Mei 28, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Forum MPM @ Pinggiran Parlimen: Siri Ke-4: Pilihanraya Datuk Bandar

Menimbang Rasional Demokrasi, Menjaga Amanah Perlembagaan

Tanpa berlengah, sejurus pelantikan YB Hannah Yeoh sebagai Menteri di Wilayah Persekutuan, landskap tadbir urus ibu negara kembali diuji. Dalam tempoh yang singkat, pelbagai tindakan, keputusan dan pengumuman dibuat, mencerminkan peranan beliau bukan sekadar sebagai Menteri Polisi, tetapi bertindak sebagai seorang Menteri Eksekutif sepenuh masa.

Antara agenda utama yang segera diketengahkan ialah cadangan melaksanakan Pilihanraya Datuk Bandar, selari dengan desakan lama DAP yang konsisten menuntut agar Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dihidupkan semula.

Soalnya bukan sama ada pilihanraya itu “demokratik” atau tidak. Soalnya jauh lebih besar dan mendasar, apakah rasional, implikasi perlembagaan, kesan struktur pentadbiran, dan dampaknya terhadap kontrak sosial yang telah dimeterai sejak pembentukan negara?

Di sinilah kebimbangan mula timbul.

Pilihanraya Datuk Bandar: Isu Pentadbiran atau Agenda Politik?

Naratif umum yang sering dimainkan ialah pilihanraya Datuk Bandar kononnya akan, meningkatkan akauntabiliti, mengembalikan kuasa kepada rakyat dan memperkukuh demokrasi tempatan.

Namun naratif ini terlalu simplistik, malah berisiko mengaburi realiti struktur perlembagaan Malaysia.

Perlu ditegaskan bahawa Datuk Bandar bukan sekadar figura politik, tetapi merupakan, ketua eksekutif pentadbiran bandar, penjawat awam tertinggi di peringkat PBT, dan sebahagian daripada ekosistem perkhidmatan awam negara.

Apabila jawatan ini dipolitikkan melalui pilihanraya, persoalan besar timbul:

  • Apakah status perjawatan awam itu sendiri?
  • Adakah ia masih tertakluk kepada prinsip neutral, profesional dan berteraskan perlembagaan?

Perkara 153 dan Hak Bumiputera: Isu Yang Tidak Boleh Dinafikan

Jelas sekali, di sebalik tuntutan pilihanraya PBT, wujud hasrat tersirat sebahagian pihak untuk, mengubah struktur perjawatan awam, melemahkan mekanisme perlindungan Bumiputera dan secara perlahan menafikan roh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 bukan sekadar peruntukan simbolik. Ia adalah, amanah sejarah, jaminan kestabilan sosial, dan asas keseimbangan antara kaum dalam pentadbiran negara.

Jawatan Datuk Bandar , khususnya di Wilayah Persekutuan , selama ini berfungsi sebagai sebahagian daripada sistem perkhidmatan awam, yang memastikan keterwakilan, kesinambungan dasar dan keseimbangan nasional.

Mengubahnya menjadi jawatan politik yang dipilih melalui pilihanraya bermakna, membuka ruang dominasi politik bandar oleh kelompok tertentu, menyingkirkan prinsip merit yang berasaskan ekosistem perkhidmatan awam dan akhirnya mencairkan semangat Perkara 153 secara halus tetapi sistematik.

Mengapa MPM Perlu Bertindak

Majoriti warga dan sekutu Majlis Perundingan Melayu (MPM) terdiri daripada, mantan penjawat awam kanan, tokoh eksekutif pelbagai agensi kerajaan, dan profesional korporat yang memahami selok-belok tadbir urus negara.m

Atas asas inilah, amat wajar dan bertanggungjawab untuk MPM menganjurkan satu wacana serius, berfakta dan berdisiplin , bukan demonstrasi jalanan, bukan jeritan populis, tetapi sidang meja bulat yang berteraskan hujah dan kebijaksanaan.

Tujuan Utama

Membincangkan secara rasional dan objektif justifikasi Pilihanraya Datuk Bandar dari sudut:

  • Perlembagaan,
  • Tadbir urus pentadbiran awam,
  • Kontrak sosial,
  • dan kestabilan politik bandar.

Dapatan dan Tindakan Susulan

Forum ini tidak bersifat retorik kosong. Ia disasarkan menghasilkan dapatan konkrit, antaranya:

  1. Siaran Media Rasmi
  2. Memorandum Rasmi MPM. Dikemukakan kepada YB Menteri Wilayah Persekutuan, mengandungi, hujah perlembagaan, implikasi pentadbiran dan cadangan alternatif yang lebih munasabah.

Tindakan Lanjutan Yang Wajar

Termasuk libat urus dengan Ahli Parlimen, Majlis Raja-Raja (melalui saluran sah), serta badan berkaitan , demi memastikan setiap langkah kekal dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Demokrasi Tidak Boleh Membunuh Negara

MPM tidak menolak demokrasi.

MPM tidak anti-pembaharuan.

Namun demokrasi tanpa disiplin perlembagaan adalah anarki berwajah manis.

Pembaharuan tanpa menghormati kontrak sosial adalah pengkhianatan terselindung.

Pilihanraya Datuk Bandar bukan isu kecil. Ia adalah titik mula perubahan struktur kuasa yang jika tersilap langkah, akan memberi kesan jangka panjang kepada negara dan bangsa.

Forum ini bukan tentang menentang individu.

Ia tentang menjaga amanah negara.

Dan amanah ini tidak boleh digadaikan atas nama slogan atau tekanan politik semasa.

Dato Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM