Ogos 11, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Dari Kuala Lumpur ke Tasik Bera: Menyemai Hak Orang Asli dalam Arus Pembangunan

Oleh: Ahmad Ismail,

Setiap 9 Ogos, dunia memperingati Hari Orang Asli Sedunia sebagai simbol pengiktirafan terhadap hak, warisan budaya dan kelestarian masyarakat peribumi. Sambutan tahun 2026 membawa tema yang menekankan kebajikan Orang Asli, hak mereka dalam Perlembagaan Malaysia, serta cabaran besar akibat arus perbandaran yang semakin pesat di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya seperti Gombak, Damansara, Kepong dan Sungai Penchala. Di sinilah kejutan budaya (cultural shock) dan tekanan ekonomi mula menjerat komuniti yang bergantung kepada sumber hutan, namun kini berdepan kehilangan kawasan rayau dan peluang pekerjaan.

Perlembagaan menjamin hak Orang Asli, tetapi realiti menunjukkan jurang semakin melebar. Pendidikan yang tertinggal, komunikasi terbatas, serta persaingan kerja dengan pekerja asing menambah beban. Penyelesaian mesti menyeluruh: memperkukuh pendidikan vokasional, menyediakan latihan kemahiran, dan membuka ruang ekonomi baharu melalui pelancongan komuniti, produk kraftangan, serta pengurusan hutan lestari. Penanaman semula pokok hutan untuk pemulihan ekosistem bukan sahaja menjamin kepelbagaian biologi, tetapi juga membuka peluang pendapatan melalui sistem hasil hutan yang dikawal rapi. Kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kemajuan Orang Asli, serta pihak berkuasa tempatan amat penting. Universiti pula boleh menyumbang melalui kepakaran penyelidikan dan pemindahan ilmu.

Di kawasan bandar, termasuk Kuala Lumpur, hutan simpan yang masih wujud perlu dipulihkan dengan tumbuhan asli, dijadikan kawasan rekreasi, muzium tanaman, pameran hasil kraf tangan, penyelidikan dan pendidikan. Orang Asli tempatan boleh memanfaatkan kawasan ini untuk mengekalkan amalan tradisi dalam menjaga kelestarian hutan, sekali gus mempromosikan pelancongan dan pendidikan.

Tasik Bera, Tapak Ramsar pertama Malaysia, menjadi contoh penting. Sebagai kawasan perlindungan, ia memerlukan sistem pengawasan ketat terhadap produk hutan dan kajian kesihatan hasil hutan. Konsep Access and Benefit Sharing (ABS) yang diketengahkan di peringkat antarabangsa mesti dimanfaatkan di Malaysia. Perkongsian sumber kepelbagaian biologi perlu dilaksanakan secara adil antara masyarakat Orang Asli dan pihak lain. ABS bukan sekadar mekanisme undang-undang, tetapi jaminan bahawa komuniti peribumi tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan global.

Dalam konteks Tasik Bera, perancangan kawasan riparian dan zon penampan mesti diintegrasikan dengan Rancangan Kawasan Khas (RKK). Zon penampan perlu dipulihkan dengan penanaman semula pokok hutan asli, termasuk spesies yang berkepentingan kepada komuniti Semelai. Tapak semaian mesti diwujudkan, latihan kutipan dan penyediaan benih diberikan, agar pemulihan ekosistem memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk tempatan. Amalan tradisi menjaga lubuk oleh kaum Semelai mesti dihormati sebagai sistem pengurusan sumber yang terbukti berkesan, menjamin kelestarian populasi ikan dan keterjaminan makanan.

Tema Hari Orang Asli Sedunia 2026 juga menegaskan kepentingan kesihatan berasaskan amalan perubatan tradisional. Sumber hutan berfungsi sebagai farmasi semula jadi, membekalkan herba ubatan kritikal untuk kesejahteraan komuniti. Kajian saintifik tentang potensi sumber hutan perlu dipercepatkan, difokuskan mengikut kawasan dan etnik, khususnya di Royal Belum-Temengor dan Hutan Simpan Pasoh. Program pemuliharaan zon hutan mesti dilaksanakan secara drastik bagi menyekat pencerobohan, mengekalkan ekosistem kepelbagaian biologi, serta menjamin kelestarian perubatan tradisional.

Sambutan Hari Orang Asli Sedunia bukan sekadar acara simbolik. Ia adalah seruan agar kebajikan, hak perlembagaan, pendidikan dan kelestarian ekologi menjadi agenda nasional. Orang Asli mesti dilihat sebagai rakan pembangunan, bukan mangsa pembangunan. Dengan itu, Malaysia dapat memastikan arus perbandaran dari Kuala Lumpur hingga ke Tasik Bera dan hutan simpan lain tidak meranapkan identiti, tetapi memperkukuh kelestarian bersama. Semua janji, perancangan dan tindakan semasa serta selepas sambutan mesti diaudit bagi memenuhi matlamat kesejahteraan Orang Asli, kelestarian sumber asli dan manfaat bersama. Orang Asli bukan sekadar merayau di hutan, tetapi menjadi mata dan telinga negara dalam menjaga khazanah alam.