Februari 13, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Perdebatan Hangat Isu Pilihanraya Datuk Bandar

Isu hangat

Desas-desus usaha mendesak kerajaan adakan pilihanraya PBT, termasuk pilihanraya memilih Datuk Bandar, bukan cerita baru. Sejak awal 2007 lagi isu ini rancak dicuit. Yang mencuitnya hanya satu institusi saja, iaitu institusi politik yang satu ini.

Apabila BN menang tipis dalam PRU 12 pada Mac 2008, isu ini semakin hangat dicuit, oleh institusi yang sama.

Sebelum YB Dr Zaleha meninggalkan pejabatnya, isu ini sudah diangkatnya untuk tindakan lanjut. Akan tetapi beliau memilih untuk mengambil tindakan sama seperti lainlain isu kepentingan atau isu kehendak rakyat.

Apabila YB Hannah Yeoh mengambil-alih tugas Menteri Wilayah Persekutuan, sepantas kilat beliau mengangkat, mempopularkan dan mensensasikan isu ini. Beliau yang memang terkenal sebagai menteri populis, mensensasikan isu ini, bagi mendapatkan banyak pihak menyokongnya.

Untuk mensensasikannya lagi, beliau mendalihkan kononnya usaha ini baru diperingkat kajian dan kerajaan baru melantik pihak UIAM bagi tujuan itu.

Mengapa perlu disebut yang ianya baru hendak memasuki peringkat kajian dan mengapa perlu disebut siapa yang akan jalankan kajian, sambil menyatakan ia tiada kena mengena dengan DAP? Beliau merasakan dirinya cukup cerdik dengan berdalih sedemikian rupa. Saya langsung tidak terfikir yang pemimpin sehebat YB Hannah Yeoh akan berputarbelit hingga ke tahap itu.

Status Pentadbiran Bandaraya

Selepas Kerajaan membatalkan sistem pilihanraya kerajaan tempatan sekitar tahun 1963 dan syor bagi mengembalikannya oleh Suruhanjaya Siasatan Athi Nahapan 1965-68 ditolak oleh kerajaan ketika itu, semua PBT menjadi institusi eksekutif sepenuhnya. Tidak perlu habiskan banyak masa, sumber dan dana bagi mengendalikan pilihanraya memilih Yang d-Pertua atau Datuk Bandar serta ahli majlisnya. Akta Kerajaan Tempatan digubal (Akta 171). Selama tiga tahun, sejak 1973, ordinan berkaitan berperanan sebagai akta sementara. Akta 171 mula berkuatkuasa sejak 1976.

Sebagai institusi eksekutif, perlantikan ketua jabatan PBT, samada Datuk Bandar atau Yang di-Pertua, serta ahli majlisnya, adalah budibicara kerajaan.

Kuasa Melantik

Bagi Datuk Bandar Kuala Lumpur, kuasa melantiknya dan semua Ahli Majlis Penasihat DBKL adalah di bawah bidang kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (SPB), atas nasihat YAB Perdana Menteri.

Dari segi urusan pentadbiran, ia diletakkan di bawah KWP.

Lain-lain PBT, termasuk Bandaraya di setiap negeri, ada sedikit perbezaan dari segi kuasa melantik Datuk Bandar/Yang di-Pertua dan Ahli Majlisnya. Dari segi pentadbirannya, ia diselaraskan oleh KPKT.

Sejarah Pilihanraya PBT, Perancangan RMK, Penganjauran KEB & Penggubalan DEB 1970

Sejarah pilihanraya pihak berkuasa tempatan yang bermula di Pulau Pinang, ada rasionalnya tersendiri mengapa ianya dihentikan dan PBT diislah menjadi institusi eksekutif.

  • Laporan Suruhanjaya Siasatan di-Raja diketuai Senator Athi Nahapan (1965-1968) ditolak oleh Kerajaan Barisan Nasioanl ketika itu. Kerajaan berbuat demikian atas alasan mengurangkan peranan institusi legislatif dalam urusan pentadbiran. Ia juga sekaligus mengurangkan politicking dikalangan rakyat Malaysia.
  • Secara kebetulan, Suruhanjaya itu dibentuk tatkala institusi perancang (kini dikenali sebagai EPU) hampir selesai menyediakan RMK Pertama (1966-1970) yang dilihat mengheret Malaysia amalkan ekonomi pasaran terbuka, tatkala majoriti rakyat Malaysia (terutama bumiputera) masih terkial-kial menceburi bidang ekonomi. Demografi penduduk bandar dikuasai bukan bumiputera, maka, jika pilihanraya PBT dilaksanakan, bukan bumiputera dan warga asing akan terus pinggirkan bumiputera dalam perkongsian kek ekonomi.
  • Pemimpin negara ketika itu juga dapat merasakan bila RMK I dilaksanakan, ekonomi kaum bumiputera akan semakin tercicir. Lantas, dalam tempoh yang sama itu (1965-1968), dua Kongres Ekonomi Bumiputera dianjurkan Kerajaan, iaitu KEB I (Jun 1965 dan KEB II September 1968). Banyak institusi eksekutif baru ditubuhkan dan ramai bumiputera dilantik mengisi perjawatan dalam pelbagai institusi eksekutif itu, konsisten dengan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
  • Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga ambil tindakan untuk segera merencana formula dan resipi baru untuk menyediakan kerangka RMK II dan seterusnya. Hatta, DEB 1970 digubal dengan sasaran awal ianya digunakan sebagai Dasar Induk Negara.

