Oleh: Ahmad Ismail
Tanggal 21 Ogos setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia memperingati Hari Masjid Sedunia – sebuah tarikh yang lahir daripada tragedi hitam pembakaran Masjid Al-Aqsa pada tahun 1969 oleh pelampau Zionis. Peristiwa itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan global, malah menjadi pencetus kepada penubuhan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mempertahankan kesucian rumah ibadat umat Islam. Sejak itu, Hari Masjid Sedunia menjadi simbol kesedaran bahawa masjid bukan sekadar bangunan ibadah, tetapi pusat perjuangan, perpaduan, dan kebangkitan ummah.
OIC ditubuhkan pada 25 September 1969 di Rabat, Maghribi, dengan matlamat menyatukan negara Islam, mempertahankan kesucian Islam, dan melindungi hak umat Islam sedunia. Malaysia memainkan peranan besar melalui pelantikan Tunku Abdul Rahman sebagai Setiausaha Agung pertama. Matlamat utama OIC merangkumi pengukuhan kerjasama ekonomi, sains, budaya, dan sosial dalam kalangan anggota. Kini, OIC menjadi platform utama suara umat Islam global dalam menghadapi cabaran moden demi keamanan bersama.
Sejarah Islam membuktikan bahawa masjid sentiasa menjadi nadi masyarakat. Masjid Nabawi di Madinah bukan sahaja pusat ibadah, tetapi juga pusat pentadbiran, pendidikan, dan strategi ketenteraan. Masjid Al-Aqsa pula menjadi simbol ikatan rohani umat Islam dengan bumi Palestin.
Di Nusantara, masjid seperti Masjid Kampung Laut di Kelantan dan Masjid Ubudiah di Perak menjadi mercu tanda tamadun Melayu-Islam. Masjid Zahir di Alor Setar, Kedah pula sering diiktiraf sebagai antara masjid tercantik di dunia, melambangkan estetika kebudayaan dan perpaduan ummah. Di Indonesia, Masjid Istiqlal Jakarta berdiri sebagai masjid terbesar di Asia Tenggara, simbol kemerdekaan dan keharmonian. Masjid Raya Baiturrahman di Aceh pula menjadi saksi sejarah perjuangan dan keajaiban apabila terselamat daripada tsunami 2004.
Kesemua mercu tanda ini membuktikan bahawa masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi pusat tamadun, penyatuan ummah, dan toleransi budaya.
Hari Masjid Sedunia bukan sekadar peringatan sejarah, tetapi wadah untuk menyatukan saf umat Islam. Tanpa perpaduan, sambutan ini akan menjadi ritual kosong. Perpaduan ialah tunjang utama yang menyatukan suara umat Islam dalam mempertahankan Al-Aqsa, membina kekuatan ekonomi, dan menguasai teknologi.
Dalam dunia moden yang mencabar, masjid mesti tampil sebagai pusat ilmu, teknologi, dan ekonomi. Dengan kekuatan ilmu asas Islam digabungkan dengan penguasaan teknologi kontemporari, umat Islam mampu membina masyarakat yang stabil, berdaya saing, dan berwibawa.
Di peringkat kariah, masjid boleh menjadi pemangkin pembangunan komuniti melalui tiga bidang utama:
- Ekonomi: Projek kebun komuniti hidroponik, wakaf produktif, dan koperasi masjid mampu menjamin keterjaminan makanan serta mengukuhkan kitaran ekonomi setempat.
- Pendidikan: Masjid boleh menganjurkan kelas celik digital, kuliah profesional, dan bengkel kepimpinan belia untuk melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
- Sosial: Aktiviti gotong-royong, forum kesedaran umat Islam, dan program kebajikan asnaf mengukuhkan hubungan sosial serta empati masyarakat.
Salah satu inisiatif penting ialah Kempen 1000 Meter Masjid Hijau untuk menjadikan kawasan satu kilometer sekitar masjid sebagai zon hijau dengan tanaman pokok buah-buahan tempatan dan komersial. Sistem penuaian air hujan dan program kitar semula komuniti boleh menjana pendapatan serta mengurangkan jejak karbon. Konsep ini melahirkan Masjid Lestari, dimana masjid yang bukan sahaja memakmurkan ibadah, tetapi juga menjaga alam sekitar dan menyediakan keperluan masyarakat setempat.
Aktiviti sambutan Hari Masjid Sedunia mesti melangkaui sekadar perhimpunan. Ia perlu menjadi misi setempat untuk memajukan masjid dan meningkatkan kualiti anak kariah dalam semua aspek – pendidikan, ekonomi, budaya, dan perpaduan ummah.
Pada hari bersejarah ini, khutbah Jumaat di seluruh masjid di Malaysia wajar menyeragamkan mesej tentang peranan masjid sebagai pusat komuniti, keamanan, dan pembangunan ekonomi yang stabil. Pelancaran sambutan di masjid membawa keberkatan, ketelusan, dan kebersamaan masyarakat akar umbi.
Setiap individu Muslim boleh memainkan peranan:
- Sumbang kepakaran profesional untuk projek keterjaminan makanan atau pendigitalan dana masjid.
- Sokong produk kariah dengan membeli hasil tanaman kebun komuniti masjid.
- Bersatu dalam suara dan tindakan mempertahankan kesucian masjid serta memperkasa institusi Islam.
Hari Masjid Sedunia mesti dijadikan titik tolak untuk memperkasa institusi masjid sebagai pusat pembebasan ummah. Masjid bukan lagi sekadar tempat solat, tetapi pusat ekonomi, pendidikan, sosial, dan kelestarian. Dengan perpaduan, kepakaran profesional, dan komitmen hijau, masjid akan menjadi benteng utama umat Islam dalam menghadapi cabaran global serta membina keharmonian dalam kehidupan moden semua manusia.

More Stories
Merdeka Ke-69, Membebaskan Negara, Memerdekakan Pemikiran
Mampukah DAP DiMelayukan?
Antara Nilai Seni dan Batasan Moral