Oleh Ahmad Ismail
Kongres Bumiputra Ekonomi (KEB) dan Perbincangan berkaitan Pendidikan Bumiputra bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak dahulu, ia berulang kali membincangkan isu ekonomi dan pendidikan Bumiputra sebagai asas kepada kekuatan politik, pentadbiran, dan ekonomi bangsa Melayu. Namun, terlalu sering kongres demi kongres hanya berakhir dengan bacaan statistik pencapaian, pengulangan masalah, dan semakan dasar yang kabur pelaksanaannya. Retorik terus bergema, tetapi pelaksanaan nyata masih jauh daripada harapan.

Sejarah telah membuktikan bahawa pendidikan adalah senjata utama bangsa. Sekolah asrama penuh seperti SMSAH, MCKK, STAR, Alam Shah, Tun Fatimah, Seri Puteri, Tunku Kursiah dan SDAR pernah menjadi mercu tanda kecemerlangan Bumiputra. Kemudian diikuti dengan sekolah Menengah Sains dan MRSM. Generasi awal yang lahir daripada institusi ini membuktikan bahawa dengan sistem pendidikan yang tersusun, bangsa Melayu mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa lain. Namun kini, cabaran baharu menuntut pendekatan lebih berani dan sistematik. Maktab perguruan yang telah berkembang menjadi Institut Pendidikan Guru harus menjadi benteng utama melahirkan guru berkualiti, kerana tanpa guru yang berwibawa, segala dasar hanya tinggal slogan.
Pencapaian UiTM sejak era RIDA dan ITM membuktikan strategi pendidikan Bumiputra yang konsisten dalam membina mobiliti sosial melalui akses ilmu profesional. Transformasi institusi ini berjaya melahirkan kelas menengah Melayu dan tenaga pakar yang mengisi sektor awam serta korporat. Namun, penguasaan ekonomi dan pendidikan masih belum mencapai tahap optimum kerana jurang digital serta akses peluang antara bandar dan luar bandar, seperti di kawasan FELDA, yang semakin melebar. Keterbatasan modal, kurangnya pendedahan kepada industri bernilai tinggi, dan sistem sokongan ekonomi yang tidak mampan menyebabkan penduduk luar bandar sering tertinggal dalam persaingan global, meskipun memiliki kelulusan akademik.
Dasar Pandang ke Timur suatu ketika dahulu telah menanam nilai rajin bekerja, jujur, dan amanah. Nilai ini selari dengan budaya Melayu dan Islam yang menekankan integriti serta kesungguhan. Tetapi dalam era pasca-normal hari ini, cabaran teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), menuntut bangsa Melayu untuk segera bergerak. Data, kajian, dan gerakan sistematik mesti diperkasakan. Latihan guru, modul jelas dan berkesan, serta pendekatan bersasar kepada pelajar luar bandar dan Orang Asli tidak boleh lagi ditangguhkan. Jika tidak, jurang pendidikan akan terus melebar, dan bangsa Melayu akan terus ketinggalan.
STEM dan TVET adalah dasar yang baik, tetapi sejauh mana kerajaan bersedia menjayakannya secara efektif? Kongres demi kongres, seminar demi seminar, sering merumuskan perkara sama tanpa tindakan jelas. Latihan guru sekadar upacara, pencapaian pelajar terus dipersoalkan, dan kualiti graduan menjadi tanda tanya. Jawapannya terletak pada keberanian bangsa Melayu sendiri untuk menuntut pelaksanaan telus, menyemak dasar secara berterusan, dan memastikan setiap objektif dicapai dengan nyata. Peranan KPM, KPT dan MOSTI mesti berlaku seperti yang diamanahkan.
Bangsa Melayu tidak boleh lagi bersembunyi di balik retorik. Kita mesti menubuhkan kumpulan semak berterusan, melibatkan pakar bersara dan berpengalaman, untuk memantau dasar Pendidikan dan rantaiannya dengan cekap. Peluang yang ada mesti dimanfaatkan, bukan sekadar berkokok tanpa hasil. Pendidikan Bumiputra bukan sekadar isu akademik, tetapi soal kemandirian bangsa. Jika pendidikan gagal diperkasakan, maka ekonomi dan politik Melayu juga akan goyah.
Kongres Ekonomi dan Pendidikan Bumiputera terbukti berkesan melalui penubuhan institusi besar seperti MARA, UiTM, dan PNB sejak 1965, dan mesti terus diperkasakan. KEB 2024 menetapkan 74 resolusi yang dipantau ketat oleh Sekretariat Tetap bagi memastikan ia tidak terhenti di atas kertas. Fokus kepada STEM dan TVET mesti dinyatakan segera demi masa depan Bumiputra yang berjaya. Tindakan berorientasikan hasil dan fokus mesti dilaksanakan dengan teliti, strategik, dan dipantau keberkesanannya.
Kesimpulannya, Kongres Pendidikan Bumiputra yang akan diadakan pada 1 Mei 2026 ini, tidak boleh lagi menjadi pentas retorik. Ia mesti menjadi medan pelaksanaan. Bangsa Melayu harus bangkit dengan semangat perjuangan, memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada tindakan berfokus, dan setiap tindakan membawa hasil. Inilah masa untuk membuktikan bahawa kongres bukan sekadar bicara, tetapi wahana perubahan.

More Stories
Umat Islam dan Melayu: Menjuarai Penjagaan Alam Sekitar
KPKT – Why Proceed With The Taman Persekutuan Project…
KPKT – Assurance And The Learning Curve…