April 17, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Sepuluh Usul Utama Konvensyen Melayu 153

Urusetia Konvensyen dengan ini mengangkat untuk dibincangkan 10 dari 57 usul yang disyorkan:

Usul utama tertumpu kepada dua teras:

Pertama: Tanggung-jawab orang Melayu menuntut & pertahankan haknya, dan Kedua Kuasa dan tanggung-jawab institusi kepentingan orang Melayu

Pertama: Perkara 153 Adalah ‘Pampasan’ Kepada Bangsa Melayu

Peringatan kepada semua orang Melayu.

Perkara Utama yang menjadi tema dan teras Konvensyen ini, ialah Perkara 153. Orang Melayu mesti tahu, Perkara ini paling rumit dirundingkan semasa penggubalan Perlembagaan.

Justeru, semua orang Melayu mesti sentiasa ingat, tuntutan kita terkandung dalam Perkara 153 ini adalah ‘pampasan’ yang selayaknya diterima, sebagai balasan kepada kemurahan hati kita berkongsi kerakyatan dan hak-hak mengundi dengan kaum-kaum lain.

Kita semua wajib pertahankan naratif ini, tanpa kompromi. Hak-hak ini kekal turun-temurun (perpetual) dengan kita.

Orang Melayu akan sentiasa hormati hak kaum-kaum lain, atas budibicara kita. Oleh yang demikian, semua hak yang diperuntukkan kepada orang Melayu termasuk biasiswa, penempatan dalam institusi pendidikan dan latihan, perjawatan sektor awam dan korporat, penganugerahan kontrak, lesen, konsesi dan sebagainya, wajib dipatuhi dan dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan.

Kedua: Melayu Bina Budaya Swatadbirurus.

Setiap orang dari kita bangsa Melayu, terutamanya anak-anak muda, mesti terapkan Perkara 160, iaitu fasal berkaitan takrifan mengenai ‘orang Melayu’. Dengan ini, setiap orang dari kita mesti segera bina budaya swatadbir-urus, bagi melengkapkan diri dan bangkit menjadi bangsa yang bermaruah, hebat, diberkati, berani, perkasa dan bijaksana, menuntut dan mempertahankan hakhaknya. Jangan sesekali ada mana-mana pihak mempersoalkan kebangkitan kita ini, kerana kita tidak melanggar pantang-larang 3R (Larangan menyentuh isu-isu sensitif berkaitan Ras, Agama & Raja).

Ketiga: Wartakan Wasiat, Gubal Akta Berkaitan dan Perkemaskan Semua Institusi Kepentingan Orang Melayu

Wasiat Raja-Raja Melayu yang menjadi rujukan utama Konvensyen ini hendaklah segera diwartakan.

Pelbagai akta yang diusulkan segera digubal.

Pelbagai institusi kepentingan orang Melayu diperkasakan lagi

Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) MKI diperkemaskan bagi diterajui semula oleh Perdana Menteri dan berperanan sebagai Sekretariat Tetap Hal Ehwal Islam dan Hal Ehwal Bumiputera. MKI adalah urusetia perantara diantara Raja dan Kerajaan.

Keempat: Kerajaan segera tubuhkan Kementerian Hal Ehwal Bumiputera @ Jabatan Perdana Menteri.

Dengan tertubuhnya Kementerian ini, semua usul yang dihasilkan oleh Konvensyen ini hendaklah segera di ambil tindakan olehnya.

Penyelarasan dan pemerkasaan semua institusi kepentingan bangsa, termasuk judisiari, pertahanan, persilatan Melayu dan keselamatan, hendaklah juga dipertanggung-jawabkan kepada Kementerian ini.

Kelima: Naratif Baru Tanah Simpanan Melayu (TSM)

Perbetulkan takrifan dan bina naratif baru wasiat mengenai TSM.

Nisbah 50% yang DYMM titahkan itu, adalah untuk ‘disimpan’. Tanah yang disimpan ini ialah tanah sebagai benteng maruah dan kedaulatan bangsa. Bagi tanah-tanah untuk disimpan, ia adalah untuk generasi orang Melayu turuntemurun.

Baki nisbah selebihnya, iaitu tanah sebagai aset ekonomi, hendaklah kita semua orang Melayu, rebut bersama kaum-kaum lain, secara adil dan saksama, atas budibicara kita bangsa Melayu.

Keenam: Kuasa & Tanggung-jawab Majlis Raja-Raja Melayu

Sepertimana Wasiat Keempat, Majlis Raja-Raja bertanggung-jawab memerintah negara. Dengan tanggung-jawab itu juga, sepertimana Fasal 1, Perkara 153, adalah menjadi tanggung-jawab DYMM memelihara hak dan kepentingan bangsa Melayu.

Dengan ini, Konvensyen ini mengusulkan organisasi institusi ini diperkukuhkan termasuk aspek kewangannya serta perlindungannya. Untuk itu akta-akta yang disyorkan hendaklah segera digubal.

Ketujuh: Melayu Celik Perlembagaan

Ketahuilah, bak kata Arwah Prof Datuk Dr Zainal Kling dalam buku Sejarah

Perlembagaan Malaysia, bahawa Perlembagaan Malaysia ini adalah ‘Perlembagaan Rakyat’. Rakyatlah yang kemukakan memorandum mengusulkan apa-apa juga peruntukan yang dikehendakinya untuk dimasukkan ke dalam Perlembagaan itu.

Hatta, setiap orang dari kita, terutama generasi anak-anak muda, wajib celik Perlembagaan dan tahu sejarahnya. Ini termasuklah kepekaan orang Melayu terhadap apa juga tindakan kerajaan, samada dalam penggubalan sesuatu Rang Undang-undang, atau pun memeterai apa juga perjanjian dengan pihak asing, yang boleh mengguggat maruah dan kedaulatan agama, bangsa dan negara, (seperti Perjanjian Tarif Perdagangan Timbal-balik USA-Malaysia), mesti ditolak atau ditentang.

Kelapan:  Islam Agama Persekutuan

Semua pihak wajib dipatuhi Wasiat ini dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Jangan sesekali ada mana-mana pihak, termasuk institusi judisiari sivil, mengganggu gugat status ini.

Majlis Raja-Raja mesti gunakan kuasa vetonya, sebagai Ketua Agama, bertindak perbetulkan keadaan bilamana berlaku konflik dalam perkara seperti ini.

Kesembilan: Bahasa Kebangsaan adalah Bahasa Melayu dan sistem pendidikan utama ialah sistem pendidikan kebangsaan.

Mana-mana pihak yang bertindak bercanggah dengan ketetapan ini wajib diambil tindakan undang-urdang terhadapnya.

Kerajaan wajib bertegas dalam perkara-perkara berkaitan Bahasa Melayu dan sistem pendidikan kebangsaan.

Kesepuluh: Kuasa Politik Negara Ditangan Orang Melayu Dikalangan Kita

Semua orang Melayu hendaklah terjemahkan kuasa demogafi menjadi kuasa politik.

Semua orang Melayu mesti mengundi calon Melayu dikalangan kita yang bertanggung-jawab memelihara kepentingan kita

Tanggung-jawab ini termasuklah penelitian setiap tindakan kerajaan yang akan beri kesan kepada taburan demografi dan persempadanan kawasan pilihanraya.