Jelas sekali, kerajaan ketika itu berusaha berbagai cara menubuhkan dan memperkasakan berbagai institusi eksekutif awam dan korporat, dengan pada masa yang sama mengurangkan penglibatan institusi legislatif dalam pentadbiran negara.

Buat sekian lama, usaha pengislahan itu berjaya. Sistem penyampaian awam diperkasakan. Penyelarasan perlaksanaan diperkemaskan dengan penubuhan ICU, manakala SERU ditubuhkan bagi mengkaji dan membuat penilaian prestasi setiap agensi kerajaan dan setiap inisiatif pembangunan yang dilaksanakan.

Zaman berubah pantas. Semakin banyak institusi eksekutif awam ditubuhkan dan ditambah pula dengan penubuhan begitu banyak institusi eksekutif korporat, prestasi mereka semakin hambar dan cetuskan banyak masalah. SERU dibubarkan maka tiadalah agensi pusat di bawah JPM itu teruskan usaha kajian dan penilaian prestasi. ICU pula lebih tertumpu kepada pengagihan peruntukan belanjawan tahunan, serta kuasanya dalam penyelarasan perlaksanaan direntap.

Keperluan Transformasi

Jika keperluan transformasi adalah berdasarkan permasalahan prestasi dan keberkesanan sistem penyampaian, serta penyelarasan yang semakin celaru, MPM komited untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, untuk turut sama mendesak usaha transformasi radikal dilaksanakan.

Setakat ini keperluan transformasi untuk rakyat mengambil-alih kuasa melantik datuk bandar daripada SPB serta melakukan proses lantikan secara pilihanraya, tidak jelas. Maka, MPM enggan menyokong usaha ini.

Jika keperluannya hanya kerana isu-isu berkaitan prestasi, kredibiliti, integriti dan keupayaan, tidak kuat kewajarannya untuk ditransformasikan sistem pelantikan atau pemilihan itu.

Jika diandaikan SPB gagal menitahkan Datuk Bandar untuk lebih berupaya menjalankan tugasnya, adakah dengan memindahkan kuasa memilih Datuk Bandar, jalan penyelesaian terbaik? Sangat kabur justifikasinya, sebaliknya, orang seperti kami terhidu motif lain akan desakan ini..

Pernahkan rakyat atau penduduk Kuala Lumpur misalnya, menyerahkan memorandum kepada SPB bagi menolak perlantikan Datuk Bandar, seraya diganti dengan pegawai yang lebih kredibel dan berekeupayaan?

Yang kami nampak, bila ia bertukar status menjadi institusi legislatif, pastinya ia akan jadi satu lagi gelanggang politik.

Kos & Implikasi Politik

Malaysia sudah ada 222 Kerusi Parlimen dan 600 Kerusi Dewan Undangan Negeri. PRU akan diadakan setiap 5 tahun. Dalam pada itu, jika ada mana-mana kerusi itu kosong dalam tempoh lima tahun itu PRK wajb diadakan bagi mengisi kekosongan itu. Maknanya, dari segi kebarangkalian, Malaysia mesti siapsiaga dan sediakan peruntukan dana yang cukup andaikata terpaksa perlu kendalikan PRK sebanyak 822 kali dalam tempoh setiap lima tahun.

Dibawah KPKT, tidak termasuk Majlis Kerajaan Tempatan dan Perbadanan Bandar, Malaysia mempunyai sebanyak 151 PBT (19 Majlis Bandaraya, 40 Majlis Perbandaran dan 92 Majlis Daerah). Jika kesemuanya itu perlu laksanakan pilihanraya, bermakna akan berlaku penambahan sebanyak 151 x 2 (302) pilihanraya, bagi memilih Datuk Bandar atau Yang di-Pertua (YDP) dan Ahli Majlis.

