Julai 14, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Peribahasa Mengingat Kita: Demi Kestabilan, Kesejahteraan dan Kemerdekaan Sejati

Oleh: Ahmad Ismail

Musim pilihan raya bukan sekadar pesta demokrasi, tetapi detik penentuan hala tuju negara. Kemerdekaan yang kita warisi bukan hanya simbol kebebasan, tetapi asas kepada keamanan dan kedaulatan jangka panjang. Dasar Ekonomi Baharu, Rukun Negara, dan Perlembagaan Malaysia dibina dengan falsafah kesejahteraan bersama. Namun, semua ini hanya bermakna jika ahli politik memahami dan menafsirkan acuan sebenar perjuangan, bukan tafsiran yang salah demi kepentingan peribadi.

Bagi orang Melayu, peribahasa adalah cermin jati diri. Ia bukan sekadar kata-kata indah, tetapi pedoman hidup yang mesti diangkat dalam pendidikan, ekonomi, dan politik. Pepatah “Menang sorak kampung tergadai” mengingatkan kita bahawa kemenangan kosong tanpa strategi hanya membawa kerugian. Krisis kepimpinan adat, seperti isu Undang dan Yam Tuan di Negeri Sembilan, menjadi teladan bahawa perpecahan dan kelekaan boleh menggugat kestabilan politik negara. Contoh ini penting kerana kedudukan sultan dalam negara disisi perlembagaan.

Perjuangan politik mesti kembali kepada objektif asal untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Pepatah “Anak kera di hutan disusukan, anak sendiri dibiar kelaparan” adalah amaran keras agar pemimpin tidak mengabaikan rakyat sendiri demi pihak luar. Begitu juga dengan “Diberi berkuku hendak mencengkam” yang menegur sikap tamak kuasa sehingga menindas komuniti peribumi. Pemimpin yang dipilih mesti bertanggungjawab terhadap rakyat, menunaikan janji, dan tidak berpaling tadah. Jika tidak, jadilah seperti pepatah “Menyokong membawa rebah”, suatu pengkhianatan yang meruntuhkan harapan rakyat.

Rakyat pula mesti berpijak di bumi nyata, berjati diri, dan berdiri bersama pemimpin yang dipilih. Jangan sampai “Harapkan pagar, pagar makan padi”. Kuatnya kedudukan seorang pemimpin politik adalah kerana sokongan rakyatnya, dan kekuatan rakyat itu berakar umbi daripada tanah air mereka. Pepatah “Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya” menuntut agar janji politik dikotakan, bukan dimungkiri.

Dalam konteks ekonomi, pepatah “Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan” menggambarkan rakyat yang menderita di tengah negara kaya. Ia menuntut dasar pengagihan ekonomi yang adil, agar penduduk asal tidak menjadi penonton di tanah sendiri. Sementara itu, pepatah “Mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan” mengingatkan kita supaya tidak mudah tergoda janji luar yang belum pasti, sehingga menggadaikan hak yang sedia ada.

Kekuatan politik juga bergantung kepada rakyat. Pepatah “Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah” menegaskan bahawa kepimpinan hanya teguh jika rakyat berakar umbi pada tanah air mereka. Jika hak peribumi terjejas, kepimpinan politik juga akan tumbang. Begitu juga dengan pepatah “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” yang menuntut semua pihak menghormati undang-undang, kontrak sosial, dan adat resam tempatan.

Dalam sistem pendidikan dan kehidupan harian, jati diri bangsa mesti diperkasakan. Hilang jati diri bererti hilang maruah bangsa dan agama. Bagi orang Melayu, budaya, adat, dan Islam adalah laluan terbaik untuk membina negara maju, aman, berpendidikan tinggi, berdaya saing dalam ekonomi, serta dihormati dunia.

Pilihan raya kali ini adalah peluang untuk memperbetulkan haluan. Jangan sampai “Nasi sudah menjadi bubur” akibat kelekaan rakyat dan pemerintah. Pemimpin mesti adil, berjuang untuk rakyat, dan menjauhi politik kepentingan peribadi yang hanya melahirkan fitnah. Rakyat pula mesti bersatu membina kekuatan dalam semua aspek kehidupan dalam politik, undang-undang, ekonomi, pendidikan, dan alam sekitar

Kemerdekaan bukan sekadar sejarah, tetapi amanah untuk masa depan. Dengan jati diri yang teguh, kepimpinan yang adil, dan rakyat yang bersatu, Malaysia mampu mencapai kestabilan politik dan kesejahteraan negara yang berkekalan.