Isu kelewatan pembayaran projek Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) semakin menarik perhatian apabila dua penjelasan yang berbeza muncul daripada Kementerian Kewangan dan pihak KKDW sendiri.
Pada awalnya, persoalan yang timbul agak mudah.
Jika sesuatu projek kerajaan telah diluluskan, diperuntukkan dalam bajet, kontrak telah diberikan dan kerja telah dilaksanakan, mengapa pembayaran kepada kontraktor masih tertangguh?
Kemudian muncul penjelasan Kementerian Kewangan bahawa KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan.
Sekiranya dibaca sepintas lalu, kenyataan itu boleh memberikan gambaran bahawa KKDW telah berbelanja melampaui bajet secara tidak terkawal.
Namun penjelasan terbaharu daripada pihak KKDW melalui Fadzmel Fadzil memberikan satu dimensi yang sangat berbeza.
Menurut penjelasan tersebut, istilah “berbelanja melebihi peruntukan” tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar.
Dan pada saya, di sinilah persoalan ini menjadi jauh lebih penting.
Ia bukan lagi sekadar pertikaian mengenai siapa betul dan siapa salah.
Ia menyentuh asas tatacara kewangan kerajaan, pengurusan komitmen, peruntukan tahunan, aliran tunai, kontrak kerajaan dan tanggungjawab membayar kerja yang telah dilaksanakan.
Bolehkah kementerian sesuka hati terlebih belanja?
Inilah persoalan pertama yang harus difahami oleh rakyat.
Sistem kewangan kerajaan bukan seperti seseorang yang membawa kad kredit dan boleh berbelanja melebihi had sesuka hati.
Setiap projek kerajaan mempunyai proses.
Projek pembangunan perlu mendapat kelulusan yang berkaitan.
Peruntukan perlu diwujudkan.
Butiran perbelanjaan perlu dikenal pasti.
Surat Setuju Terima atau kontrak dikeluarkan.
Komitmen kewangan direkodkan.
Pembayaran pula dilakukan melalui sistem kewangan kerajaan termasuk Integrated Government Financial Management and Accounting System, atau iGFMAS.
Maka jika benar sistem kewangan kerajaan tidak membenarkan perbelanjaan dibuat tanpa butiran dan peruntukan yang sah, timbul satu persoalan yang sangat asas:
Bagaimanakah sebuah kementerian dikatakan “berbelanja melebihi peruntukan” tanpa sistem kewangan kerajaan mengesan dan menghalangnya?
Sekiranya benar-benar berlaku perbelanjaan tidak teratur, sudah tentunya terdapat mekanisme di bawah Arahan Perbendaharaan untuk menentukan bagaimana ia berlaku dan siapa yang bertanggungjawab.
Sebab itu kita perlu sangat berhati-hati menggunakan istilah “terlebih belanja”.
Ia memberikan persepsi bahawa kementerian telah menggunakan wang yang tidak pernah diluluskan.
Sedangkan apa yang mungkin sebenarnya berlaku ialah sesuatu yang berbeza:
komitmen kontrak telah wujud sejak beberapa tahun sebelumnya, projek diteruskan, kerja dilaksanakan, tetapi peruntukan tunai tahunan yang disediakan tidak mencukupi untuk memenuhi semua tuntutan yang matang pada tahun berkenaan.
Itu bukan perkara yang sama.
Kita tidak boleh melihat angka 2022 hingga 2026 sahaja
Salah satu perkara paling penting dalam penjelasan KKDW ialah ketiadaan angka bagi 2019, 2020 dan 2021 dalam penjelasan awal mengenai kedudukan peruntukan kementerian.
Tiga tahun ini sangat penting.
Mengapa?
Kerana negara melalui pandemik COVID-19.
Banyak projek pembangunan terganggu.
Tapak pembinaan terhenti.
Rantaian bekalan terjejas.
Pelaksanaan projek menjadi perlahan.
