Julai 7, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Satu Lawan Satu, Tolak PH 3.0

Dalam rencana bertarikh 1 Jun 2026 yang disiarkan oleh Utusan Melayu Plus, saya membayangkan agak sudah terlambat untuk parti-parti politik diterajui Melayu + Pribumi, bersatu atau bekerjasama. Atau, paling tidak, mereka membina persefahaman, menentang Pakatan Harapan (PH) yang diterajui DAP.

Pun begitu, dalam rencana bertarikh 15 Jun 2026 yang disiarkan oleh malay.today, saya mengubah andaian itu. Nampaknya, berputik suda bungabunga indah penyatuan Melayu, bilamana ada pemimpin PAS membayangkan kesediaannya membina persefahaman dengan BN dalam PRN di Johor.

Secara logiknya, jika semua pengundi Melayu + Pribumi terjemah fakta demografi yang dihasilkan oleh DOSM, mana mungkin PH, yang dikuasai DAP, boleh menang di dua PRN akan datang, iaitu di Johor (Julai) dan Negeri Sembilan (Ogos). Begitu juga dalam PRU 16 akan datang.

Dari segi agihan pengundi mengikut kawasan parlimen pula, di Semenanjung Tanah Melayu saja terdapat 125 kawasan parlimen dengan pengundi Melayu + Pribumi adalah majoriti. Maknanya, jika seruan Tun M bertarikh 30 Jun 2026, mengajak semua pengundi Melayu memilih calon Melayu atau calon sokongan parti politik Melayu konservatif, tidak mungkin blok politik PH akan dapat bertahan.

Hakikatnya juga, tak semua pengundi bukan Melayu dan hanya segelintir Melayu + Pribumi yang taksub dengan PH ni.

Sayugia kita semua ingat, sebelum penjenamaan itu, pakatan ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR). Ketika itu PAS bersama mereka. Mereka bertambah kuat, namun, masih gagal menumbangkan BN untuk membentuk kerajaan.

Hanya apabila PR (tanpa PAS) bergabung dengan Bersatu (pimpinan Tun M), membentuk PH, itu pun dengan slogan PRU 14 bertemakan ‘Tolak Najib’, barulah BN dapat ditumbangkan, seraya membentuk Kerajaan PH 1.0. Katakunci politik kebangkitan PH dan kejatuhan BN ialah ‘Tolak Najib’.

Tun M yang menerajui Kerajaan PH 1.0 tidak tahan dengan kerenah DAP yang terlalu cauvinis. Selepas 22 bulan, Tun M bubarkan Kerajaan PH 1.0.

Bagi kebanyakan orang Melayu + Pribumi pula, cukuplah pengalaman baginya merasai betapa sukarnya tidur sebantal dengan DAP.

Malangnya, apabila Tun M bubarkan Kerajaan PH 1.0, perebutan kuasa dikalangan pemimpin Melayu teramat sengit berlaku, sedangkan pada masa itu DAP sudah terkedu, menerima hakikat dan padah kerakusannya berkuasa selama 22 bulan.

Dua formula gabungan kerajaan dikalangan parti-parti politik Melayu + Pribumi gagal bertahan, maka PRU 15 terpaksa diadakan awal.

Dek kerasnya kepala seorang pemimpin dalam Perikatan Nasional (PN) yang tegar enggan bersekutu dengan BN untuk membentuk kerajaan, pasca PRU 15, peluang kembali terbuka bagi DAP berada dalam kerajaan, kali ini bersama BN, untuk membentuk Kerajaan PH 2.0, yang dijenamakan sebagai Kerajaan Madani.

PAS sudah merasai bahangnya bersama DAP dalam Pakatan Rakyat.

Bersatu sudah tahu pahit-maungnya bersama DAP dalam Kerajaan PH 1.0.

BN juga sudah masak dengan putar-belit DAP, bersama membentuk Kerajaan PH 2.0.

PAS, Bersatu dan BN tentunya sudah serik dan tak mungkin akan kembali bersekutu dengan PH diterajui DAP.

Tanpa PAS (PN), Bersatu atau BN, tidak mungkin DAP dapat membentuk Kerajaan PH 3.0.

Tatkala parti-parti politik Melayu + Pribumi mencongak kemungkinan menerima formula baru persefahaman diantara mereka, PH juga tahu, dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, tidak cukup menarik baginya berkempen sekadar menceritakan kejayaan dicapai oleh Kerajaan Madani setakat ini.

Hatta, mereka memilih untuk kembali ke taktik asal yang dicipta Tun M ketika menumbangkan BN dalam PRU 14. Mereka membina semula naratif ‘Tolak Najib’, seraya mengaitkan Kerajaan BN Johor terutamanya, diantara penerima terbesar dana 1IMDB dari Najib.

Jelas sekali, untuk BN menang di dua PRN ini mereka tidak boleh terkait dengan Najib dan 1MDB. BN mesti mencari naratif baru.

Naratif baru yang mesti BN bina, bermula dengan PRN Johor ialah, ‘Tolak DAP, jangan sampai Kerajaan PH 3.0 terbentuk’.

Manifesto berbentuk akujanji BN ialah Kerajaan Malaysia diterajui BN adalah kerajaan yang komited untuk terus membina kemakmuran negara dan kesejahateraan semua rakyat.

Ketahuilah, pengundi dikalangan netizen terutamanya, sudah bersedia untuk tidak menoleh ke belakang. Mereka bersedia melupakan titik-titik hitam sejarah politik BN. Mereka hendakkan BN dan parti-parti Melayu + Pribumi berperanan sebagai parti yang progresif, berupaya membawa Malaysia ke mercu kemakmuran dan kesejahteraan yang adil dan saksama bagi semua rakyat, dalam kancah geopolitik yang kian tidak menentu.

Mereka mahu lihat Malaysia manfaatkan segala sumber yang ada dan pelanpelan pembangunan yang sudah terbangun hebat sekian lama. Mereka mahu lihat Malaysia manfaatkan kedudukan dan keanggotaannya dalam pelbagai blok pakatan global, terutama Commonwealth, OIC, ASEAN, APEC dan RCEP.

Mereka mahu lihat bakat-bakat dan kebolehan mereka digilap bagi pastikan mereka sejahtera, produktif, berdaya-saing tinggi, berdaya-cipta hebat dan mampan serta rentang berdepan pelbagai ketidak-tentuan geopolitik global. Mereka adalah generasi yang sudah siap-siaga menyahut inisiatif pengupayaan yang bakal direncanakan kerajaan pimpinan BN.

Hendaknya, pemimpin-pemimpin Melayu sepakat, bermula dengan keazaman mengembalikan kekuatan BN dengan gandingan mantap 3 pengasas Perikatan, iaitu UMNO, MCA dan MIC. Orang MCA dan MIC faham apa yang Tun M maksudkan orang Melayu undi calon Melayu. Ia juga membawa maksud, orang BN undi calon BN. Jika tiada calon BN, orang BN pilih calon yang BN sokong. Mudah saja formulanya. Di Semenanjung Tanah Melayu ini, PN yang diterajui PAS adalah sekutu terbaik buat BN.

Tanpa BN, mustahil bagi PH membentuk kerajaan PH 3.0.

PH tiada pengalaman bekerjasama dengan PN, yang kini didominasi oleh PAS dan turut dianggotai Wawasan.

Cukuplah sudah menimba pengalaman bersama DAP dalam Kerajaan PH 1.0 dan PH 2.0. Tidaklah perlu lagi bersamanya membentuk Kerajaan PH 3.0.