Oleh: Ahmad Ismail FASc
Sejak merdeka pada tahun 1957, politik orang Melayu menjadi teras kepada pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat. Namun, lebih enam dekad berlalu, persoalan besar masih berlegar: sejauh mana orang Melayu benar-benar bersatu untuk memimpin negara dengan integriti dan visi yang jelas? Perpecahan politik yang berulang-ulang telah melemahkan kuasa bangsa sendiri, menjadikan penyatuan politik Melayu bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan mendesak untuk memastikan hala tuju negara kekal selari dengan semangat asal kemerdekaan.
Pemimpin Melayu seharusnya tampil di barisan hadapan dalam membangunkan bangsa melalui pendidikan berkualiti, penguasaan ekonomi, dominasi dalam bidang korporat dan perniagaan, serta kesejahteraan rakyat. Rukun Negara yang menegaskan Islam sebagai agama Persekutuan mesti dijadikan panduan utama. Sebagai umat Islam, orang Melayu perlu menunjukkan kualiti sebenar seorang Muslim dalam kepimpinan, keadilan, dan kesejahteraan negara. Kepimpinan berlandaskan nilai Islam akan melahirkan masyarakat berintegriti, berdisiplin, dan berdaya saing di pentas global.
Isu Keselamatan dan Geopolitik
Keselamatan negara kini menjadi isu hangat apabila terdedahnya kes rasuah melibatkan Panglima Tentera Darat. Institusi pertahanan yang sepatutnya menjadi benteng utama tidak boleh dikompromi dengan kepentingan peribadi. Dalam konteks geopolitik, Selat Melaka dan Laut China Selatan adalah kawasan strategik yang menuntut kawalan rapi. Tambahan pula, ancaman keselamatan siber, teknologi tinggi seperti AI dan dron, serta ketidakpastian maklumat menjadikan cabaran keselamatan semakin kompleks. Orang Melayu sebagai pemimpin negara mesti memastikan pertahanan berada pada tahap tertinggi demi kestabilan politik dan ekonomi.
Cabaran Sosial dan Budaya
Perkembangan budaya songsang seperti LGBT, penggunaan alkohol berlebihan, dan aktiviti sosial yang bertentangan dengan nilai Islam serta budaya Melayu semakin mendapat perhatian umum. Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan identiti bangsa Melayu, tetapi juga mengganggu keharmonian masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sifat sederhana dan saling menghormati. Generasi muda yang berani mencabar tradisi dan adab perlu dibimbing dengan pendidikan agama dan budaya yang kukuh agar tidak hanyut dalam arus globalisasi tanpa sempadan. Undang-undang serta penguatkuasaan baharu mesti disediakan untuk menangani cabaran ini secara sistematik.
Isu Pencemaran dan Penternakan Babi
Perhatian terhadap penternakan babi berskala besar turut menimbulkan kebimbangan. Titah DYMM Sultan Selangor yang menegur isu pencemaran daripada penternakan babi adalah tepat, kerana ia bukan sahaja soal alam sekitar, tetapi juga maruah negara sebagai sebuah negara Islam. Walaupun penternakan babi tidak dihalang, aspek kebersihan, pencemaran, dan sensitiviti masyarakat Islam mesti diambil kira. Isu ini telah berlarutan sejak sekian lama dan masih belum diselesaikan secara tuntas. Orang Melayu mesti membina kekuatan, teknologi, dan mencari penyelesaian terbaik untuk menangani cabaran ini dengan bijaksana.
Jalan Ke Hadapan
Orang Melayu mesti terus memperkasakan semua aspek pendidikan, ekonomi, dan pembangunan sosial. Hanya dengan kekuatan ilmu, penguasaan ekonomi, dan kepimpinan berintegriti, bangsa Melayu akan dihormati dan mampu memimpin negara ke arah keselamatan, kestabilan politik, dan kesejahteraan rakyat seluruhnya. Penyatuan politik, pengukuhan nilai Islam, serta keberanian menghadapi cabaran sosial dan geopolitik adalah kunci untuk memastikan Malaysia kekal teguh sebagai sebuah negara berdaulat dan harmoni. Segala peluang pendidikan, pembangunan ekonomi, dan kesejahteraan hidup yang diwarisi sejak Merdeka mesti dimanfaatkan sepenuhnya demi masa depan bangsa dan negara.

More Stories
Jati Diri Alam Semula Jadi Malaysia: Warisan yang Perlu Dipertahankan
Political Disharmony and Fragmentation As We Approach GE16…
Titah Sultan Bukan Suara Biasa: Derhaka Pada Hikmah, Buruk Padahnya