Mei 14, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Datuk Bandar Kuala Lumpur: Wajarkah Orang Muda Diberi Peluang?

Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia bukan sekadar pusat pentadbiran, tetapi juga cermin kemajuan negara. Di sebalik pencakar langit dan pembangunan infrastruktur yang gah, wujud satu lapisan masyarakat yang sering dipinggirkan, golongan penjaja jalanan. Mereka ini bukan pencemar bandar, tetapi penyambung warisan ekonomi rakyat, terutama dalam sektor makanan dan perkhidmatan kecil-kecilan.

Persoalannya, adakah pentadbiran sedia ada benar-benar memahami denyut nadi rakyat marhaen ini?

Sudah tiba masanya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur diberi kepada orang muda, yang tidak hanya bijak merancang di atas kertas, tetapi berani turun ke lapangan, memahami realiti, dan berfikir di luar kotak.

1. Orang Muda Lebih Segar, Cekap, dan Progresif

Orang muda kini mempunyai akses kepada teknologi, pendekatan berasaskan data, serta mampu bergerak pantas dalam membuat keputusan. Kita perlukan seorang datuk bandar yang bukan sekadar menghadiri majlis perasmian atau memberi ucapan rasmi, tetapi yang mampu memimpin pasukan DBKL untuk menyusun semula fungsi pentadbiran ke arah penyelesaian yang lebih mesra rakyat.

Bayangkan jika penjaja tidak lagi dilihat sebagai ‘masalah bandar’, tetapi sebagai sebahagian daripada daya tarikan pelancongan dan budaya Kuala Lumpur, dengan sokongan dari pihak berkuasa bandar raya sendiri.

2. Penjaja Jalanan Perlu Dilindungi, Bukan Dihalau

Ramai penjaja yang telah bertapak lebih 10-20 tahun. Mereka membesarkan anak-anak, membayar sewa, malah cukai melalui perniagaan kecil mereka. Tetapi apabila pembangunan tiba, mereka sering menjadi mangsa pengusiran tanpa pampasan adil atau ruang alternatif yang munasabah.

Datuk bandar muda yang peka akan melihat isu ini bukan dari lensa ‘penguatkuasaan’, tetapi dari perspektif keadilan sosial dan pembangunan ekonomi rakyat.

3. Transformasi Digital dan Rekabentuk Bandar Inklusif

Dengan idea baharu, datuk bandar muda boleh memperkenalkan sistem pendaftaran digital untuk penjaja, sistem zon khas dengan kemudahan asas, dan pelan jangka panjang bagi integrasi penjaja ke dalam ekosistem bandar secara sah dan teratur. Di sinilah konsep bandar inklusif perlu diterapkan, bukan sekadar untuk golongan elit dan ekspatriat, tetapi untuk rakyat biasa.

4. Kepimpinan Berdasarkan Empati dan Keberanian

Orang muda hari ini telah terbukti boleh memimpin. Lihat sahaja bagaimana menteri muda seperti Syed Saddiq, Nurul Izzah, dan lain-lain pernah mencetus perubahan dalam bidang masing-masing. Apa yang diperlukan ialah ruang dan kepercayaan.

Menjadi datuk bandar bukan hanya soal pentadbiran, tetapi soal vision, dan kita perlukan seorang yang mempunyai impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar untuk semua, bukan hanya untuk segelintir.

Akhirkata

Sudah tiba masa kita berani keluar dari kepompong tradisi. Kuala Lumpur tidak boleh terus dipimpin oleh pendekatan lama yang hanya berfikir dari sudut peraturan, bukannya penyelesaian. Beri peluang kepada generasi muda untuk memimpin, demi masa depan bandar raya yang lebih adil, lestari, dan bermaruah.