Dalam sejarah politik negara, kita semua masih ingat bagaimana seteru-seteru politik yang sekian lama bertelagah akhirnya bersatu atas satu matlamat menumbangkan kuasa politik yang bermaharajalela dan berkuasa terlalu lama. Dalam peristiwa itu, bukan sahaja parti-parti utama bersatu, malah parti-parti serpihan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan juga turut serta dalam gelombang perubahan ini.
Walaupun mereka mempunyai perbezaan ideologi yang ketara, faktor ‘common enemy’ telah menyatukan mereka. Dengan satu sasaran yang jelas, mereka sanggup mengenepikan segala perbezaan demi menjatuhkan kuasa politik yang dianggap terlalu kebal. Akhirnya, sejarah menyaksikan kejatuhan sebuah kuasa politik yang sebelum itu kelihatan mustahil untuk digugat.

Pengaruh Gerakan ‘Common Enemy’ dalam Ekonomi
Fenomena gerakan menumbangkan ‘common enemy’ ini bukan sahaja berlaku dalam politik, malah ia turut terbukti berkesan dalam bidang ekonomi.
Sebagai contoh, di sebuah negara di Amerika Latin, pengguna menghadapi tekanan apabila kartel-kartel besar sewenang-wenangnya menaikkan harga makanan asas seperti telur. Akibatnya, harga barang keperluan lain turut melonjak, menyebabkan kenaikan mendadak dalam Indeks Harga Pengguna (CPI).
Namun, gerakan kepenggunaan di negara itu cukup kuat. Dalam tempoh hanya tiga hari, rakyat secara besar-besaran memboikot pembelian telur. Akibatnya, industri yang dikawal oleh kartel kapitalis dan kroni ini lumpuh sekelip mata. Kejadian ini membuktikan bahawa walaupun kartel memiliki kuasa besar dalam ekonomi, mereka tetap boleh ditewaskan apabila pengguna bersatu dan menganggap mereka sebagai ‘common enemy’.

Keadaan di Malaysia: Dua Isu Utama
Di Malaysia, rakyat sedang berdepan dengan dua isu besar yang berlarutan tanpa penyelesaian yang berkesan:
1. Kos sara hidup dan bekalan barangan pengguna, terutamanya yang berkait dengan keterjaminan makanan.
2. Ketidakstabilan politik, di mana pelbagai isu sensitif berkaitan kaum dan agama sengaja dimainkan untuk menimbulkan ketegangan dan perpecahan, khususnya dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam.
Dalam situasi hari ini, orang Melayu semakin melihat politik sebagai sesuatu yang toksik. Mereka dijadikan alat untuk dipersalahkan dalam konflik antara kaum, manakala sesama mereka pula terus berbalah akibat percaturan politik.
Mekanisme Penyelesaian: Kuasa Pengguna dan Kuasa Politik
1. Gerakan Kepenggunaan sebagai Penentang Kartel
Teori ekonomi sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan isu harga barang, bekalan makanan, dan kestabilan pasaran. Isu ini lebih kepada perebutan kuasa—siapa yang lebih berpengaruh dalam menentukan pasaran, sama ada kartel atau pengguna.
Di banyak negara, gerakan kepenggunaan telah membuktikan bahawa pengguna boleh mengalahkan kuasa kartel. Namun, di Malaysia, perkara ini masih belum berlaku atas dua faktor:
• Kuasa regulatori oleh institusi eksekutif masih mampu mengimbangi kuasa kartel dan pengguna.
• Kesedaran serta gerakan kepenggunaan masih belum berkembang dengan kuat.
Jika suatu hari nanti terdapat kepimpinan yang berani menggerakkan dan menggalakkan pengguna untuk bersatu, maka gerakan ini boleh membantu institusi kerajaan dalam mengawal harga, bekalan, dan pasaran dengan lebih berkesan.
Konsep ‘common enemy’ perlu segera dipupuk dalam kalangan rakyat agar isu keterjaminan makanan dapat ditangani dengan lebih baik. Isunya bukan sekadar harga lantai padi atau menyelamatkan kilang padi yang berusia 60 tahun, tetapi lebih besar mengalahkan kuasa kartel yang memonopoli pasaran makanan.
2. Menghapuskan ‘Duri dalam Daging’ dalam Politik
Dalam aspek politik pula, masalah utama bukan sekadar eksperimen politik antara parti-parti yang sekian lama berseteru. Sebaliknya, masalah sebenar berpunca daripada kewujudan satu entiti politik dalam gabungan ini yang berperanan sebagai ‘duri dalam daging’.
Entiti ini akan terus menjadi perosak dalam mana-mana gabungan politik, tidak kira bagaimana ia dibentuk. DNA politik mereka adalah untuk mewujudkan perpecahan dan ketidakstabilan.
Penyelesaiannya? Jika pelbagai parti politik yang selama ini berseteru sanggup mengenepikan perbalahan mereka dan fokus kepada menyingkirkan ‘duri dalam daging’ ini, serta menganggapnya sebagai ‘common enemy’, maka kestabilan politik boleh dicapai semula.
Kuasa Perpaduan untuk Menumbangkan ‘Common Enemy’
Sejarah telah mengajar kita bahawa apabila rakyat dan pemimpin bersatu menentang musuh bersama, kejatuhan pihak yang berkuasa itu boleh berlaku dengan cepat dan berkesan.
Dalam isu ekonomi, pengguna perlu bersatu untuk menentang kartel. Dalam politik pula, pemimpin Melayu-Islam perlu mengenal pasti siapa ‘duri dalam daging’ dan bertindak untuk mengeluarkannya daripada sistem politik negara.
Kita sudah ada pengalaman dalam menumbangkan ‘common enemy’. Kejayaan itu boleh diulang dengan syarat ada kesedaran, keberanian, dan kesatuan yang kukuh.

More Stories
Ibadat Haji dan Semangat Qurban: Perpaduan, Rukun Negara dan Institusi Raja
Melayu Boleh Bersatu Walaupun Berbeza Parti: Menjadikan Manifesto Sebagai Aku Janji Bangsa
Sidang Meja Bulat Tolak UEC: Isu Pendidikan atau Isu Masa Depan Negara?