Taasub: Antara Fanatik dan Keteguhan Prinsip
Perkataan taasub sering membawa konotasi negatif. Ia dikaitkan dengan fanatik, sempit fikiran, dan keras kepala, khususnya dalam konteks agama. Namun, dalam erti yang lebih luas, taasub boleh juga difahami sebagai keyakinan mendalam terhadap sesuatu pegangan yang dizahirkan dengan keteguhan dan disiplin tinggi. Jika sikap itu diurus dengan ilmu dan hikmah, taasub sebenarnya boleh menjadi asas kekuatan bangsa.
Sejarah dunia membuktikan bahawa bangsa yang berjaya bukan hanya kerana kepintaran teknologi atau kekayaan sumber alam, tetapi kerana ketaasuban mereka terhadap bahasa dan budaya sendiri. Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi medium pemikiran, identiti, dan jiwa sesebuah bangsa.
Taasub yang Membina: Contoh dari Timur dan Barat
Bangsa Inggeris sendiri pernah mengalami proses kebangkitan melalui “taasub bahasa”. Pada zaman silam, bahasa Latin dianggap bahasa golongan bangsawan dan ilmuwan, manakala bahasa Inggeris hanya digunakan rakyat bawahan. Namun, apabila rakyat mula berbangga dengan bahasa mereka sendiri, gelombang itu menenggelamkan bahasa Latin di istana, sekaligus mengangkat bahasa Inggeris ke persada dunia.
Begitu juga Perancis. Mereka amat taasub dengan bahasa mereka hingga menggubal undang-undang yang menghadkan penggunaan bahasa Inggeris. Setiap perkataan asing perlu diterjemahkan terlebih dahulu ke dalam bahasa Perancis. Malah, kata-kata Inggeris tertentu diharamkan di Parlimen mereka. Prinsip mereka jelas, bahasa Perancis cukup kaya dan tidak perlu bergantung kepada istilah luar.
Di Jerman pula, tokoh sarjana seperti Gottfried Wilhelm Leibniz mempelopori gerakan memperkayakan bahasa Jerman. Hasilnya, bahasa Jerman menjadi bahasa ilmu moden yang menyumbang kepada kemajuan sains, falsafah, dan teknologi hingga kini. Jerman membuktikan bahawa bahasa ibunda mampu menjadi bahasa ilmu dunia.
Di Asia Timur, bangsa Jepun dan Korea menjadi contoh paling kukuh kepada taasub positif. Jepun mengamalkan konsep wakon yohsai, semangat Jepun, teknologi Barat. Apa jua inovasi dari luar mesti “di-Jepunkan” terlebih dahulu sebelum diterima. Begitu juga Korea yang mewajibkan segala bentuk teknologi dan hiburan diadaptasi ke dalam bahasa Korea. Dari taman tema hingga teknologi komunikasi, semuanya diolah dalam bahasa ibunda.
Rusia dan China turut mempraktikkan taasub bahasa. Jepun sendiri pernah menggunakan bahasa Rusia sebagai bahasa teknologi sebelum kembali kepada Nihongo. Sementara itu, China kekal menggunakan bahasa Mandarin dalam setiap urusan rasmi, mesyuarat antarabangsa, dan sidang media. Mereka menyediakan penterjemah untuk tetamu luar, bukan menukar bahasa mereka demi memudahkan orang asing.
Prinsip mereka mudah: Bahasa sendiri dijunjung, bahasa lain dikendong.

Malaysia: “Bahasa Jiwa Bangsa” atau Sekadar Retorik?
Malaysia juga mempunyai dasar bahasa yang jelas, termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara. Namun, setelah lebih 70 tahun merdeka, isu bahasa masih berulang-ulang. Bahasa Melayu terus berjuang mencari kedudukannya sendiri di bumi yang sepatutnya menjadi takhtanya.
Kempen Bulan Bahasa, seminar dan program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya kelihatan sebagai ritual tahunan. Sementara itu, pelaksanaan sebenar di lapangan, di kementerian, sekolah, universiti, dan sektor swasta, jauh dari semangat yang dilaungkan.
Lebih menyedihkan apabila dalam mesyuarat rasmi kerajaan, bahasa Inggeris masih digunakan. Ada yang mendakwa, bahkan mesyuarat kabinet juga kadang-kala dijalankan dalam bahasa Inggeris. Jika benar, inilah ibarat ibu ketam mengajar anak berjalan lurus.
Di Parlimen pula, hilang sudah adab berbahasa. Dahulu, jika ingin menyebut satu perkataan Inggeris, ahli parlimen akan berkata “mohon izin”. Kini, bukan sekadar sepatah dua, malah satu dua ayat penuh dalam bahasa Inggeris diucapkan tanpa segan silu. Apakah kita sedang berucap di London atau Kuala Lumpur?
