Jun 12, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Pesta Buku Kuala Lumpur: Pengunjung Ramai, Sejauh Mana Mencerminkan Budaya Membaca Rakyat Malaysia

Oleh Ahmad Ismail

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sekali lagi membuktikan bahawa budaya membaca masih hidup subur dalam masyarakat kita. Ribuan pengunjung yang majoritinya Adalah orang Melayu membanjiri ruang pameran, menjadikan acara ini bukan sekadar pesta jualan buku, tetapi satu perayaan ilmu yang merentasi generasi. Kehadiran kanak-kanak, remaja, ibu bapa, pesara, guru, dan pensyarah memperlihatkan kesinambungan minat membaca yang semakin kukuh menandakan bangsa Melayu masih berpaut pada akar ilmu.

Budaya membaca tidak boleh dilihat hanya sebagai alat untuk lulus peperiksaan. Ia mesti menjadi amalan hidup, sumber ilmu akademik dan pengetahuan am, yang meluaskan maklumat serta memperkayakan pemahaman. Dengan membaca, bangsa Melayu mampu membina masyarakat yang kreatif, inovatif, dan berjaya. Membaca melatih minda berfikir secara kritis, menajamkan daya imaginasi, dan membuka ruang kepada idea baharu yang boleh diterjemahkan dalam bentuk penulisan, inovasi, dan kepemimpinan. Fenomena sambutan luar biasa terhadap PBAKL menimbulkan persoalan penting: sejauh mana orang Melayu memanfaatkan pesta buku ini? Kehadiran mereka dalam jumlah besar membuktikan minat membaca bukan sahaja berlaku di sekolah, tetapi turut mendapat sokongan keluarga dan komuniti. Inilah asas yang perlu diperkukuh dan menjadikan membaca sebagai budaya bangsa.

Seorang penulis berbakat lahir daripada budaya membaca yang mendalam. Penulis hebat bukan sekadar bergantung pada bakat semula jadi, tetapi disiplin, ketekunan, dan kreativiti yang diasah melalui pembacaan meluas. Penulis yang mantap biasanya mempunyai disiplin menulis secara konsisten, rakus membaca pelbagai bidang, berani menghasilkan idea segar, empati tinggi terhadap pembaca, penguasaan bahasa yang baik, penyelidikan mendalam, serta keterbukaan menerima kritikan. Budaya membaca melahirkan penulis yang berani berfikir, menghasilkan karya bernas, dan menyumbang kepada pembangunan bangsa.

Sejarah membuktikan bahawa tokoh-tokoh besar Melayu lahir daripada budaya membaca dan menulis. Syed Hussein Alatas, misalnya, menghasilkan karya penting seperti The Myth of the Lazy Native yang membuka minda masyarakat tentang kolonialisme dan mentaliti bangsa. Shahnon Ahmad pula dengan novel Ranjau Sepanjang Jalan mengangkat kisah kehidupan desa penuh getir, menjadikan karya sastera sebagai cermin realiti masyarakat. Arena Wati, A. Samad Said, dan Usman Awang juga melahirkan karya yang kekal relevan kerana mereka membina kekuatan melalui pembacaan mendalam dan penulisan yang berakar pada ilmu serta pengalaman. Semua tokoh ini membuktikan bahawa membaca adalah asas kepada lahirnya penulis berwibawa yang mampu menggerakkan pemikiran bangsa.

Buku bukan sekadar himpunan kertas, tetapi wadah ilmu dan pembentuk tamadun. Membaca buku mengisi gudang ilmu dengan maklumat mendalam, merangsang minda untuk fokus dan daya ingatan, memperkaya kosa kata, melatih pemikiran kritikal, serta menjadi terapi emosi yang mengurangkan stres dan meningkatkan empati. Dengan membaca, bangsa Melayu mampu melahirkan masyarakat yang matang, kritis, dan berdaya saing.

Kerajaan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta universiti mesti memainkan peranan penting dalam memperkukuh budaya membaca. Sokongan kewangan, penerbitan, dan promosi buku perlu digerakkan secara sistematik. Malaysia memerlukan lebih banyak karya ilmiah dan bacaan umum untuk memperkaya sumber ilmu. Budaya membaca dan menulis mesti berjalan seiring, digalakkan secara berterusan, dan dijadikan agenda nasional. Cendekiawan Melayu mempunyai potensi besar untuk menulis, namun mereka perlu diberi dorongan agar menulis tidak dianggap pilihan sampingan, tetapi tanggungjawab intelektual. Dengan sokongan yang betul, lebih ramai penulis berkualiti dapat dilahirkan, sekali gus memperkukuh budaya membaca rakyat.

Statistik daripada Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menunjukkan 88.6 peratus rakyat kini dikategorikan sebagai pembaca aktif, dengan purata 24 naskhah buku setahun. Pecahan bahan bacaan merangkumi 16 naskhah fizikal dan 8 naskhah digital, manakala purata masa membaca ialah sekitar 9 jam 22 minit seminggu. Walaupun angka ini menunjukkan trend positif, cabaran utama ialah persaingan masa dengan media sosial dan hiburan digital. Industri penerbitan pula masih berdepan kekangan, dengan jumlah judul baharu yang belum mencukupi untuk memenuhi keperluan pelbagai kategori pembaca. Oleh itu, pelbagaikan kategori buku — bukan sahaja akademik, tetapi juga bacaan santai, sejarah, novel, dan karya kreatif, agar budaya membaca terus berkembang.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur membuktikan bahawa minat membaca masih hidup dan berkembang dalam kalangan orang Melayu. Cabaran utama kini ialah memastikan semangat ini diterjemahkan kepada pencapaian pendidikan yang lebih tinggi, penghasilan karya yang lebih banyak, dan pembinaan masyarakat berilmu. Jika budaya membaca terus diperkukuh, bangsa Melayu bukan sahaja akan melahirkan pelajar cemerlang, tetapi juga masyarakat yang berjaya, kreatif, inovatif, dan berdaya saing di peringkat global.