Oleh: Ahmad Ismail
Dalam arus ekonomi yang semakin mencabar, kajian semula gaji minimum oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bukan sekadar pelarasan angka di atas kertas. Ia adalah peluang Emas untuk membina semula kekuatan tenaga kerja tempatan, khususnya Bumiputera, agar mampu menggantikan dominasi pekerja asing dalam sektor kritikal negara.

Hari ini, Malaysia menanggung beban besar apabila lebih 3.38 juta pekerja asing mengisi ruang pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana. Dari sektor perkilangan hingga pembinaan, dari ladang hingga perkhidmatan, mereka bukan sahaja menguasai peluang kerja, malah mengikut laporan Bank Negara tahun 2024, kira-kira RM32.6 bilion setahun mengalir keluar ke negara asal mereka. Angka ini dijangka melonjak sehingga RM70 bilion setahun jika tidak dikawal. Wang yang sepatutnya berputar dalam ekonomi domestik, membina kekayaan rakyat Malaysia, akhirnya hilang begitu sahaja.
Pekerja asing dari Indonesia dilaporkan membawa keluar wang mencecah RM15.58 bilion, diikuti Bangladesh RM4.6 bilion, Nepal RM3.6 bilion, India RM2 bilion dan Filipina RM1.1 bilion. Angka ini jelas menjadi beban kepada ekonomi negara. Lebih membimbangkan, pekerja asing tertumpu dalam sektor perkilangan (770,000), pembinaan (698,000), perkhidmatan (448,000), pertanian (450,000) dan pembantu rumah (102,000).
Di sinilah pentingnya kajian gaji minimum. Dengan kadar baharu yang lebih adil dan seiring kos sara hidup, ia mampu menarik minat rakyat tempatan untuk kembali mengisi sektor yang selama ini dianggap “kerja asing”. RM1,700 sebulan sebagai gaji minimum bermula Februari 2025 adalah langkah permulaan, tetapi kajian semula yang sedang dijalankan akan memastikan kadar ini benar-benar relevan dengan realiti semasa.
Bagi Bumiputera, isu gaji minimum berkait rapat dengan agenda besar negara: pemilikan ekuiti 30%. Gaji rendah selama ini menghalang Bumiputera daripada mengumpul kekayaan, menjejaskan kemampuan isi rumah B40 (majoritinya Bumiputera) untuk menampung kos hidup, apatah lagi melabur atau menabung. Dengan gaji minimum yang lebih tinggi, peluang untuk meningkatkan pendapatan isi rumah terbuka luas, sekali gus merapatkan jurang pendapatan dan kekayaan.
Namun, gaji minimum bukan sekadar angka. Ia adalah pemangkin motivasi. Bumiputera perlu melihat peluang ini sebagai seruan untuk bangkit, menguasai sektor perkilangan, pembinaan, pertanian, dan perkhidmatan. Sektor-sektor ini bukan pekerjaan kelas kedua, tetapi tulang belakang ekonomi negara. Jika kita menguasainya, kita bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, tetapi juga memastikan kekayaan negara kekal berputar dalam tangan rakyat Malaysia.
Bayangkan jika sebahagian besar daripada RM32.6 bilion yang kini mengalir keluar negara kekal di Malaysia. Ia boleh digunakan untuk membina rumah, menyokong pendidikan anak-anak, melabur dalam perniagaan kecil, dan memperkukuh ekonomi tempatan. Inilah transformasi sebenar yang mampu dicapai melalui dasar gaji minimum yang mantap.
KESUMA melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sedang melibatkan majikan, pekerja, dan kerajaan dalam sesi libat urus tripartite. Ini bukan sekadar perbincangan teknikal, tetapi medan untuk menentukan masa depan tenaga kerja Malaysia. Bumiputera perlu menyahut cabaran ini dengan sikap berani, disiplin tinggi, dan kesediaan untuk bekerja keras.
Bagi memenuhi persaingan ini, Bumiputera mesti membekalkan pengetahuan, kemahiran, serta jati diri yang tinggi. Program kerajaan seperti MARA dan TVET boleh menjadi landasan penting untuk menyediakan tenaga kerja tempatan yang bersedia mengisi ruang pekerjaan yang kini didominasi pekerja asing.
Bangkitlah Bumiputera! Jadikan kajian gaji minimum ini sebagai peluang untuk menguasai pasaran kerja, mengurangkan aliran wang keluar negara, dan memastikan Malaysia berdiri teguh dengan tenaga kerja rakyatnya sendiri. Masa depan ekonomi negara bergantung kepada keberanian kita untuk mengambil alih peranan ini.

More Stories
Satu Lawan Satu, Tolak PH 3.0
Satu Lawan Satu: Formula Politik atau Kesedaran Strategik?
Sejarah: Obor Perjuangan Melayu, Tiang Seri Masa Depan Malaysia