April 23, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Umat Islam dan Melayu: Menjuarai Penjagaan Alam Sekitar

Oleh Ahmad Ismail

Alam sekitar bukan sekadar isu saintifik atau politik, tetapi amanah agama yang wajib dipikul oleh setiap umat Islam. Allah SWT telah menegaskan dalam al-Quran bahawa manusia diangkat sebagai khalifah di muka bumi, bertanggungjawab menjaga keseimbangan dan kestabilan alam. Awan, angin, gunung-ganang, tumbuhan, sungai, dan lautan semuanya diciptakan dengan fungsi tertentu untuk memastikan kehidupan berjalan dengan harmoni. Apabila keseimbangan ini dirosakkan oleh kerakusan dan ketamakan manusia, maka bencana akan menimpa.

Al-Quran berulang kali mengingatkan manusia tentang nikmat alam yang sering dimungkiri. Air bersih, udara segar, hutan rimba, dan kepelbagaian biologi adalah rahmat yang wajib dipelihara. Namun, realiti hari ini amat menyedihkan. Sampah plastik menyesakkan sungai dan lautan, penebangan hutan berlebihan mengorbankan habitat flora dan fauna, pencemaran udara dan bahan kimia merbahaya menjejaskan kesihatan manusia. Apakah kita masih mahu menutup mata, sedangkan setiap kerosakan ini adalah akibat tangan manusia sendiri?

Firman Allah jelas dimana manusia diberi tanggungjawab menjaga bumi. Jika amanah ini diabaikan, maka ketidakstabilan akan berlaku. Perubahan iklim, banjir besar, tanah runtuh, dan bencana alam bukan sekadar fenomena semula jadi, tetapi peringatan bahawa kita gagal menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah. Menolak kelestarian alam sekitar adalah menolak tuntutan agama. Kerakusan dan ketamakan yang mendorong penebangan hutan, pencemaran plastik, dan eksploitasi sumber tanpa kawalan adalah bentuk kezaliman terhadap bumi.

Setiap bulan, dunia mengingatkan kita tentang kepentingan alam sekitar. Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa pada 22 Mei menekankan kepentingan memelihara kepelbagaian biologi. Hari Migrasi Burung Sedunia pada Sabtu kedua Mei mengingatkan tentang pemuliharaan burung migrasi. Hari Bumi pada 21 April, Hari Tapir Sedunia pada 27 April menjadi simbol kepelbagaian biologi Malaysia yang terancam. Peringatan dunia pada bulan April dan Mei, sebagai persediaan menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun yang menjadi seruan global untuk bertindak menjaga bumi, manakala Hari Lautan Sedunia pada 8 Jun memberi fokus kepada perlindungan ekosistem marin. Semua hari-hari ini menjadi peringatan kepada manusia. Namun, sambutan ini sering berakhir dengan ucapan dan poster tanpa perubahan tabiat. Umat Islam dan Melayu mesti bangkit menjadikan setiap peringatan ini sebagai momentum untuk tindakan nyata selari dengan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini yang disebut dalam al-Quran.

Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) adalah kunci. Pendidikan tentang alam sekitar tidak boleh bersifat bermusim. Ia mesti berterusan, mantap, dan sistematik. Mulakan hari dengan kebersihan, tanamkan rasa hormat kepada alam semula jadi, dan jadikan pengurusan sampah serta plastik sebagai amalan harian. Di sekolah, murid mesti diajar mengurangkan penggunaan plastik sekali guna. Di universiti, mahasiswa mesti menjadi agen perubahan dengan projek kelestarian. Di rumah dan kampung, masyarakat mesti mengamalkan kitar semula dan pembuangan sampah yang teratur. Jika pendidikan ini benar-benar diamalkan, umat Islam dan Melayu akan menjadi contoh kepimpinan dalam penjagaan alam sekitar.

Umat Islam tidak boleh lagi lalai. Menjaga alam sekitar adalah ibadah, tanda syukur atas nikmat Allah. Menjadi Melayu yang beragama Islam bermakna menjuarai kelestarian bumi, bukan menambah kerosakan. Semua sambutan hari-hari berkaitan alam sekitar bukan sekadar sambutan, tetapi panggilan jihad ekologi, perjuangan menentang kerakusan, ketamakan, dan kezaliman terhadap bumi.

Marilah kita menunaikan amanah khalifah. Marilah kita menjaga alam sekitar dengan penuh kesedaran. Marilah umat Islam dan Melayu menjuarai perjuangan ini demi agama, bangsa, dan masa depan bumi.