Ogos 16, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Keanjalan Khutub Politik Di Malaysia

Sekitar awal tahun 2021, saya ada menulis satu rencana mengenai khutub politik di Malaysia. Ilham penulisan rencana itu tercetus selepas kami berenam dari MPM dijemput untuk mengadakan pertemuan dengan tonggak utama kepimpinan UMNO ketika itu.

Pada masa itu, kedudukan UMNO amat terumbang-ambing.  Ada ura-ura untuk ia beralah, meninggalkan khutub politik yang diterajuinya sekian lama, untuk ikut berhijrah ke khutub politik yang lagi satu, yang dikuasai DAP.

Pada era pramerdeka, UMNO yang terajui Perikatan, bersama dua lagi parti pengasas, MCA dan MIC, amat gah menjadi tempat rakyat menyandarkan harapan, memperjuangkan kemerdekaan.

Parti-parti pembangkang tidak membentuk kesepakatan bagi berlawan dengan Perikatan.  Maka, pada ketika itu hanya ada satu saja khutub politik berpengaruh, iaitu Perikatan.

Selang enam tahun selepas Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia bersama-sama Sarawak dan Sabah, manakala Singapura dikeluarkan, sisa-sisa PAP yang dijenamakan sebagai DAP, bertapak begitu kuat.

Kekuatannya amat luar biasa. Ia didukung sama oleh pengaruh kekuatan ekonomi dalam kalangan penyokong tegar MCA yang berhijrah ke DAP atau memilih untuk menyokong PGRM, parti serpihan MCA.

Para pelompat ini, majoriti dalam kalangan penggerak ekonomi negara, rancak berpesta, apabila negara melaksanakan RMK-1, yang mengamalkan dasar ekonomi pasaran terbuka, sekali gus meminggirkan orang Melayu daripada dunia ekonomi.

Menjelang PRU3 1969, kekuatan khutub politik Perikatan diterajui UMNO benar-benar teruji. MCA semakin lemah. PGRM dan DAP ibarat singa lapar. DAP bukan saja semakin kuat tetapi juga semakin biadap. Ia menerajui khutub politik menentang Perikatan.

Sekalipun Perikatan bersama-sama sekutu politiknya di Sarawak dan Sabah memenangi PRU 1969 itu, ia sekadar mampu membentuk kerajaan yang lemah.

Pesta politik melampau pasca-PRU3 1969, didalangi DAP akhirnya mencetuskan peristiwa hitam dalam sejarah negara, apabila tragedi 13 Mei tercetus.

Dalam tempoh masa pentadbiran MAGERAN, Perikatan berusaha keras memujuk beberapa parti politik utama, termasuk PAS, PGRM serta parti-parti utama di Sarawak dan Sabah bergabung, membentuk Barisan Nasional (BN). Khutub politik diterajui Perikatan membesar menjadi BN yang amat berpengaruh. Khutub politik dikuasai DAP hilang taring.

Pun begitu, DAP tetap tegar untuk kekal bersendirian.

Masa berubah pantas. Kekuatan BN memakan dirinya. Dek kekuatan itu, BN menjadi parti yang bongkak, mentadbir negara dengan tatakelola yang bocor di sana-sini. Rasuah dan salah guna kuasa serta beberapa sifat mazmumah lain merosakkan ramai pemimpin dalam BN. Ia ibarat barah yang tiada tabib mampu merawatnya.

Pada masa yang sama, perebutan kuasa dalam beberapa parti tonggak utama BN semakin menjadi-jadi.

Pergolakan kepimpinan PAS di Kelantan menyebabkan parti itu terbelah empat, lantas memaksa ia dikeluarkan daripada BN.

Sekalipun PAS tidak menyertai khutub politik dikuasai DAP, mereka sepakat menjadikan BN the common enemy.

