April 1, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Ulaşan Buku.Hassan Karim – Perjalanan Hidup (Liku-liku Perjuangan Seorang Aktivis Kiri Melayu Islam).

Minggu lepas seperti biasa apabila berkunjung ke Suria KLCC mengambil kesempatan ke kedai buku terbesar Kinokuniya tujuan meninjau buku yang sesuai untuk dibeli dan dibaca. Mata tertumpu kepada buku bertajuk Hassan Karim terus mengambil dan membaca maklumat ringkas buku di bahagian kulit belakang yang saya kira menarik dan ingin membacanya.

Buku ini mengesahkan perjalanan hidup panjang YB Hassan Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Johor. Beliau terkenal dengan suaranya yang vokal terutama dalam perbahasan di Parlimen. Ada kalanya beliau memberi pendapat yang tidak sehaluan dengan pemerintah. Misalnya baru2 ini beliau menentang usul untuk mengambil tindakan RCI terhadap Tun Dr Mahathir berkaitan isu Batu Putih. Akhirnya usul itu ditangguhkan.

Masih teringat dua tahun yang lalu pertemuan saya dengannya ketika dijemput oleh Raja Ahmad Aminullah atau Pak Engku (old boy MCKK) untuk turut sama dalam acara Pembacaan Puisi di The Strand Mall Kota Damansara.

Sebelum acara bermula YB Hassan datang sambil menghulurkan tangan bertanya “Apa khabar Cikgu?” Jawab saya “Alhamdulilah sihat.” Dalam hati saya tertanya2 bagaimana YB ini mengenali saya sedangkan saya bukan aktivis politik atau pun pernah menyertai mana2 parti politik! Selepas itu Beliau melanjutkan perbualan menyatakan bahawa pernah bertemu saya suatu ketika dulu semasa menjadi pengetua MC kerana anaknya pernah bersekolah di sana. “Di mana anak sekarang?” ujar saya. “Dia dah jadi akauntan dan dah ada anak.” “Sampaikan salam saya kepadanya nanti.” Meneruskan perbualan saya beritahu sering mengikuti aktivitinya terutama dalam sidang Parlimen melalui Tik Tok. Beliau hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih.

Dalam majlis itu beliau berbicara kisah hidupnya secara ringkas terutama semasa aktif dalam kesatuan pelajar di kampus dan diikuti pembacaan sebuah puisi yang menarik. Saya pula menyampaikan ulaşan buku bertajuk ‘IKIGAI – Rahsia orang Jepun untuk kehidupan bahagia dan panjang usia’ tulisan Garcia & Miralles.

Buku tulisan Hassan Karim ini amat menarik untuk dibaca. Ia mengisahkan perjalanan hidup sejak dari kecil hingga kini. Cacatan beliau turut memberi pendapat dari sudut pandangan tajam terhadap beberapa isu politik di tanah air. Pengalaman yang luas dalam arena politik bermula di kampus akhirnya menjadi aktivis politik yang disegani oleh rakan dan lawan. Beliau tidak gentar melontarkan pandangannya walaupun ada ketikanya bertentangan arus dengan parti yang diwakilinya.

Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Undang2 daripada Universiti London dan CLP Malaysia. Memiliki firma guaman Hassan Karim & Co yang turut memberi perkhidmatan guaman kepada orang ramai yang memerlukannya.

Buku setebal 319 muka surat diterbitkan oleh Strategic Information and Research Development Centre. Amat sesuai dibaca oleh orang awam termasuk golongan pesara, pelajar dan siswa yang ingin turut merasai pengalaman panjang seorang tokoh politik yang terkenal di tanah air.
Tamat.

Alimuddin Md Dom

4hb Februari 2026.