sudut berita yang relevan dan pada masa sama memastikan tiada kompromi antara menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih dengan kecepatan masa.

Cabaran itu semakin rumit apabila berita media arus perdana kini terpaksa bersaing dengan media sosial dan platform digital.

Justeru, radio berita turut berubah peranan. Pendengar tidak lagi hanya mahu mengetahui apa yang berlaku, tetapi mahu memahami konteks, mendengar pandangan pakar dan mengikuti perkembangan sesuatu isu secara langsung.

Bernama Radio melaksanakan peranan tersebut melalui pelbagai bentuk program bual bicara, wawancara dan laporan khas yang mengupas isu semasa daripada perspektif masyarakat, ekonomi, politik, keselamatan, sosial dan pelbagai bidang lain.

Antara progam yang mendapat perhatian pendengar pada awal penubuhan Bernama Radio ialah Kerusi Panas yang membawakan perbincangan isu semasa bersama-sama pakar dalam bidang politik, pendidikan, keusahawanan, kemasyarakatan, kebudayaan dan lain-lain.

Daripada Radio Konvensional ke Sistem Digital

Perjalanan Bernama Radio daripada radio konvensional kepada ekosistem digital dapat dilihat dengan jelas pada perkembangan teknologi yang membuka ruang kepada penstriman dalam talian, media sosial, video dan kandungan audio digital.

Antara perkembangan ketara ialah pelaksanaan perkhidmatan penstriman mudah alih pada 2011 yang membolehkan pendengar mengakses siaran melalui telefon pintar.

Hari ini, selain menyediakan siaran radio, Bernama Radio turut menyediakan kandungan audio siar (podcast), video, dan kemudahan mendengar secara dalam talian.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa radio tidak lagi terhad kepada gelombang udara, malah ia boleh juga hadir dalam telefon pintar, komputer, platform media sosial dan pelbagai bentuk kandungan.

Ketika pelancarannya, Bernama menekankan bahawa Bernama Radio perlu menjadi suara yang memberi semangat dan inspirasi, termasuk turun padang mendengar kisah masyarakat. 

Ini memperlihatkan bahawa berita tidak semestinya hanya tentang institusi dan tokoh besar, tetapi juga tentang anggota masyarakat dan kehidupan mereka.

Bernama Radio berjaya membuktikan bahawa kekuatan sesebuah organisasi media bukan hanya terletak pada jumlah berita yang disiarkan, tetapi sejauh mana kandungannya mempunyai nilai dan makna kepada khalayak.

Pencapaian yang mengangkat kewartawanan radio

Kualiti kandungan Bernama Radio turut mendapat pengiktirafan melalui pelbagai anugerah kewartawanan termasuk Hadiah Kewartawanan Malaysia anjuran Malaysian Press Institute dan Anugerah Seri Angkasa anjuran Radio Televisyen Malaysia.

Seawal 2010 lagi, ketika baru empat tahun broperasi, stesen itu telah mampu meletakkan namanya setaraf dengan stesen penyiaran lain yang lebih tua.

Berbanding pesaing terdekat, Klasik Nasional dan Minnal FM, Bernama Radio menunjukkan prestasi cemerlang apabila 14 penyertaannya berjaya disenaraikan sebagai pencalonan akhir dalam 10 kategori. Manakala Klasik Nasional, 13 pencalonan akhir dalam 7 kategori dan Minnal FM sebanyak 7 pencalonan dalam 6 kategori.

Dari segi jumlah kemenangan, Bernama Radio hanya kurang satu anugerah daripada Klasik Nasional. Klasik memenangi 4 anugerah manakala Bernam Radio  menang 3. Minnal pula hanya menang 1.

Satu lagi pencapaian penting ialah kemenangan bagi kategori Laporan Radio Terbaik pada Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas sejak pertama kali anugerah itu diperkenalkan pada 2010 sehingga sekarang. 

Pada Malam Wartawan Malaysia 2026, Bernama Radio memenangi tujuh anugerah termasuk tiga emas dalam HKM MPI-Petronas 2025.

Kemenangan besar pada malam anugerah itu juga mencatat sejarah peribadi bagi diri penulis yang pertama kali dilantik sebagai hakim HKM dan diamanahkan mengadili kategori radio.

Lebih daripada sebuah stesen radio

Selain daripada frekuensi FM93.9 di Lembah Klang, Bernama Radio kini boleh diikuti  menerusi frekuensi FM107.5 di Johor Bahru, FM107.9 di Kota Kinabalu dan FM100.9 di Kuching.

Perluasan siaran itu penting kerana ia membawa kandungan radio berita ke lebih banyak komuniti pendengar, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, kehadiran teknologi digital membolehkan kandungan Bernama Radio melangkaui sempadan geografi. Berita yang pada asalnya disampaikan melalui suara penyampai boleh kemudiannya hadir dalam bentuk klip video, audio siar atau kandungan media sosial.

Inilah transformasi paling ketara sepanjang 19 tahun: daripada sebuah stesen radio yang beroperasi melalui satu frekuensi, kepada sebuah jenama berita yang hadir merentasi pelbagai platform.

Menatap masa depan

Era kecerdasan buatan, media sosial, kandungan pendek dan penyebaran maklumat tanpa sempadan menuntut organisasi media untuk bergerak pantas. Namun, dalam keadaan lambakan maklumat, nilai berita yang sahih dan boleh dipercayai menjadi semakin penting.

Masa depan Bernama Radio bergantung kepada sejauh mana ia dapat mengekalkan pendengar di frekuensi FM serta menangani cabaran media sosial yang lebih pantas.

Selaras dengan slogan Untuk Anda yang mula diperkenalkan pada sambutan ulang tahun ke-15 pada tahun 2022, Bernama Radio turut berhasrat mencapai matlamat untuk memperluas identiti stesen agar menjadi sebuah platform yang lebih dekat dengan kehidupan masyarakat.

Sembilan belas tahun selepas suara pertama Radio24 berkumandang, Bernama Radio telah membuktikan kemampuannya dalam menghadapi sebarang cabaran bagi memperkukuh tempatnya dalam ekosistem media Malaysia.