Oleh: Ahmad Ismail
Kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk bukan sekadar angka dalam laporan statistik. Ia adalah tragedi yang meragut nyawa, memusnahkan harta benda, dan meninggalkan keluarga mangsa dalam kesedihan yang tidak berkesudahan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia merekodkan puluhan kematian akibat pemandu mabuk. Angka ini cukup untuk membuktikan bahawa isu ini tidak boleh dipandang ringan. Persoalannya: sejauh mana kerajaan benar-benar serius dalam mengawal kejadian ini? Adakah sekadar menggantung lesen, membatalkan hak memandu, mengenakan denda, atau hukuman penjara sudah memadai?

Di Malaysia, had kandungan alkohol dalam darah (BAC) yang sah untuk memandu ialah 0.05% atau 50mg alkohol bagi setiap 100ml darah, berkuat kuasa sejak Oktober 2020. Selain itu, had lain yang ditetapkan ialah 35mg alkohol dalam 100ml nafasdan67mg alkohol dalam 100ml air kencing.
Peraturan ini selaras dengan piawaian antarabangsa. Singapura dan Thailand juga menetapkan had BAC pada 0.05%, manakala Vietnam lebih ketat dengan 0.00% (tiada alkohol langsung dibenarkan). Jepun pula menetapkan had lebih rendah, 0.03%, dengan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda besar. Di Eropah, pendekatan lebih bersepadu dilaksanakan: Austria, Belgium, Perancis dan Itali menetapkan had sama dengan Malaysia, manakala Norway dan Poland lebih ketat dengan 0.2 g/L, dan beberapa negara seperti Czech Republic serta Slovakia mengamalkan sifar toleransi.
Mabuk bukan alasan untuk melakukan kesalahan. Nyawa manusia tidak boleh dijadikan taruhan atas kelalaian segelintir individu yang memilih untuk memandu selepas meneguk minuman beralkohol. Undang-undang mesti dilaksanakan dengan tegas, adil, dan menyeluruh tanpa mengira bangsa, agama, atau latar belakang.
Undang-undang yang digubal mesti berfungsi sebagai penghalang, bukan sekadar catatan di dalam buku peraturan. Kawalan penjualan dan pengambilan alkohol perlu lebih ketat. Malaysia boleh mencontohi negara Eropah yang mewajibkan pemandu meniup alat pengesan sebelum enjin dihidupkan. Hukuman mandatori seperti larangan memandu seumur hidup, pampasan wajib kepada keluarga mangsa, dan rampasan kenderaan perlu dipertimbangkan.

Kempen kesedaran tidak boleh sekadar bergantung pada poster atau iklan yang sering diabaikan. Ia mesti melibatkan keluarga, sekolah, dan komuniti. Setiap premis yang menjual alkohol wajar meletakkan tanda peringatan: “Semak paras alkohol anda sebelum memandu.”
Negara lain telah membuktikan bahawa ketegasan undang-undang, digabungkan dengan pendidikan kreatif dan dramatik, mampu menanam rasa takut dan kesedaran dalam kalangan rakyat. Malaysia mesti mencontohi pendekatan ini, bukan sekadar menunggu angka kematian meningkat.
Isu pemandu mabuk bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Kesihatan, dan Jabatan Kebajikan mesti bergabung tenaga. Hanya dengan pendekatan keras dan menyeluruh, mesej bahawa “Mabuk bukan alasan” akan benar-benar sampai ke hati masyarakat.
Kerajaan tidak boleh menunggu sehingga lebih banyak nyawa melayang. Setiap keluarga yang hancur akibat pemandu mabuk adalah bukti kegagalan kita untuk bertindak lebih awal. Inilah masanya untuk kerajaan membuktikan keseriusan mereka. Undang-undang mesti diperkukuh, penguatkuasaan mesti dipertajam, dan pendidikan mesti diperkreatifkan.
Nyawa rakyat adalah taruhan yang tidak boleh dipermainkan. Mabuk bukan alasan, dan kerajaan mesti segera bertindak agar tiada pihak yang teraniaya,

More Stories
IJM Deal – Are Malaysian Investors Financially Savvy And What Next…
Kepentingan Melayu yang Semakin Terhakis dalam Industri Pembinaan Dan Pembangunan: Satu Renungan Strategik
Imigran Berjaya, Pribumi Bergelut: Amaran untuk Malaysia