Ahli Majlis Bandaraya/Perbandaran/Bandar wajib ada. Jika tidak, kepada siapa Datuk Bandar atau YDP hendak mendapatkan punca kuasa?

Tidakkah rakyat Malaysia rasa muak dengan begitu banyak pilihanraya?

Kuasa Kendali Pilihanraya PBT

Tentunya apabila RUU mengenai Pilihanraya PBT diluluskan ia akan ada tambahan tugas kepada SPR. Dengan itu juga bermakna akan berlaku pindaan kepada Akta SPR bagi membolehkannya mengendalikan pilihanaraya PBT, yang libatkan pemilihan Datuk Bandar/YDP serta ahli majlis setiap PBT itu.

Keupayaan Bertanding

Sebagai institusi legislatif, keupayaan bertanding dikalangan rakyat tentunya akan berbalik kepada institusi politik yang ada.

Boleh ada calon persendirian atau calon yang mewakili mana-mana pertubuhan, dalam kategori NGO.

Lazimnya institusi politik sedia ada lah yang akan ada kelebihan meletakkan calon untuk bertanding. Inilah diantara agenda tersirat sebuah parti politik ini, yang beria-ia hendakkan pilihanraya PBT diadakan.

Kuasa Mengganti/Memecat

Jika pemilihan Datuk Bandar/YDP PBT berasingan dari pilihanraya Ahli Majlis PBT dan andaikata berlaku kekosongan disebabkan pemecatan atau apa juga punca pengosongan, perlu diadakan PRK, kerana tidak boleh melantik mana-mana Ahli Majlis mengisi keosongan itu.

Proses ini bukan saja rumit, ia juga ada implikasi kos dan keselamatan atau ketenteraman awam.

Motif & Agenda Tersirat Penggantian Sistem

Alasan yang logik tidak jelas mengapa sistem lantikan atau pemilihan Datuk Bandar/YDP perlu dibuat.

Yang pasti ada niat tersirat dikalangan institusi politik ini bagi mengurangkan bilangan institusi eksekutif awam/korporat dan perjawatan berkaitan, yang terkait juga dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Mereka yakin dengan perubahan status institusi PBT dari sebuah institusi eksekutif kepada institusi legislatif, mereka akan dapat menguasai institsi PBT ini. Helah ini bukan sangat untuk mentransformasi keupayaan pengurusan PBT, tetapi lebih kepada penguasaan institusi ini bagi memenuhi hasrat mereka mengapa institusi ini perlu dikuasai.

Pun begitu, bagaimana agaknya senario pilihanraya PBT ini kelak, apaila kuasa demografi akan semakin kuat memihak kepada dominasi kaum bumiputera. Menjalang tahun 2065 misalnya, bumiputera terdiri dari hampir 80% penduduk negara ini dengan lebih 80% bermastautin di bandar. Tentunya parti politik yang satu ini amat yakin yang ketika itu majoriti bumiputera adalah dikalangan mereka yang berfikiran terbuka dan liberal, yang memihak kepada agenda mereka, berslogankan Malaysian Malaysia, atau dalam bahasa Melayu bermaksud, Malaysia Untuk Bangsa Malaysia.

Institusi Eksekutif & Perkara 153

Apa pun hujahnya, bagi majoriti rakyat negara ini, perjawatan dalam institusi eksekutif, awam dan korporat, adalah terikat dengan persetujuan yang dicapai oleh semua kaum dalam penggubalan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Kaum bumiputera pastinya akan tercuit jika mana-mana institusi eksekutif yang ada hendak diislahkan menjadi institusi legislatif. Jika pengislahan ini akan jejaskan kuasa atau hak legitimasi bumiputera dalam perjawatan awam dan korporat, pastinya mereka akan bertindak, mengikut lunas undang-undang dan peruntukan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Itu sudah pasti. Maknanya, bumiputera akan bertindak terhadap usaha pengislahan institusi PBT, jika itu yang merfeka hajati.

Floodgate

Yang pasti, jika pilihanraya Datuk Bandar Kuala Lumpur ini diluluskan, parti politik yang sebuah ini pastinya akan menuntut lain-lain PBT diislahkan sedemikian juga.

Dengan ini juga ia membawa maksud Malaysia akan ada tiga lapisan pilihanraya, Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan.

Yang pasti, rakyat Malaysia akan habiskan banyak masa berpolitik.

Yang pasti, rakyat Malaysia akan habiskan banyak sumber kewangan dan bukan kewangan, untuk terlibat dalam pilihanraya ini.

Yang pasti, penjawat legislatif akan punyai semakin banyak kuasa eksekutif.

