Mei 17, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Memperkasa Pendidikan Bumiputera B40: Laluan TVET, STEM dan Kerjasama Strategik

Golongan Bumiputera B40 di luar bandar dan pinggir bandar masih berdepan cabaran besar dalam pendidikan. Ramai tercicir di peringkat menengah, dan minat terhadap pendidikan tinggi semakin menurun kerana faktor ekonomi, kurang pendedahan, serta persepsi bahawa universiti hanya untuk golongan elit. Sedangkan negara memerlukan tenaga mahir dan separuh mahir untuk pembangunan ekonomi, terutama dalam era perindustrian baharu. Justeru, bidang TVET (Technical and Vocational Education and Training) termasuk STEM (Science, Teknology, Engineering and Mathematic) yang sedang dipromosikan kerajaan perlu dijadikan laluan utama bagi memperkasakan anak muda Bumiputera B40.

Untuk memastikan keberkesanan, perlu diwujudkan satu agensi khas yang berperanan memberikan publisiti dan maklumat jelas tentang laluan pendidikan tinggi, khususnya TVET dan STEM. Agensi ini harus berfungsi sebagai jambatan antara kerajaan, universiti awam, universiti swasta Bumiputera, dan industri. Peranan ini amat penting kerana selama ini kaum Bumiputera terlalu bergantung kepada kerajaan dalam hal pendidikan, dari sekolah rendah hingga ke universiti. Kini sudah tiba masanya pihak swasta turut berfungsi membantu kerajaan menjayakan agenda pendidikan negara.

Golongan Bumiputera masih rendah pengetahuan tentang laluan pendidikan tinggi. Oleh itu, program latihan industri di sekolah dan universiti dengan korporat Bumiputera perlu diperkenalkan. Skim khas latihan kerajaan melalui pelbagai agensi boleh memberi peluang kepada pelajar B40 untuk mendapat pengalaman kerja awal. Selain itu, jaringan antara kolej universiti swasta dengan industri Bumiputera harus diwujudkan bagi membangunkan bakat dan menyediakan laluan kerjaya yang jelas. Latihan untuk guru STEM dengan pendekatan industri juga penting supaya mereka dapat mendidik pelajar dengan kemahiran relevan yang diperlukan pasaran kerja.

Penglibatan agensi kerajaan dan GLC bersama agensi khas ini dalam mencari bakat keperluan industri akan memastikan tenaga kerja yang dilahirkan benar-benar memenuhi permintaan pasaran. Kolej universiti swasta perlu dikenal pasti mengikut fokus masing-masing untuk melatih bakat dalam bidang tertentu, seperti teknologi hijau, automasi, keterjaminan makanan, atau bioteknologi. Program latihan kepimpinan bersiri untuk staf kolej universiti swasta juga boleh memperkukuh kualiti pengajaran dan pengurusan. Kerajaan wajar memberikan pengiktirafan terhadap inisiatif ini melalui geran khas melibatkan berbagai agensi dan merentas jabatan. Tindakan bersepadu termasuk melibatkan profesor pencen yang masih aktif dan berwibawa untuk membimbing generasi baharu, akan lebih menjamin kejayaan program.

Selain itu, penglibatan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dalam program ini sangat penting. Perancangan pendidikan tinggi perlu dimulakan seawal sekolah menengah rendah, supaya pelajar dan ibu bapa jelas tentang laluan akademik atau TVET yang sesuai. Dengan pendedahan awal, minat pelajar terhadap pendidikan tinggi dapat dipupuk, dan mereka tidak lagi melihat universiti atau kolej sebagai sesuatu yang jauh dari capaian.

Memperkasakan pendidikan Bumiputera B40 memerlukan pendekatan menyeluruh. Penglibatan agensi khas untuk publisiti dan koordinasi, kerjasama kerajaan–swasta–komuniti, latihan industri sejak sekolah, jaringan dengan universiti swasta Bumiputera, serta penglibatan PIBG dan profesor berpengalaman adalah sangat perlu. Dengan strategi ini, anak muda Bumiputera B40 bukan sahaja dapat mengakses pendidikan tinggi, tetapi juga menjadi tenaga mahir dan separuh mahir yang diperlukan untuk pembangunan negara.

 

Ahmad Ismail FASc, Felo Akademi Sains Malaysia.