Dari PPSMI ke DLP: Luka Lama yang Berulang
Sejarah juga mencatatkan bagaimana dasar pendidikan bahasa sering berubah-ubah mengikut arah angin politik. Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada 2003 telah menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Walaupun kemudian dimansuhkan, dasar Dual Language Programme (DLP) diperkenalkan semula pada 2014, PPSMI versi baharu yang membenarkan sekolah memilih untuk mengajar dalam bahasa Inggeris. Akibatnya, usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi kembali pincang.
Lebih membimbangkan, kemasukan meluas sekolah antarabangsa telah mencipta jurang sosial dan budaya. Ramai anak muda membesar tanpa fasih berbahasa Melayu, dan akhirnya terpisah dari akar budaya mereka sendiri.
Bahasa, Budaya dan Maruah Bangsa
Bahasa adalah cerminan jiwa bangsa. Ia bukan hanya alat untuk menyampaikan ilmu, tetapi wadah untuk membentuk pemikiran dan peradaban. Menolak bahasa kebangsaan bermakna menolak sejarah, warisan dan identiti bangsa itu sendiri.
Pejuang bahasa di negara ini, dari generasi Pak Asraf, Syed Nasir Ismail, Pendeta Za’ba, hingga ke tokoh seperti Datuk Dr. Siddiq Fadhil, tidak pernah menolak bahasa asing. Mereka menolak sikap menyanjung bahasa lain hingga merendahkan bahasa sendiri. Mereka faham, semua bahasa adalah kurniaan Tuhan untuk saling mengenal dan belajar. Tetapi bahasa kebangsaan wajib menjadi tunggak dalam urusan rasmi dan ilmu.
Apabila ada segelintir pihak menolak tulisan Jawi, mempersoalkan status bahasa Melayu, dan berdegil menolak sekolah satu aliran, itu bukanlah kebebasan bahasa, itu adalah taasub terhadap bahasa kaum sendiri yang akhirnya menggugat asas perpaduan nasional.
Jalan Ke Hadapan: Bangkitkan Semula Taasub yang Sihat
Kita tidak memusuhi bahasa Inggeris, malah kita mengiktiraf kepentingannya sebagai bahasa global. Namun, yang harus difahami ialah perbezaan antara menguasai bahasa Inggeris dengan dikuasai oleh bahasa Inggeris. Yang pertama membina, yang kedua memusnahkan.
Maka, kita perlu kembali kepada semangat taasub yang sihat, cinta mendalam terhadap bahasa sendiri tanpa menolak bahasa lain.
Beberapa langkah perlu diperkasakan:
- Ketegasan Dasar: Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa penghantar utama dalam semua urusan rasmi kerajaan, pendidikan dan komunikasi awam.
- Pengukuhan Terjemahan: Seperti Jepun dan China, industri penterjemahan harus diperhebat bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu moden.
- Penguatkuasaan Undang-undang: PBT dan sektor swasta mesti mematuhi penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda, iklan, dan dokumen rasmi.
- Pendidikan Bahasa: Sekolah dan universiti perlu melahirkan generasi yang bangga bertutur dan berfikir dalam bahasa Melayu tanpa mengorbankan kecekapan dalam bahasa asing.
- Kepimpinan Teladan: Pemimpin negara mesti menjadi contoh, menggunakan bahasa kebangsaan dalam ucapan, dasar dan tindakan.
Kesimpulannya, Jangan Sampai Jiwa Bangsa Terpadam
Bahasa adalah roh sesuatu bangsa. Ia bukan hanya warisan, tetapi tanda kemerdekaan sebenar. Merdeka bukan sekadar kibaran bendera pada 31 Ogos, tetapi apabila rakyat berdiri teguh dengan bahasa dan budaya sendiri.
Seperti pesan almarhum Pak Asraf Haji Wahab, “Pupus bahasa, pupuslah bangsa.”
Kita boleh menguasai bahasa Inggeris, Arab, Mandarin, atau mana-mana bahasa lain, tetapi jangan sampai kita dikuasai oleh bahasa itu hingga hilang jati diri.
Semoga para pemimpin hari ini, terutama yang pernah menjadi pejuang bahasa, tidak melupakan akar perjuangan mereka. Beranilah menegur sesiapa sahaja yang memperlekeh bahasa kebangsaan, kerana mempertahan bahasa ini bukan semata-mata soal sentimental, tetapi soal maruah bangsa dan kedaulatan negara.
Jangan sampai anak cucu kita kelak bertanya:
“Bahasa apa yang digunakan oleh nenek moyang kami dahulu?”
dan kita hanya mampu menjawab,
“Entahlah, mungkin sudah lama hilang bersama maruah bangsa.”
“Menguasai bahasa Inggeris itu penting. Tetapi apabila kita dikuasai oleh bahasa Inggeris, itulah permulaan malapetaka.”
— Kamal Shukri Abdullah Sani

More Stories
SPM 2025: Lonjakan Harapan, Cabaran Realiti
Mabuk Bukan Alasan: Nyawa Rakyat Jadi Taruhan
IJM Deal – Are Malaysian Investors Financially Savvy And What Next…