Julai 14, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Pisang Malaysia: Diancam Penyakit, Di Mana Model Kawalan Kita?

Oleh: Ahmad Ismail

Industri pisang Malaysia bukan sekadar soal buah tropika yang digemari ramai. Ia adalah nadi ekonomi pekebun kecil, sumber makanan harian rakyat, dan bahan asas kepada produk popular seperti pisang salai, kerepek, pisang goreng, hingga pisang segar di meja makan. Namun, laporan Utusan Malaysia (Jun 2026) mengenai pekebun di Rembau yang menanggung kerugian besar akibat serangan penyakit akar mendedahkan realiti getir: industri pisang kita sedang berdepan krisis yang boleh menggugat sekuriti makanan negara.

Johor pernah menjadi pusat utama tanaman pisang sejak awal abad ke-20, manakala Negeri Sembilan pula terkenal dengan pekebun kecil yang menjadikan pisang sebagai sumber pendapatan keluarga. Kini, kisah lama itu berulang dalam bentuk ancaman baharu oleh Penyakit Darah Pisang (BDB), Layu Fusarium TR4, dan Layu Bakteria Moko. Ancaman ini bukan sekadar merosakkan pokok, tetapi memusnahkan harapan pekebun kecil yang bergantung kepada hasil ladang untuk kelangsungan hidup. Layu Fusarium TR4 khususnya adalah “pembunuh senyap” yang mampu melumpuhkan keseluruhan ladang.

Kerugian di Rembau hanyalah satu contoh kecil. Kos meningkat, hasil merosot, bekalan pisang berkurangan, dan pasaran terganggu. Industri makanan ringan dan tradisional yang bergantung kepada pisang turut terjejas. Tanpa intervensi segera, kita berisiko kehilangan salah satu sumber makanan penting yang menjadi sebahagian budaya rakyat Malaysia.

Institusi kerajaan seperti KPKM dan MAQIS mesti tampil dengan kuarantin ketat, dana pemulihan ladang, serta pelan strategik nasional kawalan penyakit pisang. Jabatan Pertanian (DOA) pula perlu memperluas pengeluaran benih kultur tisu bebas penyakit, memberi khidmat nasihat, dan mendidik petani tentang biosekuriti ladang. MARDI sebagai agensi penyelidikan penting harus membangunkan teknologi rawatan khusus, termasuk merangsang sistem imun semula jadi pokok, serta menghasilkan varieti pisang tahan penyakit. Universiti seperti UPM, UKM, USM dan UNISZA pula memainkan peranan kritikal melalui kajian genomik, diagnostik pantas, dan ekologi tanah untuk memahami interaksi mikrobiom sebagai benteng semula jadi terhadap patogen.

Namun, semua usaha ini tidak akan bermakna jika bergerak secara terpisah. Penyelidik, agensi berkaitan, dan petani mesti disatukan dalam satu ekosistem penyelesaian. Seminar, bengkel, dan perbincangan tahunan perlu dijadikan platform koordinasi. Kegagalan bertindak segera hanya akan melahirkan kekecewaan petani dan kekosongan bekalan pisang di pasaran.

Kawalan penyakit pisang tidak boleh bergantung semata-mata kepada racun kimia. Ekologi tanah menawarkan jawapan. Bakteria baik dan kulat endofit mampu menekan patogen jahat dalam ekosistem yang stabil. Nature-based solutions seperti biofertilizer, pengurusan air, dan tanaman penutup bumi boleh mengembalikan keseimbangan ekosistem ladang. Inilah masa untuk kita mengangkat pendekatan ekologi sebagai model kawalan penyakit pisang yang mampan.

Ancaman Layu Fusarium dan Penyakit Darah mendedahkan kepincangan rantaian kawalan. Amalan Pertanian Baik (myGAP) masih tidak sekata. Mungkin pengusaha komersial patuh kepada muGAP, tetapi majoriti pekebun kecil mengabaikan biosekuriti dan terus menggunakan sulur liar berpenyakit demi menjimatkan kos. Jurang ini mesti ditutup melalui pendidikan, latihan industri, dan pengembangan ladang oleh DOA, MARDI, serta universiti.

Industri pisang Malaysia memerlukan tindakan segera dan bersepadu. Kerajaan mesti memperkukuh dasar, agensi pelaksana perlu turun padang, institusi penyelidikan wajib menghasilkan inovasi praktikal, dan universiti harus menghubungkan ilmu dengan komuniti tani. Jika tidak, kita akan menyaksikan pisang – buah yang pernah menjadi kebanggaan Johor dan Negeri Sembilan – hilang dari ladang dan meja makan rakyat. Pisang bukan sekadar buah, ia adalah simbol kelangsungan makanan dan budaya Malaysia. Serangan penyakit akar di Rembau adalah amaran keras. Persoalannya: adakah kita bersedia membina model kawalan berasaskan ekologi dan penyelesaian semula jadi, atau kita akan terus membiarkan pekebun kecil menanggung kerugian tanpa pembelaan?