Oleh: Ahmad Ismail
Hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera bukan sekadar bergantung kepada dasar kerajaan, tetapi dilindungi secara mutlak oleh Perlembagaan Persekutuan dan institusi Raja-Raja Melayu. Perkara 153 memberikan mandat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak. Kuasa veto Majlis Raja-Raja menjadi benteng perundangan tertinggi, memastikan hak ini tidak mudah digugat oleh sebarang perubahan politik. Hak ini adalah jaminan sejarah, tetapi cabaran sebenar ialah bagaimana ia diterjemahkan kepada penguasaan ekonomi yang berdaya saing di tanah sendiri.

Dengan populasi melebihi 63.6% daripada jumlah rakyat Malaysia, dominasi politik Bumiputera hampir terjamin. Konsensus parti-parti utama menjadikan agenda pemerkasaan Bumiputera sebagai teras kestabilan negara. Dalam sektor awam, 90% jawatan kakitangan kerajaan diisi oleh Bumiputera, menjadikan pentadbiran negara stabil di bawah penguasaan mereka. Walaupun ada desakan meritokrasi daripada bukan Bumiputera, kerajaan mengekalkan struktur sedia ada demi kestabilan pentadbiran. Namun, persoalan besar tetap muncul: adakah dominasi politik dan pentadbiran ini mampu diterjemahkan kepada penguasaan ekonomi yang sebenar?
Dasar kuota seperti 90:10 dalam Program Matrikulasi dan kemasukan eksklusif ke UiTM terus dipertahankan. Namun, kerajaan turut melaksanakan pendekatan hibrid dengan memberi ruang merit kepada pelajar cemerlang tanpa mengira etnik, contohnya jaminan tempat kepada semua pelajar yang memperoleh 10A ke atas dalam SPM. Statistik menunjukkan penglibatan Bumiputera dalam institusi swasta semakin meningkat, dengan enrolmen di IPTS mencecah 35%–45%. Malah, di Sekolah Menengah Persendirian Cina, murid Bumiputera kini membentuk sekitar 2%–5% daripada jumlah pelajar, menandakan keterbukaan baru dalam landskap pendidikan. Pendidikan menjadi jambatan utama antara hak istimewa dan daya saing sebenar.
Pegangan ekuiti Bumiputera di Bursa Malaysia hanya sekitar 7%–18%, jauh daripada sasaran asal 30%. Kebanyakan perniagaan Bumiputera masih berskala mikro dan bergantung kepada kontrak kerajaan atau GLC. Walaupun terdapat intervensi seperti Garis Panduan Pemerolehan Hartanah (PAG) yang menetapkan syarat ekuiti Bumiputera 50% bagi transaksi aset tertentu, pasaran swasta masih didominasi pelabur asing dan bukan Bumiputera. Realitinya, penguasaan 70% ekonomi negara adalah sasaran yang terlalu tinggi dalam jangka masa terdekat.
Dengan 3.7 juta graduan Bumiputera dan kadar penyertaan tenaga buruh graduan mencecah 86%, sasaran 70% penguasaan tenaga kerja mahir dalam sektor swasta menjelang 2035 adalah realistik. Peningkatan TVET, STEM, dan latihan vokasional akan mempercepatkan pengisian tenaga kerja Bumiputera dalam sektor korporat. Jika graduan STEM digerakkan dan penyertaan wanita ditingkatkan, Bumiputera mampu menjadi tulang belakang ekonomi digital dan hijau negara. Strategi pemerkasaan TVET dan STEM di kalangan Bumiputera mesti digiatkan.
Kejayaan Bumiputera boleh diramalkan diramalkan melalui program jangka pendek (2026–2030) dimana Bumiputera terus dominan dalam politik, pentadbiran awam, dan pendidikan, dan jangka sederhana (2030–2040) membolehkan Bumiputera berpotensi menjadi penggerak utama ekonomi digital dan hijau. Ramalan penguasaan 70% ekonomi Bumiputera negara jangka panjang (2040 ke atas) masih sukar dicapai tanpa transformasi besar dalam keusahawanan dan inovasi.
Hak Bumiputera dalam politik, pendidikan, dan pentadbiran awam kekal utuh kerana dilindungi Perlembagaan dan Raja-Raja Melayu. Namun, cabaran sebenar ialah menterjemahkan keistimewaan ini kepada penguasaan ekonomi komersial yang mandiri. Bumiputera tidak boleh sekadar bergantung kepada perlindungan undang-undang. Kejayaan sebenar hanya akan datang apabila mereka berani melangkah ke sektor berkemahiran tinggi, inovasi teknologi, dan keusahawanan global.
Sampai bila Bumiputera boleh berjaya? Jawapannya: sejauh mana keberanian mereka menguasai ekonomi di tanah sendiri. Laluan sudah ada, cuma menunggu penguasaan.

More Stories
Orang Melayu Perlu Berani Berdiri Atas Kaki Sendiri: Mengapa Parti Politik Melayu Perlu Bergerak Secara Mandiri Demi Mempertahankan Perlembagaan Negara
PRU16: Penyatuan politik Melayu dah terlambat
Hawaii, Malaysia dan Hikmah Kepimpinan Tunku Abdul Rahman: Mengapa Kita Tidak Menjadi Seperti Hawaii?