Dalam era Malaysia Madani yang kononnya mengangkat prinsip keadilan sosial dan pembangunan seimbang, kita melihat satu lagi episod malang dalam sejarah pembelaan ekonomi Bumiputera, kelemahan TERAJU sebagai agensi utama yang sepatutnya memperjuangkan nasib ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Sejak ditubuhkan, TERAJU digambarkan sebagai pemacu transformasi ekonomi Bumiputera, kononnya menjadi penghubung antara kerajaan dan pemegang taruh Bumiputera. Namun, dalam menghadapi penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), peranan mereka tidak lebih dari bayang-bayang, tidak kelihatan suara tegas, tidak nampak libat urus yang telus, dan yang lebih menyedihkan, gagal menjadikan suara akar umbi seperti Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan badan-badan pemikir Bumiputera sebagai rujukan strategik.
Di Mana TERAJU Ketika Agenda Bumiputera Diperlukan?
Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa ekonomi Bumiputera semakin terpinggir, bukan sahaja dalam pemilikan kekayaan dan aset strategik, tetapi juga dalam sektor teknologi, startup, dan rantaian bekalan global. TERAJU sepatutnya menjadi “mata dan telinga” kerajaan dalam memantau, meneliti, dan mencadangkan solusi dasar yang inklusif dan berpihak kepada Bumiputera. Malangnya, mereka lebih banyak berfungsi sebagai “event organizer” menganjurkan forum, mengangkat slogan, tetapi tidak mengubah struktur.
Lebih menyedihkan, apabila MPM dan pelbagai institusi cendekiawan Melayu menawarkan input dan kerangka strategi untuk RMK13, input ini tidak diangkat secara bermaruah. TERAJU seolah-olah tidak mempunyai keupayaan atau keberanian untuk mendesak supaya suara Melayu diangkat sebagai dasar, bukan sekadar nota kaki dalam dokumen perancangan ekonomi negara.
RMK13: Satu Lagi Peluang yang Terlepas?
Rancangan Malaysia Ke-13 sepatutnya menjadi medan pembetulan, bukan sekadar menyambung legasi dasar lama, tetapi membina semula ekosistem ekonomi Melayu dalam konteks geopolitik dan teknologi baharu. Kita perlu berani menyebut bahawa tanpa kuasa ekonomi, Melayu akan terus menjadi majoriti yang tidak relevan – dijadikan angka tetapi tidak menentukan arah.
Namun, jika input daripada Majlis Perundingan Melayu dan organisasi akar umbi yang memahami realiti lapangan tidak diambil kira, maka RMK13 hanya akan menjadi satu lagi “dokumen cantik” yang gagal mengangkat realiti orang Melayu yang bergelut dengan kos sara hidup, jurang pemilikan ekonomi, dan ketinggalan dalam sektor pertumbuhan tinggi.
TERAJU Perlu Ditata Semula
Sudah sampai masanya TERAJU direformasi, bukan sekadar dari segi struktur, tetapi dari segi semangat perjuangan. Ia mesti dipimpin oleh tokoh yang bukan sekadar teknokrat, tetapi pejuang ekonomi Melayu yang berani, yang faham denyut nadi rakyat, dan yang tidak takut berkata benar kepada kuasa. TERAJU perlu menjadi agensi advokasi ekonomi Bumiputera yang berwibawa, bukan pelaksana program-program yang bersifat tempelan.
Kesimpulan
Melayu tidak meminta keistimewaan yang membuta tuli, tetapi menuntut keadilan berdasarkan sejarah, realiti semasa, dan amanah Perlembagaan. Jika TERAJU tidak mampu menjadi benteng pertama dalam menyuarakan hak dan kepentingan ekonomi Bumiputera dalam RMK13, maka TERAJU telah gagal melaksanakan mandatnya. Dan kegagalan ini bukan sahaja menjadikan agensi itu tidak relevan, malah membuka ruang kepada ketidakseimbangan yang lebih besar dalam struktur ekonomi negara.
Melayu harus bangkit, bukan dengan retorik, tetapi dengan tindakan. Dan tindakan pertama ialah memastikan suara kita tidak ditenggelamkan dalam dokumen-dokumen perancangan yang kononnya inklusif, tetapi sebenarnya mengabaikan akar bangsa.

More Stories
Antara Zuhud dan Kesesatan, Iktibar Penting Dari Tipu Daya Syaitan Dalam Memahami Tauhid
Sambutan 50 Tahun Persatuan Pegawai Akademik UPM: Lima Dekad Berbakti dan Berilmu
Mr. Trump, When Will This Movie End…