April 1, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Terima Kasih, Pak Lah: Legasi Seorang “Mr Nice Guy”

Oleh: Shahbudin Embun

Penganalisis Politik | Pengerusi Biro Kepimpinan & Pentadbiran Negara, MPM

Dalam bahasa Inggeris, ada satu ungkapan yang sering kita dengar — “Nice guys always lose.” Kononnya, orang yang baik hati takkan mampu berjaya, kerana mereka terlalu banyak berkorban, terlalu lembut untuk bersaing dalam dunia yang keras.

Namun, Tun Abdullah Ahmad Badawi Allahyarham yang kita kenali mesra sebagai Pak Lah membuktikan sebaliknya.

Beliau bukan sahaja berjaya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima, malah sepanjang hayatnya dikenang sebagai seorang pemimpin yang penuh integriti, sederhana, bersopan, dan amat dihormati — oleh kawan, juga oleh lawan politik.

Pak Lah dan Gaya Kepimpinan Berhemah

Kita tidak akan pernah lupa gaya diplomasi Pak Lah — tenang, berhemah, dan tidak bersifat konfrontasi. Beliau tidak perlukan gaya kuku besi untuk memimpin. Beliau tidak bersuara lantang untuk menonjolkan diri. Namun, rakyat tetap menghormatinya. Malah, ramai menyayangi beliau.

Dan siapa boleh lupa kemenangan gemilang Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 2004, ketika di bawah kepimpinan Pak Lah? BN menang 198 daripada 220 kerusi Parlimen — satu kejayaan luar biasa, yang tak pernah dicapai oleh mana-mana Perdana Menteri lain sebelum atau selepas itu.

Sebahagian besar daripada kejayaan ini datang daripada imej beliau sebagai seorang pemimpin yang bersih, lembut dan sederhana — jauh dari kontroversi dan penuh dengan nilai keikhlasan.

“Mari Bekerja Bersama Saya”

Salah satu ucapan beliau yang terus melekat dalam memori rakyat ialah:

“Jangan bekerja untuk saya, tetapi mari bekerja bersama-sama saya.”

Satu baris yang ringkas, tapi penuh makna. Ia mencerminkan kepimpinan yang merendah diri, mengajak rakyat bersama membina negara — bukan sekadar mengarah dari atas.

Dan dengan slogan beliau, “Cemerlang, Gemilang, Terbilang,” Pak Lah membawa pendekatan pentadbiran yang memberi penekanan kepada pembangunan insan, tadbir urus berasaskan nilai Islam, dan perhatian kepada rakyat marhaen — terutamanya mereka di luar bandar.

Tidak seperti pemimpin lain yang membina legasi melalui projek mega, Pak Lah memilih untuk menumpukan kepada pembangunan manusia, membina akar umbi untuk masa depan yang mampan dan beretika.

Bangkit Dari Kejatuhan, Terus Berbakti

Ramai mungkin lupa, sebelum berada di puncak kuasa, Tun Abdullah pernah jatuh — dipecat, diketepikan, malah pernah dianggap sudah tidak relevan dalam politik.

Namun, beliau bangkit semula. Setiap kejatuhan dihadapinya dengan tenang. Setiap kejayaan disambut dengan rendah hati. Dan sepanjang itu, beliau terus berkhidmat, setia kepada agama, bangsa dan negara.

Beliau bukan pemimpin yang mudah kecewa atau berdendam. Beliau menerima teguran dan kritikan sebagai lumrah dunia politik. Namun, tidak semua orang berlaku adil terhadap beliau.

Dikhianati, Tapi Tetap Memaafkan

Selepas PRU 2008, tekanan demi tekanan datang bukan sahaja dari pembangkang, tetapi juga dari dalam UMNO sendiri. Ada yang mendesak beliau turun, ada yang mengkhianatinya secara terbuka dan tertutup. Ada juga surat-surat dari pemimpin muda UMNO yang secara berani meminta beliau meletak jawatan.

Namun Pak Lah tetap tenang. Beliau tidak membalas dengan marah. Malah, beliau memaafkan mereka walaupun mereka itulah yang pernah bergantung harap kepadanya.

Beliau akhirnya berundur bukan kerana lemah, tetapi kerana cintanya kepada perpaduan UMNO, kestabilan negara, dan keikhlasan untuk memberi laluan kepada kepimpinan baru tanpa mencetuskan perpecahan.

Warisan Seorang Negarawan Sejati

Hari ini, apabila kita melihat kembali perjalanan hidup Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, kita dapat simpulkan bahawa beliau bukan sekadar bekas Perdana Menteri. Beliau ialah seorang negarawan sejati, yang telah mendedikasikan seluruh hidupnya kepada rakyat dan negara tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri.

Kepimpinannya menjadi lambang kesederhanaan, keikhlasan dan kejujuran dalam politik.

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya, mencucuri rahmat ke atas rohnya, dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Al-Fatihah untuk Pak Lah.