Universiti Awam Malaysia adalah institusi penting negara yang menghasilkan artikel-artikel ilmiah dalam jurnal, media dan dalam bentuk buku-buku. Penerbitan adalah sebahagian daripada aktiviti penting dalam budaya akademik.

Setiap universiti awam mempunyai penerbit rasmi yang berfungsi menghasilkan buku akademik, monograf, prosiding, serta karya ilmiah lain untuk menyokong pengajaran, penyelidikan, dan reputasi universiti. Malah penerbitan ini menjadi satu indicator kepada prestasi universiti.
Kalau berdasarkan kepada bilangan pensyarah di universiti yang setiap tahun mengejar bilangan penerbitan, penghasilan 100-200 judul buku setahun adalah masih rendah. Mungkin mereka lebih menumpukan kepada penulisan artikel dalam jurnal.
Bilangan pensyarah di universiti awam yang melebihi 30,000 orang sepatutnya mampu meningkatkan bilangan penerbitan buku-buku ilmiah. Tugas pensyarah perlu lebih fokus kepada penjanaan ilmu dan mengembangkan ilmu untuk dimanfaatkan masyarakat terutamanya golongan mahasiswa melalui penulisan buku dan artikel lain.
Beban kerja pensyarah perlu diberikan perhatian sewajarnya bagi memberi ruang untuk mereka berkarya secara bebas demi pembangunan ilmu. Pensyarah universiti perlu sesuai dengan kedudukan mereka di menara gading dan bukan seperti peranan guru di sekolah. Di universiti pembangunan ilmu baharu melalui penyelidikan dan penulisan dalam bidang kepakaran pensyarah adalah penting.
Selain daripada beban tugas pensyarah, dari segi peningkatan bilangan pelajar dan permintaan tinggi dalam penerokaan ilmu baharu, serta tuntutan penerbitan, dana untuk penyelidikan dan penulisan sangat penting bagi menggalakkan pensyarah berkarya.
Bilangan buku yang dikeluarkan oleh universiti mempengaruhi persepsi masyarakat umum tentang kualiti universiti, budaya akademik, dan tarikan pelajar dan penyelidik kepada universiti berkenaan. Para pensyarah mesti diberikan galakan dan diuruskan dengan baik untuk mencapai matlamat penerbitan universiti. Dana penerbitan menjadi sokongan kuat untukk universiti menghasilkan lebih banyak judul buku dan menggalakkan budaya penulisan akademik, buku teks dan monograf.
Budaya penulisan boleh digalakkan melalui penganjuran konferens, kumpulan kertas kerja seminar dan simposium untuk prosiding, dan koleksi artikel mengenai isu-isu tertentu. Kerjasama antarabangsa dalam penganjuran konferens dan simposium, menambah nilai antarabangsa dalam penyebaran dan perkongsian ilmu.
Dengan bilangan lebih 30,000 pensyarah di universiti awam, strategi baharu perlu diadakan bagi meningkatkan peningkatan penerbitan buku-buku ilmiah tempatan. Isu beban kerja, dana, dan indikator untuk penilaian kenaikan pangkat mesti dilihat secara bersepadu. Sasaran menerbitkan 1000 judul buku setahun boleh menunjukkan kekuatan universiti awam amnya dan budaya penulisan komuniti akademik khasnya.
Dalam dunia kecerdasan buatan yang berkembang cepat sekarang, pensyarah mesti beradaptasi dengan cepat dalam memperkasakan budaya akademik di universiti awam. Antaranya ialah dengan menulis idea-idea baharu yang sesuai dengan zaman dan mempunyai nilai komersial.
Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka mesti lebih aktif dan strategik dalam menerbitkan buku-buku ilmiah terutama dalam Bahasa Melayu. Mungkin gabungan penerbit-penerbit universiti awam juga perlu mempunyai pendekatan baharu dalam penerbitan buku-buku ilmiah dan menggalakkan pensyarah terlibat dalam penulisaan buku.
Cabaran besar zaman sekarang juga apabila banyak video pendek yang mudah disebarkan dan mendapat perhatian dan rujukan umum. Namun integriti sumber ilmu sangat penting dimana pensyarah lebih berautoriti dalam menghasilkan sumber ilmu seperti buku.
Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka serta gabungan penerbit-penerbit universiti bolehlah memberikan latihan kepada pensyarah, terutamanya pensyarah baharu tentang seni menulis dan galakkan untuk mereka menerusi insentif yang sesuai.
Penjajahan ilmu sudah lama berlaku dikalangan ahli akademik tempatan. Sudah sampai masanya untuk penulis tempatan mempunyai jatidiri tinggi berubah dan memperkasakan ilmu asas berasaskan kepada contoh tempatan samada dalam bidang bahasa dan budaya, sejarah dan undang-undang atau alam sekitar dan kepelbagaian biologi.
Pesta buku Selangor antarabangsa dan anugerah buku yang diadakan baru-baru ini memberikan motivasi baharu untuk pensyarah berkarya dan menulis buku. Dana yang mencukupi perlu disediakan oleh kerajaan sebagai galakkan dan sumbangan daripada pihak swasta yang berminat dalam perkembangan ilmu. Perkembangan ilmu bukan sekadar perkhidmatan tetapi sebenarnya adalah satu perniagaan.
Ahmad Ismail, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).
.

More Stories
Sambutan Hari Guru Menuntut Latihan Pengajaran Terbaik untuk Guru Sains dalam Membina Minat STEM dan TVET
Perjuangan Melayu: Retorik atau Realiti?
Bumiputera Tidak Perlukan “Tongkat” Selamanya, Tetapi Mereka Perlukan Tangga Untuk Keluar Dari Kemiskinan