Pergolakan USNO di Sabah memberi laluan untuk UMNO bertapak di sana. Pada masa yang sama, lahirlah beberapa parti politik lain, ada antaranya berkiblat kepada DAP, menentang BN.

Secara perlahan, DAP berjaya menjadikan khutub politiknya berpengaruh.

Pergolakan dalaman UMNO melahirkan Semangat 46 yang akhirnya, berhijrah ke khutub bersekutu dengan DAP.

Pergolakan dalaman UMNO bak api dalam sekam. Pertikaian sebelum ini yang menyaksikan Semangat 46 bersekongkol dengan DAP, tidak memberikan apa-apa pengajaran kepadanya.

Episod perpecahan seterusnya dalam UMNO menyaksikan DSAI disingkirkan, lantas beliau menubuhkan PKR, yang kemudiannya juga berhijrah ke khutub politik diterajui DAP.

Dengan pengaruh DSAI, tiga pembangkang utama, DAP, PKR dan PAS akhirnya membentuk Pakatan Rakyat (PR), untuk lebih tersusun dalam usaha kolektif mereka cuba menjatuhkan BN.

Barah dalam UMNO semakin parah. Pemimpinnya terus berbalah. Sekutu tradisinya dalam BN juga semakin dijauhi oleh penyokong tegar masing-masing. Bukan saja parti serpihan meninggalkan BN, penyokong mereka juga berduyun-duyun menyertai parti politik dalam blok PR. UMNO semakin lemah, manakala MCA dan MIC semakin tidak relevan.

Kemuncak perpecahan dalam UMNO ialah menjelang PRU14 2018, apabila ramai pemimpinnya keluar dan bersekutu pula dengan PR. Inilah mobiliti politik paling besar dalam sejarah politik tanah air.

Pola mobiliti atau penghijrahan khutub politik ini sama saja sejak penubuhan Semangat 46, iaitu parti-parti politik yang menjauhi BN akan berhijrah menyertai  khutub politik lawan diketuai DAP.

Hasil daripada penghijrahan khutub politik ini, akhirnya, bukan saja kerajaan BN berjaya ditumbangkan, lebih parah ialah UMNO yang sekian lama begitu angkuh dan gah, jatuh tersungkur dengan hanya berbaki sekitar 30 kerusi parlimen.

Satu demi satu parti gabungan meninggalkannya. Penyudahnya BN berbalik kepada komposisi tiga parti asal dalam Perikatan, iaitu UMNO, MCA dan MIC yang kesemuanya nyawa-nyawa ikan.

Khutub politik lawan diterajui DAP dan didukung sama oleh orang UMNO yang menikamnya dari belakang, menerusi Bersatu, menjadi khutub politik baharu yang cukup kuat untuk membentuk kerajaan.

Akhirnya, Perikatan (dan PAS yang berseteru dengan PR), buat sekian kalinya bersepakat sebagai pembangkang. Beberapa acara politik, seperti demonstrasi menolak ICERD, mereka bersama menentangnya.

Selama lapan tahun Perikatan berada di khutub pembangkang yang lemah. Ia dilabel sebagai parti politik Melayu yang cacat. Ramai dalam kalangan pemimpinnya terkait dengan puluhan kes mahkamah.

Selepas pergolakan politik ‘Sheraton Move 2020’, terbentuk satu lagi khutub politik dalam kalangan orang Melayu. Bersatu berpisah daripada PH, bersekutu dengan PAS, membentuk PN, tetapi enggan bersekutu dengan BN kerana membenci UMNO.

Dek ketegaran Bersatu itu, dalam PRU15 2022, berlakulah persaingan tiga khutub politik, BN, PH dan PN. Keputusannya merugikan orang Melayu. PN kekal tegar, mati hidup balik, enggan bersepakat dengan BN. Akhirnya, BN dipujuk untuk melengkapkan kekuatan PH membentuk Kerajaan Madani. GPS juga akur dan mengikut kehendak BN.

