Membina Semula Maruah & Kedaulatan Negara
Apabila Titah Raja Disanjung Rakyat, Tetapi Dipersoal Pelaksanaannya
Forum MPM @ Pinggiran Parlimen Siri Ketiga akan tampil pada saat yang amat kritikal dalam perjalanan negara. Tema yang diangkat, “Membina Semula Maruah & Kedaulatan Negara. Rakyat Sanjung Titah Tuanku”, bukan sekadar slogan, tetapi lahir daripada keresahan rakyat yang semakin jelas melihat jurang antara titah Raja-Raja Melayu dengan tindakan sebenar pihak berkuasa.
Sejak kebelakangan ini, rakyat menyaksikan beberapa teguran tegas daripada Raja-Raja Melayu dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, merentasi isu moral, kedaulatan undang-undang, bahasa kebangsaan, pendidikan dan rasuah. Teguran ini bukan perkara remeh, ia mencerminkan kegusaran institusi Raja terhadap hala tuju negara.
Persoalannya kini: adakah teguran ini benar-benar didengar, atau sekadar dicatat dalam lipatan hansard dan minit mesyuarat?
Teguran Tegas Raja-Raja: Isyarat Amaran kepada Negara, Murka Tuanku di Selangor: Isu yang Menyentuh Sensitiviti Ummah
Di Selangor, Baginda Sultan telah menyuarakan kemurkaan terhadap dua isu besar, Kompleks Ternakan Khinzir Berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor, dan Hasrat penganjuran pesta LGBT di Hulu Langat.
Kedua-duanya bukan isu teknikal semata-mata. Ia menyentuh akidah, adab, sensitiviti majoriti rakyat, serta maruah negeri yang menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan.
Lebih membimbangkan, Bukit Tagar sering dianggap kawasan yang majoritinya Melayu. Maka timbul persoalan besar, bagaimana projek sebesar ini boleh diluluskan tanpa bantahan awal yang berkesan?
Teguran Tuanku Sultan Nazrin: MKI Jangan Dipandang Ringan
Semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-74 pada 13 Januari 2026, Tuanku Sultan Nazrin menegur secara jelas kerajaan Persekutuan dan Negeri agar setiap keputusan MKI diambil tindakan segera.
Namun, teguran ini membuka satu persoalan mendalam, siapakah yang mengabaikan resolusi MKI selama ini? Adakah kelemahan terletak pada, kementerian berkaitan, kerajaan negeri, agensi pelaksana atau sikap sambil lewa yang telah menjadi budaya?
Jika keputusan MKI tidak dipatuhi, maka di manakah letaknya wibawa institusi agama peringkat kebangsaan?
Teguran Tuanku YDPB Negeri Sembilan: Rasuah & Kelemahan Sistem
Tuanku YDPB Negeri Sembilan pula menzahirkan kebimbangan terhadap isu rasuah yang semakin menjadi-jadi, termasuk beberapa insiden di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilihat terlalu lambat ditangani oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Lebih berat lagi, Baginda menyentuh, kecenderungan sebahagian pihak bersimpati kepada perasuah yang telah disabitkan kesalahan, dan persoalan terhadap sistem pelantikan dalam institusi kehakiman.
Ini bukan kritikan kecil. Ia menyentuh teras keadilan negara. Apabila rakyat mula melihat perasuah diraikan, manakala integriti dipersoalkan, maka rosaklah kepercayaan terhadap sistem.

Teguran SPB Yang di-Pertuan Agong: Tiga Isu Teras Negara
Ketika merasmikan Sidang Parlimen pada 19 Januari 2026, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyampaikan teguran keras terhadap tiga isu utama yang amat serius, Gejala rasuah, khususnya merujuk kepada kes-kes dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), penolakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan oleh kelompok cauvinis dan keperluan memperkasa sistem pendidikan nasional.
Ketiga-tiga isu ini adalah teras kedaulatan negara , pertahanan, identiti nasional, dan pembinaan generasi masa depan.