Pada Hemat MPM

MPM berpandangan, adalah kurang beradab bagi rakyat cuba menafikan kuasa SPB dalam perlantikan Datuk Bandar, tanpa hujah yang cukup kukuh mengapa pilihanraya perlu diadakan bagi memilih Datuk Bandar. Jika rakyat tidak berpuashati dengan prestasi Datuk Bandar, mereka boleh persembahkan memorandum kepada SPB menyatakan apakah isu-isu yang menggusarkan mereka, Pastinya Baginda SPB akan mengambil tindakan sewajarnya, bagi perbetulkan keadaan. Sangat tidak beradablah, tanpa sebarang alasan yang munasabah, terus merentap kuasa perlantikan Datuk Bandar dari Baginda SPB dan diganti dengan kuasa rakyat, dalam menentukan siapa yang selayaknya dipilih menggalas jawatan itu.

Kedua, jika isunya hanyalah berkaitan prestasi, integriti, tata-kelola atau yang berkaitan, tidaklah perlu serta-merta sistem pentadbiran diislahkan dari sebuah institusi eksekutif kepada sebuah institusi legislatif. Ada banyak proses yang perlu didahulukan bagi memperbaiki kelemahan itu. Laluilah semua proses penambah-baikan itu dulu bagi pastikan SPB melantik mereka yang benar-benar kredibel menggalas amanah itu.

Ketiga, MPM setuju dengan desakan untuk ditambah-baik sistem penyampaian semua institusi eksekutif awam dan korporat, termasuk PBT. Malah MPM turut menyokong usaha pengislahan keberkesanan perlaksanaan awam dan korporat yang dilihatnya semakin longlai.

Keempat, MPM juga setuju pemilihan penjawat awam dan korporat bagi semua jawatan strategik hendaklah dibuka kepada semua mereka yang berkebolehan, termasuk mereka dalam sektor swasta. Pada masa kini, perlantikan Datuk Bandar dikalangan penjawat awam, termasuk PTD saja. Di Malaysia ada terlalu banyak skim perjawatan awam dan korporat yang berkasta-kasta. Berbanding di negara-negara Nordic misalnya, mereka ada hanya satu Skim Perkhidmatan Nasional. Semua mereka yang layak, sekalipun telah beberapa tahun dalam sektor swasta, layak dilantik menjawat jawatan perkhidmatan awam atau korporat, berdasarkan jawatan itu serta diselaraskan dengan kelayakan dan pengalaman pemohon. MPM turut mencadangkan dirombak secara menyeluruh sistem perkhidmatan awam dan korporat bagi membolehkan mereka yang terbaik, dilantik mengisi sesuatu jawatan yang strategik, seperti jawatan Datuk Bandar ini.

Kelima, sistem perjawatan awam dan korporat, sekalipun dengan proses pengislahan yang disarankan dalam Perkara Keempat di atas, ada implikasi perundangan tersendiri. Ini kerana keutamaan pengisian jawatan awam dan korporat ada obligasi perundangan dipihak kerajaan untuk mematuhi peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak boleh sewenang-wenangnya diisi berdasarkan populisma atau tekanan berdasarkan sentimen politik atau perkauman.

Keenam, sekalipun kerajaan kini silih berganti, namun keupayaan institusi eksekutif memacu kemakmuran negara dan kesejahteraana rakyat, terus cemerlang. Dari aspek produktiviti dan daya-saing, tenaga kerja dan tenaga pentadbiran/pengurusan tempatan adalah diantara yang terbaik di dunia. Kerajaan mensasarkan untuk dayasaing negara berada dalam kelompok 10 terbaik di dunia menjelang 2030.

Dengan momentum yang sudah cukup berimpak itu, sekalipun ada yang longlai di sanasini, hendaknya kedudukan institusi eksekutif tidak diganggu-gugat bagi digantikan menjadi institusi legislatif, serta mengheret rakyat membuang lebih banyak masa berpolitik. Sistem politik yang Malaysia amalkan sudah terlalu toksik, kerana rakyat boleh dikatakan berpolitik hampir saban hari. Jika boleh dikurangkan berpolitik, eloklah didorong kearah itu. Institusi politik yang begitu banyak ini hendaklah lebih proaktif dalam mendorong rakyat majmuk negara ini menjadi warganegara yang lebih produktif dan berdaya-saing tinggi.

Akhir sekali, kepada para pemimpin politik, hentikanlah budaya berdaleh-daleh dan cuba memperbodohkan rakyat atau bermain sentimen politik cauvinisma. Rakyat, terutama kami bumiputera, nampak dan bijak menilai kebijaksanaan pemimpin politik dalam mana-mana parti politik. Janganlah hendaknya pemimpin menjadi semakin tidak cerdik kerana tegar ingin memperbodohkan rakyat.

Dato Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM

12 Feb 2026