April 17, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Kuota Import: Membantu Rakyat atau Mengkayakan Kartel?

Dalam dunia yang serba terbuka hari ini, rakyat semakin celik dan mula mempersoalkan dasar-dasar yang kononnya dibuat atas nama ‘maslahah rakyat’, tetapi hakikatnya menguntungkan segelintir elit yang berselindung di sebalik lesen dan kuota.

Baru-baru ini, satu kenyataan tegas dari Presiden Indonesia, Bapak Probowo, telah membuka mata banyak pihak. Beliau mengambil langkah berani dengan menghapuskan sistem kuota import bagi barangan tertentu seperti daging dan barangan keperluan lain yang selama ini dimonopoli oleh kartel. Alasannya cukup mudah tetapi penuh makna: demi rakyat.

Menurut beliau, sistem kuota import selama ini telah menjadi medan bermaharajalela bagi kartel yang menentukan harga, bekalan dan pasaran demi kepentingan peribadi mereka. Rakyat tidak lagi diberi ruang untuk menikmati harga dan kualiti yang sepatutnya, sebaliknya menjadi mangsa permainan pasaran yang dikawal oleh geng-geng eksklusif yang diwarisi turun-temurun.

Malaysia: Kita Bila Lagi?

Kita di Malaysia tidak terlepas daripada masalah yang sama. Lesen import (AP), kuota beras, daging, kereta dan pelbagai barangan asas lain — semuanya seakan menjadi harta pusaka golongan tertentu. Mereka kaya raya bukan kerana inovasi, bukan kerana daya saing, tetapi kerana lesen yang diluluskan atas dasar “dasar”, yang entah untuk siapa.

PMX dan kerajaan hari ini perlu menunjukkan political will yang tinggi. Jika Indonesia dengan 270 juta rakyat boleh melakukan reformasi sebegini, mengapa Malaysia dengan hanya 34 juta rakyat tidak mampu?

Soalnya bukan kemampuan, tetapi kesungguhan. Sudah tiba masanya dasar-dasar yang membenarkan penguasaan kartel ini dihentikan. Biarlah pasaran terbuka, telus dan adil. Biarlah para usahawan yang benar-benar mahu bersaing secara sihat diberi peluang. Dan yang paling penting, biarlah rakyat mendapat manfaat dari segi harga yang lebih rendah dan kualiti yang lebih baik.

Kartel: Dari Peniaga ke Pewaris

Realitinya, kartel-kartel ini sudah terlalu lama memegang baton kekayaan negara. Mereka bukan sahaja mengawal pasaran, malah mewariskan kuota-kuota ini kepada anak cucu mereka. Sistem ini menjadikan persaingan tidak sihat dan membantutkan kemajuan industri tempatan. Rakyat pula terus terbeban dengan harga barang yang tidak munasabah.

Dasar Import Terbuka: Ke Mana Arah Kita?

Kita perlukan dasar import yang lebih terbuka, bukan terbuka sepenuhnya tanpa kawalan, tetapi terbuka secara terancang dan saksama. Tiada lagi lesen khas untuk ‘orang dalam’. Tiada lagi kuota yang diagihkan atas dasar hubungan dan kronisme. Hanya dengan reformasi menyeluruh begini, barulah kita dapat melihat satu pasaran yang sihat, kompetitif dan yang paling penting — mesra rakyat.

Akhir kalam

Sudah tiba masa untuk menamatkan ‘syurga kartel’ di negara kita. Rakyat tidak lagi boleh dibohongi dengan alasan ‘menjaga kestabilan pasaran’ sedangkan yang sebenar terjadi ialah pengkayaan kelompok elit. Jika benar kita mahu menjadi negara maju, kita harus berani menyusun semula asas ekonomi kita, bermula dengan menghapuskan sistem kuota import yang memudaratkan.

Beranilah seperti Bapak Probowo. Demi rakyat. Bukan demi kartel.