Baru-baru ini, Haji Razak Kassim, Pengerusi Kluster-Kluster Ekonomi di bawah Majlis Perundingan Melayu (MPM), menerima undangan dari Kementerian Ekonomi untuk menghadiri sesi retreat bersama TERAJU di Port Dickson. Sesi ini adalah langkah awal dalam penyediaan dan perbincangan perlaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, atau PuTERA35. Turut hadir mewakili MPM ialah Saudara Syed Zikiri Syed Hassan, Ketua Sekretariat PuTERA35, bersama beberapa NGO yang lain.
Kepulangan kedua-dua wakil MPM ini disambut dengan sesi perkongsian bagi memahami dapatan penting dari retreat tersebut. Keinginan untuk memahami hala tuju pelan ini sangat tinggi, kerana ia bukan sekadar memberi peluang, tetapi juga menyediakan rangka tindakan strategik yang memerlukan kesepaduan dari pelbagai pihak – kementerian, agensi, dan pemain industri.
Dalam sesi retreat ini, Kementerian Ekonomi dan TERAJU bertindak sebagai penggerak utama untuk membina sokongan (“buying-in”) daripada pelbagai kementerian dan agensi, yang penting agar cadangan mereka kelak mendapat sokongan penuh dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja, Pemandu, dan Majlis Ekonomi Bumiputera. Pelan ini bukan sahaja dibentangkan kepada para pemimpin, tetapi juga kepada pemain industri. Mereka yang dapat menyesuaikan diri dengan struktur dan proses PuTERA35 akan lebih berpotensi mencapai kejayaan dalam inisiatif ini.
Namun, seperti pepatah Melayu, “untung sabut timbul, untung batu tenggelam.” Bagi usahawan Bumiputera, kejayaan bukan hanya bergantung pada keberuntungan tetapi pada kemampuan untuk membina hubungan yang berkesan dan “compatibility” dengan agensi yang terlibat. Tidak semua akan timbul seperti sabut, tetapi bagi mereka yang mampu, peluang ini adalah satu anugerah. Begitulah setiap agensi berkaitan Bumiputera, yang saban tahun melaporkan pencapaian KPI hasil kolaborasi dengan pemain industri.

Selepas retreat, MPM telah mengatur pertemuan antara wakil-wakilnya dengan seorang tokoh UMNO untuk memahami sudut pandang politik terhadap PuTERA35. UMNO, yang asalnya mencetuskan idea untuk Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, tentu punya pandangan strategik tentang pelan ini. Tokoh politik ini menegaskan, walaupun dasar-dasar baru terus diperkenalkan, cabaran sebenar bagi usahawan Bumiputera adalah membina kapasiti yang membolehkan mereka menjadi lebih dari sekadar “sabut yang timbul.”
Menurut pemimpin ini, kejayaan sebagai usahawan Bumiputera memerlukan gabungan “book smart” dan “street smart.” Beliau berkongsi bahawa, dalam perjalanan sebagai seorang pemimpin dan usahawan, kesungguhan, ketabahan, dan kemampuan untuk beradaptasi adalah kunci. Usahawan Bumiputera perlu gigih berusaha dan memiliki iradat serta kudrat untuk berjaya.
Sebagai kesimpulan, nasihat beliau adalah agar setiap usahawan Bumiputera memperkukuhkan daya tahan dan bersedia untuk bersaing, bukan sekadar mengharapkan sokongan semata-mata. Bagi mereka yang mampu menyesuaikan diri dengan agensi PuTERA35, peluang kejayaan adalah tinggi. Namun, bagi yang belum berhasil, usaha dan tekad perlu diteruskan. Agensi Bumiputera akan terus menyokong inisiatif yang ada, tetapi usahawan harus menggandakan usaha dengan menjadi lebih bijak – menggabungkan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan lapangan – dalam menjayakan impian ekonomi Bumiputera.


More Stories
Antara Zuhud dan Kesesatan, Iktibar Penting Dari Tipu Daya Syaitan Dalam Memahami Tauhid
Sambutan 50 Tahun Persatuan Pegawai Akademik UPM: Lima Dekad Berbakti dan Berilmu
Mr. Trump, When Will This Movie End…