Ogos 16, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Antara Nilai Seni dan Batasan Moral

Beberapa bulan lalu, media arus perdana dan media sosial riuh dengan komen dan kritikan mengenai sebuah persembahan teater pada Karnival Teater Universiti Malaya (UM) yang berlangsung pada 4 hingga 19 April.  

Teater yang dipentaskan pada hari ke-11, iaitu pada 14 April, didakwa mengandungi adegan yang melanggar norma, sekali gus turut menjejaskan imej UM sebagai universiti terulung di negara ini.    

Isu pementasan teater yang terselit satu adegan pendek berunsur lucah itu telah mencetuskan kegusaran bukan sahaja dalam kalangan ibu bapa dan pelajar, malah turut meresahkan penggiat seni serta ahli akademik.  

Persoalan ini bukan sekadar mengenai kebebasan berkarya, tetapi juga tentang nilai dan tanggungjawab sebuah universiti yang dikenali sebagai simbol kecemerlangan akademik negara.

Sebagai sebuah universiti awam yang berpengaruh, UM sudah lama membina reputasi sebagai medan pembentukan sahsiah dan pemikiran generasi muda. 

Justeru, setiap aktiviti yang dilaksanakan di dalam kampus, termasuk seni, perlu selari dengan aspirasi pendidikan negara.  

Dalam hal ini, pementasan teater yang mengandungi unsur lucah, sama ada melalui kata bual atau aksi, sudah pasti akan menimbulkan persoalan tentang kesesuaian dan kesannya terhadap warga kampus.

Meskipun pihak pengurusan UM sudah membuat penjelasan mengenai isu itu, manakala Jabatan Drama di Fakulti Seni Kreatif universiti itu juga menafikan pelibatan kakitangannya dalam acara tersebut, orang ramai masih beranggapan bahawa kesilapan itu tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga ke tahap menjejaskan imej penganjur acara.   

Penulis berpandangan bahawa pihak penganjur acara seharusnya mengarahkan pementasan dihentikan sebaik sahaja pelanggaran syarat kelulusan skrip dikesan ketika persembahan sedang berlangsung.  

Masalah yang timbul pada malam persembahan terjadi secara spontan, kemungkinan besar, tanpa niat.  

Adegan ad lib yang tidak mengikut skrip itu terus berlarutan lebih-lebih lagi apabila penonton menunjukkan sokongan melalui derai ketawa akibat kelucuan yang tidak terkawal.

Bukan Perkara Baharu

Isu teater Malaysia berunsur lucah pernah dibangkitkan pada 2014 oleh Pengarah Istana Budaya ketika itu, Datuk Mohamed Juhari Shaarani yang mengulas mengenai teater Bahayanya Wanita arahan Eirma Fatima yang menurutnya, amat tidak bersesuaian dengan kanak-kanak kerana mengandungi dialog lucah.

Datuk Juhari yang berada di luar negara ketika teater itu mula dipentaskan tidak mengetahui hal itu sehinggalah beliau pulang dan menonton teater berkenaan.  

Menurut beliau, banyak dialog berunsur lucah diucapkan oleh watak yang dipegang oleh Zizan Razak.  

Teater yang dipentaskan pada musim cuti sekolah itu menarik minat orang ramai terutama kanak-kanak yang memang meminati pelawak dan pelakon terkenal itu.

Pada tahun 2019 pula, timbul isu pementasan teater bertajuk Love in Georgetown City (tajuk asal Sex in Georgetown City) di Pulau Pinang yang dibantah oleh orang awam kerana didakwa mempromosikan seks bebas.  

Namun demikian, pihak polis mendapati tiada elemen lucah dan menyifatkannya sebagai sketsa komedi.

Pengajaran daripada episod itu ialah kepekaan sebilangan anggota masyarakat terhadap persembahan seni yang dikhuatiri boleh mempengaruhi pemikiran penonton terutama generasi muda terhadap unsur yang boleh menjejaskan moral.   

Dalam berkarya, penggiat seni mesti mengambil kira sensitiviti rakyat majmuk dan tidak menggunakan kebebasan bersuara untuk mempromosikan perkara tidak bermoral.  

Dalam isu teater Love in Georgetown City, langkah penerbit dan pengarah menukar tajuk teater itu merupakan satu tindakan positif dalam meredakan kegelisahan masyarakat. 

Antara Sensasi dan Komersialisme

Dalam sejarah teater dunia, kontroversi berkaitan unsur seksual memang kerap berlaku. Malah, sebahagian karya yang dianggap klasik, pernah ditolak. 

Salah satu karya teater yang sering dirujuk sebagai drama paling kontroversial dalam sejarah teater moden ialah God of Vengeance (1923) hasil tulisan Sholem Asch.  

Teater ini mencabar norma sosial dan agama pada zamannya sehingga mencetuskan kejutan moral.  

Drama ini dikecam hebat kerana memaparkan hubungan sejenis antara dua wanita serta dunia pelacuran yang melibatkan seorang pemilik rumah pelacuran Yahudi. 

Polemik mengenai teater ini mencapai kemuncaknya apabila penerbitan versi bahasa Inggeris di Broadway diserbu pihak berkuasa.  Para pelakon serta penerbitnya kemudian didakwa atas tuduhan mempersembahkan kandungan tidak sopan. 

Peristiwa itu menunjukkan bagaimana seni pentas boleh menjadi medan pertembungan antara kebebasan berkarya dengan batasan moral yang ditetapkan oleh masyarakat.

