Jun 2, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Bumiputera: Menyemai Pendidikan, Menjamin Ekonomi Masa Depan

Oleh Ahmad Ismail

Sejak merdeka, pendidikan menjadi nadi perjuangan Bumiputera. Hak pendidikan yang termaktub dalam Perlembagaan bukan sekadar simbol, tetapi asas kepada peluang pekerjaan, mobiliti sosial, dan daya saing bangsa. Dalam era pasca normal yang penuh ketidakpastian, pendekatan baharu mesti diperkenalkan agar generasi muda benar-benar bersedia menghadapi persaingan global dan sekaligus menjamin ekonomi negara.

Selepas SPM, pelajar Bumiputera mempunyai laluan luas: matrikulasi, sekolah vokasional, politeknik, perguruan, dan universiti. Namun peluang ini sering dianggap hanya bergantung kepada gred tinggi. Hakikatnya, laluan pendidikan perlu diperkenalkan lebih awal, seawal sekolah rendah dan diperkasakan di menengah rendah. Dengan pendedahan awal, pelajar bukan sekadar mengejar keputusan peperiksaan, tetapi membina kecekapan praktikal yang relevan dengan pasaran kerja. Kurikulum juga mesti disemak agar sesuai dengan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, budaya, dan agama, serta keperluan masa depan yang semakin mencabar.

Sekolah berperanan sebagai penghubung maklumat. Dalam era teknologi komunikasi, maklumat boleh disampaikan melalui media sosial, portal pendidikan, dan sesi bimbingan kerjaya. Guru perlu memahami latar belakang pelajar, masyarakat, dan ekosistem sekolah untuk memastikan setiap pelajar mendapat laluan kerjaya yang jelas. Koordinasi antara sekolah, kementerian, dan institusi pengajian tinggi mesti diperkukuh agar peluang pendidikan tidak terhad kepada kelompok atau bidang tertentu sahaja.

Dengan populasi Malaysia yang meningkat, merit dan kelayakan akademik menjadi penentu utama untuk memasuki matrikulasi, politeknik, dan universiti. Justeru, kemasukan ke peringkat tinggi tidak boleh dipolitikkan. Tempat yang terhad bergantung kepada ekosistem pusat pengajian, maka perancangan awal amat kritikal. Kajian berfokus perlu dilakukan sejak sekolah rendah, bahkan bermula dari Tahun 4 hingga Tahun 6, bagi mengenal pasti bakat dan minat pelajar. Masa depan mungkin menyaksikan sekolah berasrama penuh menerima pelajar peringkat menengah atas dengan penekanan kepada nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan yang diterapkan secara bersepadu dalam kurikulum.

Pendekatan baharu mesti berorientasikan misi jangka pendek dan panjang. Kajian segera dan berfokus diperlukan untuk memastikan kesinambungan Bumiputera dalam pasaran pekerjaan berasaskan pengetahuan dan kemahiran. Pembangunan teknologi yang pesat menuntut rakyat yang berdaya tahan, berpengetahuan, dan berkemahiran tinggi. Inovasi, kreativiti, dan keusahawanan perlu menjadi budaya agar Bumiputera mampu menyokong industri tempatan serta dunia korporat. Misalnya, dalam rantaian industri makanan, daripada sumber pertanian dan penternakan, proses penyediaan produk, pemasaran, hingga pemantauan kualiti, semua memerlukan kepakaran khusus yang mesti disediakan melalui kurikulum, infrastruktur, dan kemudahan kerajaan.

Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan Tinggi menyediakan 86,552 tempat di IPTA bagi lepasan SPM. Persaingan sangat tinggi walaupun terdapat kuota dominan untuk agenda Bumiputera. Dengan pencapaian SPM 94.29% calon layak sijil, tempat terhad di 20 universiti awam, politeknik, dan kolej komuniti menuntut kelayakan sebenar. Institusi berkaitan mesti merancang kurikulum, kemudahan, dan program latihan dengan tepat dan berfokus mengikut kesesuaian.

Peruntukan RM7.9 bilion untuk institusi Latihan Kemahiran (TVET) membuka peluang besar. Kadar kebolehpasaran graduan TVET melebihi 94.5% membuktikan program ini mampu memacu sosioekonomi Bumiputera. Maklumat seperti ini mesti jelas sejak peringkat awal sekolah agar pelajar dapat menyesuaikan laluan pendidikan dengan latar belakang masyarakat.

Meskipun disokong perlembagaan, dasar, dan perancangan yang mantap, Bumiputera masih tertinggal kerana kemiskinan luar bandar, ketirisan pelaksanaan, dan kebergantungan bantuan kerajaan. Isu ketidakpadanan kemahiran graduan dengan keperluan industri serta persaingan pasaran global turut melebarkan jurang tersebut. Kajian keperluan dan program latihan mesti selari. Pembaikan struktur kini amat kritikal bagi membina daya saing yang lestari.

Selepas hampir 70 tahun merdeka, Bumiputera sepatutnya sudah berada di hadapan, bersedia menghadapi persaingan tempatan dan antarabangsa. Hak dalam perlembagaan mesti dimanfaatkan dengan kesungguhan, bukan sekadar retorik. Dengan pengetahuan, kemahiran, dan kelayakan akademik tertinggi, generasi muda Bumiputera mampu menjadi tenaga kerja berdaya saing, menyumbang kepada pembangunan negara, dan memastikan kelestarian bangsa dalam dunia yang semakin mencabar.

Kepimpinan kerajaan dan landskap politik semasa menuntut Bumiputera bertindak cepat menerusi peralihan kepada kemajuan ekonomi berasaskan meritokrasi dan kemandirian global. Dinamik politik yang kompetitif kini tidak lagi menjamin perlindungan mutlak tanpa peningkatan daya saing individu.