April 16, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Screenshot

Menjunjung Titah Tuanku: Membina Semula Maruah, Integriti dan Kedaulatan Bangsa

Forum MPM @ Pinggiran Parlimen Siri Ke-3

Khamis | 29 Januari 2026 | Wisma MPM Bina Daulah

Tema: Membina Semula Maruah, Integriti & Kedaulatan Bangsa

 

Forum MPM @ Pinggiran Parlimen Siri Ke-3 diadakan pada saat negara sedang diuji bukan sahaja dari sudut ekonomi dan geopolitik, tetapi lebih mendalam, ujian maruah, integriti dan jati diri bangsa. Tajuk forum, Menjunjung Titah Tuanku, bukan sekadar simbol kesetiaan kepada institusi Raja Berperlembagaan, tetapi manifestasi kesedaran bahawa teguran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah cerminan kegusaran rakyat dan amaran kepada seluruh sistem kuasa negara.

Dokumen rujukan utama forum ini ialah Titah Di-Raja KDYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim, semasa merasmikan Sidang Parlimen Ke-15 (Penggal Kelima) pada 19 Januari 2026. Titah tersebut bersifat menyeluruh, merangkumi pujian terhadap pencapaian negara, doa dan harapan terhadap masa depan, serta peringatan keras terhadap musuh utama kedaulatan negara, rasuah dan salah guna kuasa.

Titah Tuanku: Pengiktirafan, Harapan dan Amaran

Seri Paduka Baginda memulakan titah dengan ucapan tahniah kepada Kerajaan atas kejayaan mempengerusikan ASEAN 2025 serta penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47. Ini merupakan pengiktirafan terhadap keupayaan pentadbiran negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

Baginda turut menzahirkan syabas atas kejayaan kerajaan mengekalkan momentum ekonomi negara:

  • Pertumbuhan ekonomi pada kadar 4.7%,
  • Kadar pengangguran yang rendah,
  • Kadar inflasi yang terkawal, dan
  • Kadar kemiskinan tegar yang mencecah 0.09%.

Baginda seterusnya mendoakan kejayaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bermula tahun 2026, dengan penegasan bahawa keutamaan mesti diberikan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengangkutan awam.

Namun, di sebalik pengiktirafan dan harapan ini, Titah Tuanku menjadi tegas dan keras apabila menyentuh soal rasuah.

Titah Tuanku Mengenai Rasuah: Amaran Yang Tidak Boleh Dipandang Ringan

Antara petikan Titah yang paling menggetarkan ialah apabila Baginda menyatakan bahawa Baginda datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah. Ungkapan ini membawa makna simbolik yang sangat besar , bahawa rasuah telah sampai ke tahap yang mengancam sendi negara.

Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan amalan rasuah, terutamanya dalam institusi-institusi strategik negara seperti:

  • Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
  • Jabatan Imigresen,
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM),
  • dan banyak lagi.

 

Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk menjadi “mata-mata negara”, bersama-sama membantu memerangi rasuah. Dalam masa yang sama, Baginda menitahkan supaya SPRM bertindak dengan cepat, tegas dan kemas dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Titah ini jelas menunjukkan bahawa rasuah bukan lagi isu pentadbiran semata-mata, tetapi ancaman terhadap kedaulatan negara dan maruah bangsa.

Menjunjung Titah Tuanku: Tanggungjawab MPM

Sebagai sebuah institusi pemikir, MPM berpandangan bahawa menjunjung Titah Tuanku bukan sekadar menyatakan sokongan secara lisan, tetapi mencari jalan fikir, ikhtiar dan tindakan untuk membantu negara menangani gejala ini.

MPM menegaskan bahawa:

  • Gejala rasuah telah mencemari maruah, integriti dan kedaulatan bangsa dan negara
  • Sebelum ini, isu rasuah sering dikaitkan dengan pemimpin Melayu berprofil tinggi

kini, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila majoriti mereka yang terpalit dengan rasuah datang daripada kalangan peneraju institusi eksekutif yang juga berbangsa Melayu.