Tetapi dalam sesetengah keadaan, Surat Setuju Terima telahpun dikeluarkan dan kontrak kerajaan telahpun diwujudkan.
Maka walaupun kerja fizikal tertangguh akibat pandemik, komitmen kerajaan tidak semestinya hilang.
Apabila ekonomi dibuka semula dan projek kembali berjalan, kerja yang tertangguh mula dilaksanakan.
Kontraktor kemudian mengemukakan tuntutan berdasarkan kemajuan kerja.
Di sinilah boleh berlakunya apa yang saya panggil sebagai “gelombang liabiliti tertangguh”.
Komitmen yang asalnya bermula pada 2019, 2020 atau 2021 boleh muncul sebagai tuntutan pembayaran pada 2022, 2023, 2024 dan seterusnya.
Jika hanya melihat peruntukan satu tahun berbanding perbelanjaan pada tahun tersebut tanpa melihat sejarah komitmen projek, kita mungkin mendapat gambaran yang tidak lengkap.
Bajet tahunan bukan keseluruhan nilai komitmen kerajaan
Ini perlu dijelaskan kepada rakyat.
Bayangkan sebuah projek bernilai RM100 juta telah diluluskan.
Kontrak ditandatangani pada 2020.
Akibat COVID-19, hanya RM10 juta kerja dapat dilaksanakan.
Baki kerja berjalan pada 2022 dan 2023.
Pada tahun 2023, kontraktor mungkin melaksanakan kerja bernilai RM50 juta.
Kerajaan sekarang mempunyai kewajipan membayar RM50 juta berdasarkan kerja yang telah disahkan.
Tetapi peruntukan tunai yang disediakan bagi projek tersebut pada tahun itu mungkin hanya RM30 juta.
Adakah ini bermakna projek itu “terlebih belanja”?
Tidak semestinya.
Projek masih berada dalam siling RM100 juta.
Kontrak masih sah.
Kerja memang diarahkan kerajaan.
Kontraktor memang melaksanakan kerja.
Masalahnya ialah profil pembayaran tahunan tidak sepadan dengan kemajuan sebenar projek dan komitmen yang telah matang.
Ini lebih tepat disebut sebagai masalah:
mismatch antara komitmen dan annual cash allocation.
Atau dalam bahasa mudah:
wang yang diperuntukkan untuk dibayar pada tahun itu tidak cukup untuk menampung semua bil yang telah menjadi kewajipan kerajaan.
Projek yang sedang berjalan tidak boleh dihentikan semudah menutup suis
Ada satu lagi realiti yang sering tidak difahami.
Apabila sebuah jalan sedang dibina, jambatan sedang dibina atau projek bekalan air sedang berjalan, kerajaan tidak semestinya boleh berkata:
“Peruntukan tahun ini hampir habis. Berhenti dahulu. Sambung tahun depan.”
Kontrak mempunyai jadual.
Kontraktor mempunyai pekerja.
Jentera disewa.
Bahan telah ditempah.
Bank telah memberikan pembiayaan.
Subkontraktor telah dilantik.
Dan yang paling penting, masyarakat sedang menunggu projek itu disiapkan.
Kadangkala menghentikan projek di pertengahan jalan sebenarnya boleh menyebabkan kos menjadi lebih tinggi.
Mobilisasi semula memerlukan wang.
Harga bahan berubah.
Tuntutan lanjutan masa mungkin berlaku.
Tapak terbengkalai boleh rosak.
Maka apabila kerajaan telah membuat komitmen kontrak, persoalannya bukan sekadar:
“Berapa bajet tahun ini?”
Tetapi juga:
“Berapa liabiliti yang telah kerajaan sendiri wujudkan melalui kontrak yang ditandatangani sebelum ini?”
KKDW mendakwa telah mengambil langkah kawalan
Penjelasan pihak KKDW juga menyatakan bahawa beberapa langkah kawalan telah dilakukan lebih awal.
Antaranya penyusunan semula peruntukan dalaman kementerian.
Komitmen baharu dikurangkan.
Sebahagian tender yang memberikan impak besar kepada masyarakat desa terpaksa dibatalkan.
Projek-projek di peringkat pra-pelaksanaan turut dihadkan.
Jika benar keadaan ini, ia menunjukkan kementerian sebenarnya sudah menyedari tekanan kewangan yang sedang berlaku dan cuba mengawal pertambahan komitmen.
Tetapi ini juga melahirkan satu persoalan lain.
Apakah kesannya kepada pembangunan luar bandar apabila projek baharu perlu dibatalkan atau ditangguhkan hanya untuk membayar komitmen lama?
Ini boleh menjadi suatu kitaran yang tidak sihat.
Peruntukan tahun semasa digunakan untuk membayar komitmen tahun lalu.
Akibatnya projek tahun semasa ditangguhkan.
Kemudian projek tersebut dibawa pula ke tahun berikutnya.
Jika tidak ditangani secara menyeluruh, masalah ini boleh menjadi snowball effect.
Permohonan dikatakan telah dibuat sejak suku kedua 2026
Satu lagi fakta penting dalam penjelasan KKDW ialah kementerian dikatakan telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Kewangan pada suku kedua 2026 bagi menampung pembayaran tertunggak untuk projek-projek yang sedang berjalan.
Jika demikian, timbul persoalan yang munasabah:
Apakah keputusan terhadap permohonan tersebut?
Bilakah keperluan sebenar kementerian dikenal pasti?
Berapa jumlah yang dimohon?
Berapa jumlah komitmen matang pada ketika itu?
Adakah Kementerian Kewangan telah dimaklumkan bahawa tanpa tambahan atau pelepasan peruntukan, pembayaran kontraktor akan mula tertangguh?
Ini perkara yang perlu dijelaskan.
Bukan untuk mencari kesalahan.
Tetapi supaya sistem dapat diperbaiki.
RM300 juta: tambahan baharu atau peruntukan yang memang diperlukan?
Perkara paling menarik dalam penjelasan terbaharu KKDW ialah mengenai RM300 juta.
Kementerian Kewangan sebelum ini menggambarkannya sebagai peruntukan tambahan yang diluluskan bagi membantu menyelesaikan tunggakan.
Namun pihak KKDW memberikan penjelasan yang berbeza.
Menurut KKDW, RM300 juta tersebut bukanlah suatu “bonus” atau peruntukan baharu yang tiba-tiba diberikan kepada kementerian.
Ia merupakan peruntukan yang diperlukan bagi memenuhi komitmen dan pembayaran tertunggak yang telah pun wujud.
Lebih menarik, menurut penjelasan itu, Surat Kuasa Berbelanja bagi RM300 juta tersebut dikeluarkan pada petang 1 September 2026, selepas isu berkenaan sekali lagi dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada pagi hari yang sama.
Jika demikian, persoalannya bukan:
“Mengapa KKDW meminta wang tambahan?”
Persoalannya menjadi:
“Mengapa wang untuk membayar komitmen yang telah diketahui masih belum disalurkan sehingga isu itu terpaksa dibangkitkan pada peringkat tertinggi?”
Itu persoalan yang sangat berbeza.
Dan RM300 juta masih tidak mencukupi
KKDW juga menjelaskan bahawa RM300 juta tersebut masih tidak mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan pembayaran.
Lebih membimbangkan, pelarasan seterusnya dikatakan hanya akan dibuat pada hujung tahun berdasarkan penjimatan atau lebihan peruntukan kementerian lain.
Di sini saya melihat satu persoalan pengurusan fiskal yang lebih besar.
Kalau kerajaan telah mengetahui jumlah komitmen kontrak yang perlu dibayar, mengapa penyelesaiannya bergantung kepada:
“kita tunggu dahulu kalau ada kementerian lain mempunyai penjimatan pada hujung tahun”?
