Oktober 8, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Mampukah DAP Dimelayukan?

Telah ada banyak parti pelbagai kaum di Malaysia. Antara yang terawal ialah Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM).

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), pada awal penubuhannya, pernah diterajui gandingan tiga tokoh utama, iaitu Syed Hussein Alatas, Lim Chong Eu dan Dominic Puthucheary.  Akhirnya ia menjadi parti alternatif kepada MCA dan DAP.

Kemudian lahir pula PKR yang pada mulanya didepani DSAI bersama Dr Chandra Muzaffar, Tian Chua, Ng Lum Yong serta ramai tokoh pelbagai kaum.  Kini PKR adalah sebuah parti anak-beranak.

Terkini, parti Wawasan dan Bersama, juga cuba mencerminkan mereka adalah parti pelbagai kaum.

Ya, sejak awal, DAP adalah parti pelbagai kaum.  Allahyarham Zulkifli Mohd. Noor dan Allahyarham Ahmad Nor adalah antara orang Melayu yang pernah diberi kerusi dalam kalangan pemimpin DAP.

Jika orang Melayu memilih untuk menyertai parti pelbagai kaum dan menolak UMNO atau PAS, ada banyak pilihan untuknya.  Apa kelebihan DAP berbanding parti-parti itu, jika benar orang Melayu semakin liberal dalam berparti dan ingin menolak parti berasaskan ras?

Mengapa perlu Setiausaha Agung parti terpaksa sebut berkali-kali dalam ucapannya yang DAP adalah parti pelbagai kaum, perjuangkan kepentingan dan kesejahteraan pelbagai kaum? Tidak pula disebut perjuangan DAP adalah secara adil dan saksama.

Maknanya, pemimpin itu merasa malu kepada dirinya sendiri. Dalam perjuangannya, beliau tahu dan sedar secara waras, yang DAP ini memang parti yang cauvinis. Cumanya, beliau enggan mengakuinya.

Itu sebabnya, dalam ucapannya beliau terpaksa berulang kali mencuit naratif yang cuba dibawanya, bagi meyakinkan orang Melayu, yang DAP ini adalah Malay-friendly party.

Para pemimpin DAP sedar, jika orang Melayu terus menerus menolak DAP, lambat laun, ia akan jadi semakin kurang relevan dalam arena politik negara, kerana faktor demografi warganegara Malaysia semakin tidak memihak kepadanya.

Tapi kenapa sekarang naratif ini beria-ia cuba dipromosikan dan dijual kepada orang Melayu?

Kenapa tiada suara-suara Melayu yang sudah berada di dalam DAP berbunyi sedemikian, berkongsi pengalaman manis mereka berada dalam DAP?

DAP ada semua jawapan kepada persoalan itu. DAP ada jawapan mengapa mereka terpaksa memilih untuk kekal bersama-sama kerajaan yang ada, hatta, terpaksa kekal tidur sebantal bersama-sama BN yang dicemburui.

Soalan pucuk-pangkal yang masih tidak terjawab ialah keengganan pucuk pimpinan DAP itu sendiri untuk memelayukan DAP, dalam erti kata yang sebenarnya.

Buat masa kini, hanya segelintir saki-baki baka Melayu yang sedarah dengan DAP. Rata-rata orang Melayu masih mengenali DAP dengan stigma yang puluhan tahun melekat kuat padanya. Selagi stigma itu terpalit pada DAP, bersidanglah ia puluhan kali, menjeritlah kononnya DAP parti untuk semua kaum dan perjuangkan kesejahteraan semua rakyat Malaysia, mesej itu tidak masuk ke telinga orang Melayu yang disasarkan. Mesej sedemikian akan tetap dibiaskan oleh stigma itu.