Keadaan ini menimbulkan persoalan besar yang perlu dijawab dengan jujur dan berani, sejarah ketamadunan bangsa Melayu tidak pernah menceritakan pencemaran maruah dan kedaulatannya oleh gejala rasuah secara rakus seperti hari ini. Mengapa sekarang? Mengapa begitu parah?

Adakah bangsa Melayu kini:

  • Mengalami “stress sosial” akibat tekanan kuasa dan materialisme?
  • Diperangkap secara terancang untuk dirosakkan maruah dan kedaulatannya?
  • Atau telah mengalami kelunturan jatidiri dan keperibadian sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)?

Cadangan Tindakan Segera: Menyekat Api Sebelum Marak

 MPM menginsafi bahawa tiada penyelesaian mutlak untuk merungkai permasalahan ini. Namun, sebagai langkah awal, forum ini mengesyorkan beberapa tindakan segera:

  • Pertama, menghidupkan kembali jawatan Chief Integrity Officer (CIO) di agensi-agensi strategik, hasil kerjasama SPRM dan Jabatan Audit Negara, bagi memantau ketelusan tadbir urus secara langsung.
  • Kedua, memperkukuh semula peranan GIACC, yang ditubuhkan sekitar 2018, agar laporan dan syor berkaitan integriti dan tata kelola terus dibawa ke peringkat Kabinet dengan berkesan.
  • Ketiga, kerajaan mesti segera menangani kekangan SPRM dari segi bilangan dan keupayaan kakitangan, memandangkan kes rasuah semakin banyak, besar dan kompleks.
  • Keempat, mempercepatkan penubuhan Mahkamah Jenayah Rasuah dan Salah Guna Kuasa, supaya keadilan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berwibawa.
  • Kelima, JAKIM dan Majlis-Majlis Agama Islam perlu lebih agresif, termasuk menjadikan isu rasuah, salah guna kuasa dan ancamannya terhadap akidah sebagai pengisian berulang dalam khutbah Jumaat, dengan penegasan kepada pembinaan keperibadian ASWJ.

Inisiatif Jangka Panjang: Memulihkan Manusia, Bukan Sekadar Sistem

MPM berpandangan bahawa pembersihan sebenar mesti bermula dari pembinaan insan. Antara inisiatif yang dicadangkan:

  • Penubuhan Institut Governan Insan (Human Governance Institute), sebagaimana pernah disarankan oleh Allahyarham Prof. Afrah Salleh, bagi mendidik governan berasaskan nilai, bermula seawal pendidikan rendah.
  • Peranan lebih agresif JAKIM dan Majlis Agama Islam dalam memastikan pemimpin dan penjawat awam Melayu teguh keperibadiannya sebagai ASWJ.
  • Selain INTAN, AKM digembleng untuk melaksanakan kursus dan latihan membasmi ketagihan rasuah, budaya salah guna kuasa dan sifat mazmummah.
  • Usaha dalaman berterusan dalam setiap institusi politik, eksekutif dan korporat untuk memastikan rasuah dan penyelewengan dibanteras tanpa kompromi.

Ke Arah Forum Khas Bina Semula Bangsa

Forum ini akan dikekalkan sebagai Forum Khas Bina Semula Maruah, Integriti dan Kedaulatan Bangsa, termasuk mengadakan sesi libat urus dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat dan pelbagai pihak berkepentingan.

Selain mengangkat cadangan penyelesaian, MPM juga mahu memahami akar sebenar mengapa gejala ini begitu berleluasa, khususnya dalam kalangan orang Melayu. Forum ini juga akan terus mengangkat isu-isu lain yang menjadi kegusaran, kemurkaan dan teguran Raja-Raja Melayu.

Menjunjung Titah Tuanku bukan pilihan.

Ia adalah amanah perlembagaan, seruan moral dan tanggungjawab sejarah bangsa.