Liabiliti kerajaan bukan perkara yang sepatutnya ditentukan berdasarkan nasib sama ada kementerian lain berbelanja atau tidak.
Apabila kerja telah dilaksanakan, diperakui dan bayaran telah matang, kerajaan mempunyai account payable.
Ia sudah menjadi hutang.
Memindahkan peruntukan dari satu kementerian ke kementerian lain mungkin merupakan mekanisme pengurusan fiskal yang sah.
Tetapi dari sudut pengurusan, kita masih perlu bertanya:
Mengapa keperluan tersebut tidak dirancang lebih awal berdasarkan keseluruhan komitmen kontrak kerajaan?
Jangan jadikan kontraktor bank kerajaan
Inilah prinsip yang paling penting.
Kerajaan mempunyai ruang fiskal yang jauh lebih besar berbanding kebanyakan kontraktor.
Kerajaan boleh menyusun semula peruntukan.
Kerajaan boleh membuat pindah peruntukan.
Kerajaan boleh menyediakan anggaran tambahan.
Kerajaan boleh menyelaras keperluan antara kementerian.
Tetapi kontraktor mempunyai gaji untuk dibayar setiap bulan.
Mereka mempunyai bank.
Pembekal.
Subkontraktor.
Sewa jentera.
Insurans.
Bahan binaan.
Cukai.
Dan keluarga pekerja yang bergantung kepada gaji.
Apabila kerajaan menangguhkan RM10 juta bayaran kepada sebuah kontraktor, kerajaan mungkin melihatnya sebagai satu angka dalam sistem.
Tetapi dalam ekonomi sebenar, RM10 juta itu mungkin bermaksud puluhan subkontraktor yang tidak menerima bayaran.
Ratusan pekerja yang gajinya terjejas.
Pembekal yang terpaksa menanggung hutang lebih lama.
Bank yang mengenakan kos pembiayaan.
Sebab itulah saya sering mengatakan:
Jangan jadikan kontraktor sebagai bank kerajaan.
Ada satu lagi lapisan: KKDW bukan semestinya membayar kontraktor secara terus
Penjelasan pihak KKDW turut mengemukakan satu fakta yang jarang dibincangkan.
Bagi sebahagian projek, peruntukan KKDW bukan dibayar secara terus kepada kontraktor.
Sebaliknya peruntukan disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya atau agensi penyelia pelaksanaan projek, sebelum pembayaran dibuat mengikut mekanisme pelaksanaan yang berkenaan.
Ini menambahkan satu lagi lapisan dalam rantaian pembayaran:
Kementerian Kewangan ke KKDW ke JKR/agensi pelaksana ke kontraktor ke subkontraktor.
Maka apabila pembayaran tertangguh, kita perlu mengenal pasti dengan tepat:
Di meja mana ia tertangguh?
Adakah peruntukan belum dikeluarkan?
Adakah Surat Kuasa Berbelanja belum diterima?
Adakah wang sudah sampai kepada kementerian tetapi belum disalurkan kepada agensi?
Adakah agensi belum mengesahkan tuntutan?
Adakah sijil bayaran belum diproses?
Atau kerja mempunyai isu teknikal?
Tanpa end-to-end visibility, masing-masing boleh mengatakan:
“Di pihak kami semuanya sudah selesai.”
Sedangkan kontraktor di hujung rantaian masih belum menerima wang.
Kita perlukan satu “reconciliation” penuh 2019–2026
Sebab itu saya mencadangkan supaya isu ini tidak diselesaikan melalui kenyataan media yang saling menjawab.
Bentangkan angka.
Mulakan pada 2019.
Bagi setiap tahun sehingga 2026, tunjukkan:
Peruntukan asal.
Peruntukan disemak.
Peruntukan tambahan.
Pindah peruntukan.
