April 1, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Pertemuan Tak Disangka: Dari Anak Gembala Kambing ke Pejabat Tinggi di Putrajaya

Hari itu saya hadir ke sebuah rumah terbuka Aidilfitri di salah satu kementerian di Putrajaya. Sebenarnya, saya pun tidak tahu anak angkat saya ada di situ. Tapi kuasa takdir dan kebetulan yang sangat indah telah menemukan kami semula setelah sekian lama.

Di sanalah, saya bertemu kembali dengan seseorang yang pernah menjadi sebahagian daripada keluarga saya — Manoharan a/l Periasamy. Kini bergelar Dato’, seorang pegawai kanan kerajaan yang hanya tinggal enam bulan lagi sebelum bersara. Dia bukan sahaja anak angkat saya, tapi juga sahabat, adik, dan teladan buat keluarga saya.

Kami berkenalan sewaktu beliau menuntut di Sekolah Menengah Iskandar Shah, Jasin sekitar tahun 1983/84. Anak kampung biasa, membesar sebagai anak gembala kambing, dari keluarga berbilang kaum — ayah India, ibu berketurunan Cina. Namun sejak awal, saya lihat satu kelainan dalam dirinya: tekun, rajin, dan penuh adab. Tidak pernah membuang masa. Kalau tidak menelaah buku, pasti sedang menyiapkan tugasan.

Selepas tamat tingkatan enam, beliau melanjutkan pelajaran ke UKM dalam bidang Sains Politik (1985–1989). Pada waktu itulah, hampir setiap hujung minggu atau ketika cuti semester, Mano akan datang ke rumah saya di Taman Mulia, Bandar Tun Razak. Dia seperti anak sendiri, lepak, santai dan turut membantu menjaga anak-anak saya — Shahril dan Nurshahniza — yang ketika itu masih bersekolah rendah. Mereka panggilnya abang.

Isterinya, Ema, juga rakan satu universiti, berketurunan Siam/Buddha dari Kedah. Hubungan kami rapat seperti keluarga. Kini mereka dikurniakan dua anak perempuan yang kedua-duanya menuntut di luar negara. Salah seorang telah berkahwin dengan lelaki Mat Saleh — kebetulan, anak perempuan saya juga berkahwin dengan lelaki dari luar negara.

Mano bukan sahaja berjaya secara akademik dan profesional, malah hatinya kekal sederhana. Saya masih ingat katanya, beliau pernah ditugaskan selama 14 tahun di India sebelum kembali ke Putrajaya atas kenaikan pangkat. Sepanjang tempoh itu, beliau terus menggalas amanah dan memberi khidmat terbaik sebagai penjawat awam.

Pertemuan kami semalam begitu mengharukan. Kami tidak dapat menahan rasa emosi. Teringat zaman dahulu, ketika beliau hanya anak kampung menggembala kambing di Jasin. Kini, beliau duduk di kerusi penting di Putrajaya. Alhamdulillah.

Saya juga bersyukur melihat anak-anak saya, Shahril kini menjadi usahawan berjaya dengan kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan sains. Nurshahniza pula seorang pegawai PTD, kini hampir menamatkan pengajian PhD dan bakal kembali berkhidmat untuk negara.

Cerita ini bukan untuk berbangga, tapi untuk menjadi inspirasi. Bahawa latar belakang bukan penghalang, dan keikhlasan serta usaha gigih akan membawa kita jauh. Seperti Mano, anak gembala kambing yang kini menjadi Dato’ di Putrajaya. Dan seperti anak-anak saya, yang membesar dalam kasih sayang yang sama, kini memberi khidmat kepada masyarakat dan negara.

Semoga kisah ini menjadi pedoman untuk generasi muda: jangan malu jadi orang kampung, asal punya impian dan terus bekerja keras. Kerana dalam setiap anak kampung, ada potensi untuk menjadi pemimpin negara.

Sekian, catatan nostalgia dari saya,

Shahbudin Embun.