Mei 26, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Krisis Kepelbagaian Biologi: Sambutan atau Tanggungjawab?

Oleh Ahmad Ismail FASc.

Setiap 22 Mei, dunia meraikan Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa. Seminar, bengkel, pameran, kuiz, dan aktiviti luar seperti merentas hutan memberi peluang masyarakat pelbagai lapisan mendekati alam. Namun, di sebalik kegembiraan itu, persoalan besar muncul: adakah kita benar-benar memahami apa itu kepelbagaian biologi dan mengapa ia penting untuk kelangsungan hidup kita?

Kepelbagaian biologiialah variasi kehidupan di bumi, merangkumi tiga komponen utama iaitu genetik, spesies, dan ekosistem. Genetik melihat perbezaan DNA antara individu yang menentukan ketahanan dan kelangsungan spesies. Spesies pula memahami kepelbagaian haiwan, tumbuhan, kulat, dan mikroorganisma, manakala ekosistem meneliti interaksi antara makhluk hidup dengan habitatnya, seperti hutan hujan, sungai, paya, dan laut.

Tanpa kepelbagaian ini, ekosistem akan rapuh. Manusia pula berisiko kehilangan sumber makanan, ubatan, dan keseimbangan alam yang menjadi asas kehidupan.

Hari ini, dunia berdepan cabaran besar: perubahan iklim yang mengubah habitat, pencemaran yang merosakkan ekosistem, serta kehilangan kepelbagaan biologi yang semakin ketara. Ribuan bahan kimia baharu dihasilkan setiap tahun tanpa ujian kesan persekitaran yang lengkap. “Bahan kimia kekal” mencemarkan air dan tanah, mengancam ekosistem serta rantaian makanan manusia.

Malaysia sendiri berdepan risiko kepupusan spesies ikonik seperti gajah, harimau, seladang, beruang, tapir, beberapa spesies primat, dan burung upeh. Kehilangan ini bukan sahaja tragedi ekologi, tetapi juga kehilangan identiti negara.

Konflik antara manusia dan haiwan liar seperti gajah, kera, atau spesies invasif sering dibincangkan tetapi jarang selesai. Dana besar dibelanjakan, namun tanpa strategi berfokus, masalah berulang tanpa penyelesaian.

Konflik gajah dengan ladang kelapa sawit misalnya, mencatatkan kerugian melebihi RM39.4 juta bagi tempoh 2020–2024, hasil daripada 4,919 aduan. Pokok sawit muda dimusnahkan, infrastruktur ladang rosak, dan pekebun kecil menanggung kerugian besar. Selain impak ekonomi, komuniti turut mengalami trauma emosi akibat ancaman keselamatan berterusan.

Penyelesaian memerlukan pendekatan harmoni seperti pembinaan koridor ekologi, penanaman tumbuhan makanan gajah, pemasangan pagar elektrik, penggunaan kolar satelit untuk amaran awal, serta skim pampasan daripada PERHILITAN. Begitu juga dengan konflik kera di kawasan perumahan dan rekreasi yang kini mungkin membawa cabaran baharu melalui penyakit zoonotik.

Kesedaran masyarakat sering dipandang ringan. Aktiviti NGO dan sukarelawan lain kadang-kadang tidak bermodul, tanpa jurulatih bertauliah. Pendidikan kepelbagaian biologi mesti berubah dan ditambahbaik. Latihan CEPA (Communication, Education, Public Awareness) untuk guru sains sekolah rendah dan menengah mesti bermodul, dengan pameran di sekolah seperti taman ekologi. Tajuk kepelbagaian biologi perlu digembleng dalam kurikulum dan kokurikulum. Dana untuk CEPA mesti diagih secara sistematik dengan merujuk pakar ekologi, genetik, dan taksonomi. Penglibatan agensi Kerajaan dan pihak swasta tempatan perlu digerakkan.

Tanpa pendekatan ini, kesedaran hanya berulang-ulang tanpa hasil, dan akhirnya ekosistem musnah serta spesies pupus.

Malaysia sebagai negara kaya dengan kepelbagaian biologi mesti lebih fokus dan serius dengan dasar negara. Kejayaan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan mesti disemak dengan terperinci, Perlaksanaan dasar, dana, kepakaran, dan penglibatan swasta mesti bergerak seiring. Pemantauan saintifik dan sistematik perlu dijalankan sepanjang masa. Teknologi AI boleh membantu analisis data untuk keputusan tepat. Kerajaan mesti mendapatkan nasihat pakar sebenar, bukan sekadar pihak pempengaruh biasa. KPM dan NRES perlu bekerjasama membangunkan modul CEPA khas untuk program kepelbagaian biologi umum dan setempat.

Hari Kepelbagaian Biologi bukan sekadar sambutan tahunan. Ia adalah peringatan bahawa setiap spesies yang hilang adalah kehilangan identiti negara. Jika kita gagal bertindak dengan fokus, kita bukan sahaja kehilangan haiwan dan tumbuhan, tetapi juga jiwa Malaysia.