September 18, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Screenshot

MPM KESAL PERSEMBAHAN YANG MENYENTUH RUKUN NEGARA DAN BERCANGGAH DENGAN NILAI KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Majlis Perunding Melayu (MPM) menyatakan rasa kesal dan dukacita berhubung penyebaran sebuah video di laman Facebook yang memaparkan satu persembahan teater atau sketsa yang menyentuh Rukun Negara serta dicampuradukkan dengan perkataan dan ungkapan yang bersifat provokatif, di samping adegan yang dilihat tidak selari dengan nilai serta budaya masyarakat Malaysia.

MPM sentiasa menjunjung prinsip hak asasi manusia dan kebebasan bersuara yang dijamin dalam kerangka undang-undang negara. Namun demikian, kebebasan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, menghormati sensitiviti masyarakat serta tidak menjejaskan keharmonian dan nilai-nilai bersama yang menjadi asas kehidupan bernegara.

MPM berpandangan bahawa sebarang bentuk persembahan yang menggunakan Rukun Negara sebagai bahan sehingga menimbulkan provokasi dan keresahan dalam kalangan masyarakat perlu dipandang serius. Lebih-lebih lagi apabila ia dilihat menyentuh nilai Kesopanan dan Kesusilaan, yang merupakan salah satu daripada lima prinsip Rukun Negara dan menjadi asas penting dalam membentuk masyarakat yang saling menghormati.

Sehubungan itu, MPM mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan rapi terhadap perkara tersebut serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap mana-mana peruntukan undang-undang negara.

MPM turut memandang serius persoalan mengenai kesesuaian penyiaran dan persembahan sedemikian, khususnya ketika negara baru sahaja menyambut Hari Malaysia, satu peristiwa penting yang seharusnya menjadi wadah untuk memperkukuh perpaduan, keharmonian dan rasa hormat antara seluruh rakyat Malaysia.

MPM menyeru semua pihak agar menggunakan kebebasan bersuara secara bertanggungjawab dan tidak menjadikan perkara-perkara yang menyentuh asas kenegaraan, identiti bersama serta sensitiviti masyarakat sebagai bahan yang boleh mencetuskan perpecahan atau keresahan.

Majlis Perunding Melayu (MPM) akan terus mempertahankan nilai-nilai Rukun Negara, keharmonian masyarakat serta prinsip saling menghormati yang menjadi asas kepada Malaysia yang aman dan bersatu.

MAJLIS PERUNDING MELAYU (MPM)