Respon Kerajaan: Jawapan Teknikal, Persoalan Prinsip
Isu Ternakan Khinzir di Selangor: Teknologi atau Prinsip?
Kerajaan Selangor memberi jaminan bahawa penternak akan menggunakan teknologi moden bagi mengawal pencemaran, serta akan menutup ladang kecil yang bertaburan dan menyatukannya dalam satu kawasan.
Namun rakyat bertanya dengan jujur, perlukah Selangor mengekalkan industri ini? Mengapa Selangor tidak mencontohi Singapura, yang menutup sepenuhnya aktiviti ternakan khinzir dan hanya mengimport daging serta produk berkaitan mengikut keperluan?
Lebih-lebih lagi apabila data menunjukkan:
Penduduk Selangor: 7,363,400 orang
Melayu: 54.4%
Cina: 25.1%
India: 10.4%
Lain-lain: 10.4%
Dengan komposisi ini, mengapa orang Melayu gagal menggunakan kekuatan demografi untuk menolak projek yang jelas mencetuskan kegelisahan majoriti, khususnya di kawasan yang dianggap Melayu?
Adakah kerana, politik kepartian, ketakutan kehilangan kuasa atau hilangnya kesedaran tentang tanggungjawab sebagai majoriti?
MKI: Keputusan Ada, Pelaksanaan Dipersoal
Teguran Tuanku Sultan Nazrin menuntut penelitian serius. Jika keputusan MKI berulang kali diabaikan, maka perlu ada mekanisme pemantauan dan kebertanggungjawaban yang jelas.
Tidak boleh lagi berlaku keadaan di mana, Raja menegur, rakyat bersetuju, tetapi sistem terus beku.
Rasuah & Keadilan: Siapa Dilindungi?
Isu yang dibangkitkan Tuanku YDPB Negeri Sembilan mencerminkan keresahan rakyat biasa, mengapa tindakan terhadap kes rasuah sering perlahan, dan mengapa perasuah dilihat lebih diberi simpati berbanding mangsa sistem?
Jika sistem pelantikan kehakiman turut dipersoalkan, maka ini menuntut reformasi yang lebih berani, bukan kenyataan defensif.
Respon Rakyat: Protes Lemah, Kesedaran Terpecah
Bantahan rakyat Selangor terhadap isu ternakan khinzir dilihat lemah dan tidak tersusun. Ia tidak mencerminkan kemarahan kolektif majoriti.
Sebaliknya, isu penganjuran pesta LGBT telah ditangani lebih tegas hasil tindakan, Pejabat MAIS, Mufti Selangor dan ADUN Hulu Langat.
Ini menunjukkan bahawa apabila ada kepimpinan yang jelas, tindakan boleh diambil. Persoalannya, mengapa tidak konsisten dalam isu lain?
Tindakan MPM: Dari Wacana kepada Tekanan Moral
Forum MPM @ Pinggiran Parlimen Siri Ketiga akan membincangkan tindakan konkrit MPM terhadap keempat-empat Titah Raja-Raja dan SPB ini.
MPM melihat bahawa, Titah Raja bukan sekadar nasihat, tetapi amanah perlembagaan dan suara rakyat yang terpantul melalui institusi Raja.
Jika maruah dan kedaulatan negara mahu dibina semula, maka Raja mesti terus ditegakkan wibawanya, kerajaan mesti berani membuat keputusan berprinsip dan rakyat mesti bangkit dengan kesedaran, bukan sekadar emosi bermusim.
Rakyat telah menyanjung Titah Tuanku. Kini masanya tindakan menyusul, bukan sekadar janji.

More Stories
Antara Zuhud dan Kesesatan, Iktibar Penting Dari Tipu Daya Syaitan Dalam Memahami Tauhid
Sambutan 50 Tahun Persatuan Pegawai Akademik UPM: Lima Dekad Berbakti dan Berilmu
Mr. Trump, When Will This Movie End…