Oleh Ahmad Ismail, FASc, FRSB.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerima peruntukan sebanyak RM2.51 bilion menerusi Belanjawan 2027, meningkat 4.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan ini bertujuan memperkukuh pengurusan sumber asli, pemuliharaan kepelbagaian biologi, dan kelestarian alam sekitar negara. Pertambahan ini jelas menunjukkan kerajaan prihatin terhadap isu pemuliharaan hidupan liar dan ekosistem, selaras dengan komitmen global terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkaitan kepelbagaian biologi daratan, lautan, serta perubahan iklim.
Namun, di sebalik angka yang kelihatan meyakinkan, agihan bajet masih belum seimbang. Fokus utama masih tertumpu kepada megafauna daratan seperti gajah, harimau, dan tapir – spesies yang sering menimbulkan konflik langsung dengan manusia. Sedangkan kelestarian ekosistem tanah lembap, perlindungan spesies burung kritikal seperti Burung Botak Upeh ((Mycteria cinerea), serta pemuliharaan kepelbagaian biologi spesies, ekologi dan genetik masih kurang diberi perhatian khusus.
Burung Botak Upeh/Upih Bakau merupakan sejenis burung air bersaiz besar daripada keluarga Ciconiidae yang kini dikategorikan sebagai Terancam dalam Senarai Merah IUCN.
Malaysia sebagai negara megabiodiversiti tidak boleh hanya bergantung kepada naratif megafauna. Ekologi tanah lembap, hutan bakau, dan sungai riparian adalah akar ekosistem yang menyokong keseluruhan rantaian kehidupan. Tanpa pemuliharaan menyeluruh, ancaman kepupusan spesies kecil dan unik akan terus berlaku secara senyap.
Dalam konteks ini, dua perkara penting perlu diberi penekanan. Pertama, kisah Burung Botak Upeh yang hampir pupus di habitat liar Malaysia. Burung ini pernah menjadi ikon penting di Hutan Paya Laut Matang dan Kuala Gula, Perak, tetapi kini populasinya hampir lenyap. IUCN telah lama memberi perhatian, namun usaha pemuliharaan masih bersifat kecil-kecilan. Habitat semula jadi burung ini sangat penting dan semestinya yang menjadi fokus pemuliharaan.
Bajet 2027 perlu menyatakan secara terperinci langkah dan tindakan khusus bagi haiwan dan habitat terancam. Program perlindungan dan pemuliharaan Burung Botak Upeh di kawasan Kuala Gula dan Hutan Paya Laut Matang mungkin lebih mudah dan signifikan kerana habitatnya terhad dan terkawal dari segi ekologi. Namun, tanpa strategi menyeluruh – habitat, pendidikan, dan penyelidikan – usaha ini mungkin tidak cukup untuk mengembalikan spesies tersebut ke habitat asal.
Kedua, program CEPA (Communication, Education, Public Awareness) mesti diperkukuh. Bajet khusus untuk CEPA perlu disediakan dengan strategi tindakan yang jelas. Program CEPA adalah usaha berterusan yang mesti dilaksanakan secara sistematik melibatkan pihak swasta, NGO, dan Jabatan Pendidikan. Aktiviti CEPA bukan sekadar upacara tahunan tetapi memerlukan komitmen berterusan. Rangka tindakan bermodul dengan jurulatih yang cekap diperlukan. Melalui Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan, CEPA telah lama diberi perhatian, namun pelaksanaannya masih belum mantap. Pendidikan, pembangunan modul, dan penyelidikan mesti berlaku secara selari serta dinilai keberhasilannya mengikut tempat dan keadaan.
Peruntukan khas NRES untuk menampung aktiviti pendidikan awam, modul sekolah, dan pusat interpretasi alam sekitar perlu lebih nyata. CEPA tidak boleh lagi dianggap sebagai aktiviti sampingan dalam struktur bajet. Pendidikan dan kesedaran awam adalah kunci untuk membina generasi yang peka terhadap isu kepelbagaian biologi. Tanpa CEPA yang mantap, usaha pemuliharaan hanya tinggal projek teknikal tanpa sokongan masyarakat dan pembangunan bakat baharu.
Peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada kerajaan negeri yang memiliki tapak Ramsar adalah langkah positif. Dana ini boleh digunakan untuk mengekalkan zon penampan, rondaan penguatkuasaan, dan kawalan pencemaran industri serta aktiviti perladangan, termasuk CEPA. Tetapi keberkesanan EFT bergantung kepada komitmen negeri dalam melaksanakan pengurusan tanah lembap secara telus dan berkesan.
Secara keseluruhan, Bajet 2027 menunjukkan niat baik kerajaan untuk menambah dana pemuliharaan. Namun, cabaran sebenar ialah memastikan agihan bajet tidak hanya mengutamakan megafauna, tetapi juga menyokong ekosistem yang lebih luas – dari tanah lembap hingga spesies burung air. Malaysia perlu membuktikan bahawa status “megabiodiversity country” bukan sekadar slogan, tetapi realiti yang dipertahankan melalui dasar, bajet, dan tindakan lapangan.
Jika kerajaan benar-benar mahu menonjol di mata dunia, kisah Burung Botak Upeh mesti dijadikan simbol pemuliharaan yang berjaya. Dan CEPA mesti dijadikan agenda nasional, bukan sekadar aktiviti sampingan. Hanya dengan gabungan penyelidikan saintifik, pendidikan awam, dan pengurusan ekosistem yang telus, Bajet 2027 akan menjadi titik tolak kepada kelestarian kepelbagaian biologi Malaysia.

More Stories
Merekayasa Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB): Membina Hala Tuju Baharu Demi Masa Depan Bangsa Dan Negara
FOMO: The Consumer Trend Social Media Influencers Know How to Exploit
When Big Corporations Go Public, Who Protects The Small Businesses?