Surat Kuasa Berbelanja.
Nilai Surat Setuju Terima.
Jumlah komitmen kontrak.
Nilai kerja dilaksanakan.
Nilai kerja diperakui.
Jumlah pembayaran.
Baki komitmen.
Akaun belum bayar.
Tunggakan dibawa ke tahun berikutnya.
Apabila semua angka ini diletakkan dalam satu jadual, rakyat tidak perlu lagi berdebat berdasarkan persepsi.
Kita akan tahu apa sebenarnya berlaku.
Bezakan “budget overrun” dengan “cash-flow shortfall”
Ini sangat penting.
Jika sebuah projek diluluskan RM100 juta tetapi akhirnya membelanjakan RM150 juta tanpa kelulusan, itu budget overrun.
Ia memerlukan penjelasan serius.
Tetapi jika projek RM100 juta itu masih dalam siling RM100 juta, cuma RM40 juta tuntutan perlu dibayar tahun ini sedangkan peruntukan tahunan hanya RM25 juta, itu masalah cash-flow allocation.
Begitu juga jika kerajaan telah menandatangani kontrak bernilai RM5 bilion yang dilaksanakan selama beberapa tahun, kita tidak boleh sekadar membandingkan RM5 bilion itu dengan peruntukan satu tahun.
Kita mesti melihat profil komitmen keseluruhan kontrak.
Itulah sebabnya istilah yang digunakan sangat penting.
Satu istilah yang tidak tepat boleh memberikan gambaran bahawa kementerian melakukan pelanggaran kewangan sedangkan masalah sebenar mungkin berpunca daripada ketidakpadanan antara komitmen kontrak berbilang tahun dengan peruntukan tahunan.
Tetapi KKDW juga perlu menunjukkan semua angka
Pada masa yang sama, penjelasan daripada pihak KKDW tidak seharusnya dianggap sebagai noktah terakhir.
Jika KKDW mempertikaikan istilah “berbelanja melebihi peruntukan”, maka kementerian juga wajar membentangkan data.
Berapa sebenarnya jumlah SST yang dikeluarkan dari 2019 hingga 2021?
Berapa nilai kontrak yang tertangguh akibat COVID-19?
Berapa nilai tuntutan yang kemudian matang antara 2022 hingga 2026?
Berapa jumlah yang telah dibayar?
Berapa jumlah masih tertunggak?
Berapa permohonan tambahan yang dibuat kepada Kementerian Kewangan?
Bila permohonan dibuat?
Berapa yang diluluskan?
Itulah cara terbaik membersihkan persepsi.
Bukan dengan retorik.
Tetapi dengan nombor.
Ini bukan masa untuk MOF dan KKDW bertelagah
Saya bersetuju dengan semangat penjelasan KKDW dalam satu perkara.
Perkara ini tidak harus berubah menjadi pertikaian terbuka antara dua kementerian.
Kementerian Kewangan mempunyai tanggungjawab menjaga disiplin fiskal negara.
KKDW pula mempunyai tanggungjawab melaksanakan projek pembangunan luar bandar dan memastikan komitmen kerajaan kepada kontraktor dipenuhi.
Kedua-duanya adalah sebahagian daripada kerajaan yang sama.
Kontraktor tidak peduli siapa menang hujah.
Mereka hanya mahu mengetahui:
Bilakah kerja yang telah mereka lakukan akan dibayar?
Persoalan sebenarnya lebih besar daripada RM300 juta
Pada saya, isu ini memberikan peluang kepada kerajaan melakukan reformasi dalam pengurusan projek pembangunan.
Setiap kementerian patut mempunyai satu Commitment and Cash Flow Dashboard secara masa nyata.
Bagi setiap projek, sistem mesti menunjukkan:
Project Ceiling
Approved Annual Allocation
Contract Value
Committed Amount
Certified Work
Amount Paid
Outstanding Certified Payment
Projected Cash Requirement
Sistem sepatutnya memberikan amaran enam atau sembilan bulan sebelum berlaku kekurangan peruntukan.