Dalam konteks yang sama, beberapa teater lain pada era tersebut turut menerima nasib yang sama kerana membawa tema seksualiti dan hubungan manusia yang dianggap menyimpang.  

Antaranya ialah teater bertajuk Sex (1926) karya Mae West atau nama penanya, Jane Mast.  

Teater ini menampilkan watak wanita bebas sehingga membawa kepada penangkapan penulisnya sendiri.  

Dipentaskan di Broadway, drama ini menerima ulasan yang negatif, namun berjaya dari segi komersial. 

Teater itu akhirnya dihentikan oleh Jabatan Polis New York atas alasan berunsur lucah.  West didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 10 hari.

Teater bertajuk The Captive (1926) karya seorang dramatis dari Perancis, Edouard Bourdet, yang mengisahkan hubungan lesbian, pernah diharamkan di beberapa buah bandar di Amerika Syarikat.  

Karya klasik seperti Salome oleh Oscar Wilde juga menerima kritikan kerana unsur sensual dan simbolisme erotiknya yang dianggap melampaui batas norma ketika itu.

Sebuah teater muzikal popular Amerika pada era 1960-an, bertajuk Hair, turut menerima kecaman kerana memperjuangkan budaya hippie, yang menjadi simbol pemberontakan budaya generasi muda ketika itu.  

Muzikal itu mengisahkan tentang sekumpulan hippie yang menentang dasar kerahan tentera ke Perang Vietnam.  

Mereka bergelut untuk mengimbangi kehidupan muda serta revolusi seksual dan dadah dengan menentang nilai konservatif masyarakat. 

Begitu juga dengan teater avant-garde, Oh! Calcutta!, yang menggabungkan unsur humor, falsafah dan erotisme secara terang-terangan.  

Teater karya pengkritik drama dari Britain, Kenneth Tynan dan diterbitkan oleh Hillard Elkins itu mula dipentaskan di Off-Broadway pada tahun 1969 sebelum dipersembahkan di West End pada tahun 1970.  

Dengan jumlah lebih 3,900 persembahan di London, 1,314 persembahan di New York dan 5,959 persembahan di Broadway, ia menjadi teater paling lama dipentaskan.

Namun demikian, pementasan itu bukan sahaja mencetuskan perdebatan tentang kebebasan berkarya, malah turut mengundang kritikan kerana dianggap melampaui batas kesopanan. 

Dalam konteks Eropah pula, karya Spring Awakening mengupas isu seksualiti remaja secara terbuka.  

Teater muzikal itu diadaptasi daripada drama Jerman terbitan tahun 1891 karya Frank Wedekind.  

Berlatarkan era akhir abad ke-19 di Jerman, muzikal itu diiktiraf sebagai kritikan sosial yang berani walaupun berhadapan tentangan.

Contoh-contoh karya yang disebut di atas menunjukkan bahawa konteks budaya memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan sejauh mana sesuatu karya itu boleh diterima. 

Perkukuh Garis Panduan Pementasan Seni

Apa yang dianggap progresif dalam budaya masyarakat Barat tidak semestinya selari dengan nilai masyarakat Malaysia yang berteraskan agama, adat dan norma ketimuran.

Dalam konteks tempatan, sensitiviti masyarakat terhadap isu kesopanan dan moral, sentiasa menjadi keutamaan. 

Sebagai sebuah negara majmuk, Malaysia mempunyai pelbagai latar belakang budaya dan kepercayaan, namun nilai kesusilaan tetap menjadi teras bersama.  

Pementasan yang melanggar norma ketimuran dan batasan moral, lebih-lebih lagi persembahan di institusi pendidikan, boleh menimbulkan ketidakselesaan dan salah faham dalam kalangan masyarakat umum.

Dalam hal ini, konsep kebebasan berkarya dalam persekitaran akademik perlu dinilai semula dalam kerangka yang lebih luas tetapi tertutup. 

Dalam erti kata lain, tiada kebebasan mutlak walau apapun alasannya.  

Sebaliknya, ia perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab sosial dan etika.

Sebagai sebuah institusi ilmu, universiti mesti melaksanakan peranan penting dalam membimbing pelajar agar memahami perbezaan antara pernyataan artistik dengan eksploitasi yang bersifat sensasi semata-mata.

Tindakan menormalisasi kandungan lucah dalam pementasan kampus boleh membentuk persepsi bahawa segala bentuk ekspresi adalah wajar atas nama seni, tanpa mengambil kira implikasinya terhadap nilai individu dan masyarakat. 

Walau bagaimanapun, adalah tidak adil untuk menolak terus semua karya yang menyentuh isu seksualiti. 

Dalam banyak keadaan, isu tersebut boleh dibincangkan dalam konteks pendidikan, psikologi atau kritikan sosial yang mendalam.  Justeru, pendekatan yang lebih matang dan berimbang diperlukan.  Pihak universiti wajar memperkukuh garis panduan berkaitan pementasan seni di kampus melalui penubuhan panel penilai yang terdiri daripada ahli akademik, penggiat teater serta wakil masyarakat.  

Langkah ini perlu dilaksanakan bagi memastikan prinsip kebebasan berkarya bergerak seiring dengan tanggungjawab sosial.  Hanya melalui pendekatan ini, warga kampus akan dapat berkarya dengan lebih matang bagi menghasilkan karya yang memberi impak positif kepada masyarakat.