BN melalui banyak ujian apabila bersetuju bersama-sama PH membentuk Kerajaan Madani.

Pun demikian, ahli-ahli UMNO cekal setia demi menyelamatkan UMNO sebagai institusi politik keramat orang Melayu, sekalipun calar-balar, penuh luka dan parut politik, dihentam dan diserang dari pelbagai sudut. Dosa segelintir pemimpin ditanggung oleh UMNO dan ahli-ahlinya yang setia.

MCA dan MIC pula senantiasa main acah-acah dengannya. Hari ini kata nak tinggalkan BN, esok rujuk balik. Apa pun, alhamdulillah, ketiga-tiga parti itu kekal dalam BN.

Keanjalan dan dinamik politik Malaysia belum berakhir. Ia akan kekal anjal buat beberapa penggal PRU akan datang.

Keresahan BN berada dalam Kerajaan Madani, dan keresahan PAS berada dalam PN bersama-sama Bersatu, akhirnya mencetus satu mobiliti politik baharu.

Majlis Perundingan Melayu (MPM) pula, semasa Majlis Sembang-sembang Santai 2025 pada 20 Ogos 2025, meniupkan sentimen penyatuan Melayu, demi kelangsungan kuasa politik Melayu, dengan misi undi Melayu, calon Melayu. Misi itu digerakkan secara covert.

Dalam lingkaran politik, BN diterajui UMNO dan PN diterajui PAS, memainkan sentimen yang sama. Gemanya semakin kuat.

Akhirnya, BN memberanikan diri untuk bergerak solo. PRN Johor menjadi pentas ujiannya. BN berjaya.

Diuji pula dengan persefahaman antara BN dengan PN pada PRN Negeri Sembilan. Juga beroleh kejayaan.

Hatta, semakin anjallah mobiliti politik antara tiga khutub utama, yang kini kembali kepada dua, satu diterajui bersama BN-PN dan yang lagi satu oleh DAP. Bersatu memilih untuk kekal sebagai khutub ketiga yang ternyata kian tidak relevan.

Sekalipun UMNO masih diterajui muka-muka yang sama, sokongan kembali kepadanya. Mereka yang kekal setia bersama-sama UMNO bijak dalam mempertahankannya sebagai institusi politik keramat bagi orang Melayu. PAS pula, yang diperkukuh dengan kehadiran Wawasan iaitu serpihan kepada Bersatu, dilihat ada kesungguhan untuk membina semula kesepakatan dengan BN, sekalipun formula kesepakatan itu masih lagi berbentuk kesepakatan semasa.

Dengan mobiliti itu dalam kalangan BN dan PN, khutub politik diterajui DAP semakin menggelabah. DAP membina keinginan, cuba meniru BN untuk bergerak solo selepas PRN Negeri Sembilan.

Pada hemat saya, DAP belum ada keberanian untuk berbuat demikian. Esok, Ahad 16 Ogos 2026, 4,000 perwakilan DAP akan bersidang untuk membuat keputusan akan pendirian mereka. Bagi kita semua, ia adalah satu keputusan yang ramai daripada kita sudah dapat menekanya.

Persoalannya, jika DAP belum berani bergerak solo, adakah ia ada kekuatan untuk terus memikul dua bagasi yang semakin membebankannya?

Apa pun, alhamdulillah BN dan PN sudah ada persefahaman, sekalipun ia hanya terbina mengikut keperluan semasa. Setidak-tidaknya persefahaman itu sudah cukup kuat untuk parti-parti politik utama orang Melayu, menjauhi khutub politik dikuasai DAP.

Persoalan seterusnya kepada para pemimpin BN dan PN ialah kemampuan mereka mengurus keanjalan kesepakatan itu. Mesti ada resipi dan mekanisme yang mampu mengekang mobiliti mana-mana sekutunya daripada berbalik semula ke khutub politik dikuasai DAP.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan 2026

Dato’ Dr. Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM 15 Ogos 2026