Mei 5, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Orang Melayu Islam dan Isu Alam Sekitar: Dari Bising ke Tindakan

Oleh Ahmad Ismail

Isu alam sekitar kini menjadi topik hangat dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Pencemaran akibat penternakan babi, lambakan barangan elektrik dan elektronik yang tidak dikitar semula, serta pencemaran plastik yang menyesakkan sungai dan laut sering menjadi bahan perbincangan. Suara orang Melayu kedengaran lantang menyalahkan pelbagai pihak. Namun, persoalan yang wajar direnung ialah: adakah cukup sekadar “bising” tanpa tindakan nyata?

Orang Melayu Islam mempunyai asas kukuh untuk mendahulukan agama dan budaya dalam kehidupan seharian. Al-Quran menegaskan bahawa manusia adalah khalifah di muka bumi, dengan tanggungjawab menjaga keseimbangan ciptaan Allah. Menjaga alam sekitar bukan sekadar isu sosial, tetapi juga ibadah. Air dan udara yang diberikan percuma oleh Allah adalah amanah yang mesti dipelihara. Pembaziran makanan, penebangan hutan tanpa kawalan, dan pencemaran sungai bukan sahaja menjejaskan ekosistem, tetapi juga mencerminkan kegagalan manusia menunaikan amanah sebagai khalifah.

Di peringkat global, isu perubahan iklim dan kesihatan planet menjadi perbincangan utama. Orang Melayu Islam tidak boleh ketinggalan dalam wacana ini. Sebagai kelompok yang dilindungi kedudukannya oleh Perlembagaan Malaysia, orang Melayu mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk mendahului dalam menjaga alam sekitar. Kedudukan istimewa ini bukan sekadar hak, tetapi amanah untuk memastikan kesejahteraan negara.

Untuk menyelesaikan masalah pencemaran udara dan air, pendekatan undang-undang mesti dilihat semula secara bersepadu. Undang-undang berkaitan alam sekitar, penggunaan tanah, penempatan, dan pembangunan tidak boleh dilaksanakan secara terpisah. Perancangan mesti mengambil kira keseimbangan ekologi. Penguatkuasa, perancang, dan pembuat polisi ramai terdiri daripada orang Melayu. Ramai lagi orang Melayu Islam yang berpendidikan tinggi di universiti dan jabatan agama. Mereka tidak boleh lagi bekerja secara bersendirian. Universiti yang didominasi oleh orang Melayu Islam mesti proaktif dalam penyelidikan berkaitan alam sekitar dan menterjemahkan ilmu kepada masyarakat.

Majlis Perundingan Melayu dan jaringan NGO Melayu juga perlu memainkan peranan aktif. Tidak cukup sekadar mengeluarkan kenyataan atau pengisytiharaan. Apa yang diperlukan ialah tindakan konkrit, kerjasama strategik, dan kesepakatan untuk menangani isu pencemaran. Seminar, forum, dan bengkel mesti segera dianjurkan dengan melibatkan semua agensi berkaitan bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan masyarakat. Isu pencemaran alam sekitar yang diketengahkan oleh orang Melayu bukan untuk kepentingan satu kaum semata-mata, tetapi untuk faedah seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun banyak pencemaran berpunca daripada aktiviti industri yang didominasi pihak lain, orang Melayu telah lama bersabar dan sanggup berkorban demi kestabilan negara. Contoh jelas ialah pencemaran akibat penternakan babi, kumbahan industri, serta gangguan bekalan air domestik akibat pencemaran sungai dan loji rawatan air. Majlis Perundingan Melayu mesti tampil mencari penyelesaian. Ini bukan isu politik perkauman, tetapi isu bersama yang mesti ditangani dengan segera. Orang Melayu Islam wajib mendahului usaha ini, menjadikannya sebagai ibadah yang menjanjikan ganjaran di sisi Allah.

Kesimpulannya, orang Melayu Islam tidak perlu sekadar bising dalam isu alam sekitar. Sebaliknya, mereka mesti bertindak dengan amanah, bersepadu, dan berpandukan ajaran Islam. Menjaga alam sekitar adalah ibadah, amanah, dan tanggungjawab politik. Dengan kedudukan istimewa dalam negara, orang Melayu Islam mesti mendahului dalam segala hal demi kesejahteraan Malaysia.