Jika pada bulan Mac sudah diketahui bahawa kementerian memerlukan RM3 bilion sedangkan peruntukan hanya RM2 bilion, jangan tunggu sehingga September untuk mencari RM1 bilion lagi.
Itulah gunanya perancangan.
Akhirnya, persoalan asal masih belum terjawab
Selepas membaca penjelasan Kementerian Kewangan dan penjelasan pihak KKDW, saya semakin yakin bahawa kita tidak sepatutnya terlalu cepat menggunakan istilah “KKDW terlebih belanja”.
Mungkin persoalan sebenarnya ialah:
Adakah KKDW terlebih belanja, atau komitmen projek kerajaan daripada tahun-tahun sebelumnya telah melebihi peruntukan tunai yang disediakan bagi tahun semasa?
Jika komitmen itu tidak pernah diluluskan, siasat.
Jika kontrak ditandatangani tanpa peruntukan, tentukan siapa bertanggungjawab.
Jika berlaku pelanggaran Arahan Perbendaharaan, ambil tindakan.
Tetapi jika projek telah diluluskan, SST telah dikeluarkan, kontrak sah, kerja telah dilaksanakan, tuntutan telah diperakui dan masalahnya hanyalah peruntukan tahunan tidak mencukupi, maka jangan gambarkan kontraktor dan kementerian pelaksana seolah-olah telah melakukan perbelanjaan sesuka hati.
Kerajaan perlu melakukan reconciliation.
Dan rakyat berhak melihatnya.
Kerana akhirnya ada satu prinsip yang sangat mudah:
Bajet ialah rancangan.
Kontrak ialah komitmen.
Kerja yang telah diperakui ialah liabiliti.
Dan liabiliti yang sah mesti dibayar.
Kerajaan boleh mengawal projek baharu.
Kerajaan boleh memperlahankan perbelanjaan masa hadapan.
Kerajaan boleh menyusun semula keutamaan.
Tetapi kerajaan tidak boleh menganggap wang yang belum dibayar kepada kontraktor sebagai satu bentuk penjimatan.
Kerja telah dibuat. Hutang telah wujud.
Persoalan sekarang bukan lagi semata-mata:
“Mengapa KKDW terlebih belanja?”
Tetapi persoalan yang lebih tepat ialah:
“Adakah KKDW benar-benar terlebih belanja – atau kerajaan belum menyediakan aliran peruntukan yang sepadan dengan komitmen kontrak yang kerajaan sendiri telah wujudkan?”
Dan jika jawapannya adalah yang kedua, maka penyelesaiannya bukan mencari siapa yang hendak dipersalahkan.
Penyelesaiannya ialah memastikan Kementerian Kewangan, KKDW, JKR dan semua agensi pelaksana duduk pada satu meja, menyelaraskan keseluruhan komitmen 2019–2026, menentukan jumlah liabiliti sebenar dan menetapkan jadual pembayaran yang jelas.
Kerana pada akhirnya, kredibiliti kerajaan bukan dinilai hanya daripada berapa banyak projek yang diumumkan atau berapa besar bajet yang diluluskan.
Ia dinilai daripada satu janji yang sangat mudah:
Apabila kerajaan mengarahkan sesuatu kerja dilaksanakan, dan kerja itu telah disempurnakan dengan sah, kerajaan akan membayarnya.
Itulah disiplin kewangan.
Itulah tadbir urus.
Dan itulah amanah.

More Stories
Statistik Negara Milik Rakyat: Benteng Melawan Berita Palsu dan Manipulasi Fakta
Tuan Haji Abdul Wahab Alwi: Orang Yang Melihat Potensi Anak Melayu Sebelum Dunia Melihatnya
Keluar Daripada Keselesaan, Belajar Tentang Kehidupan