April 5, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

MARA Harus Kembali Menjadi Pejuang Martabat Melayu, Bukan Sekadar Pelaksana Program Biasa

Alhamdulillah, kita panjatkan syukur atas usaha serius yang sedang digerakkan untuk memacu Pelan Transformasi MARA ke hadapan. Dalam sesi dua jam bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, pihak pengurusan tertinggi dan Ahli Majlis MARA telah membentangkan pelan strategik yang diharapkan dapat mengembalikan kegemilangan MARA sebagai institusi utama yang memartabatkan agenda Melayu dan Bumiputera.

Namun, transformasi sebenar tidak hanya pada struktur dan tadbir urus korporat. Ia mesti bermula dengan keberanian untuk mendefinisikan semula peranan dan hala tuju MARA sebagai pejuang hak Melayu-Bumiputera, bukan hanya menjadi sebuah agensi perlaksanaan program-program yang akhirnya tidak meninggalkan impak besar kepada masa depan anak bangsa.

Kita tidak boleh terus melihat situasi di mana ramai graduan Melayu MARA akhirnya menjadi penunggang Grab atau penghantar makanan Foodpanda — bukan kerana minat atau semangat keusahawanan, tetapi kerana kegagalan sistem kita menyediakan peluang pekerjaan yang bermaruah dan ekosistem ekonomi yang menyerap kebolehan mereka.

Perjuangan MARA bukan sekadar menaja pelajaran, tetapi menjamin masa depan.

Pelaburan dalam pendidikan MARA mesti diiringi dengan rancangan jangka panjang yang memastikan pelajar yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang akademik tetapi terjamin dari segi kebolehpasaran dan kedudukan ekonomi. MARA harus menyemak kembali pendekatan pengurusan biasiswa, TVET, dan keusahawanan agar lebih strategik dan berkait langsung dengan keperluan industri masa depan, bukan semata-mata mengisi kouta atau menyiapkan laporan tahunan yang sedap dibaca.

Peranan MARA mesti dikembalikan sebagai institusi pembela dan pemacu bangsa.

Transformasi sebenar MARA mestilah bersifat holistik, berani dan bermaruah. Maka, usaha meletakkan tokoh seperti Tan Sri Muhammad Ibrahim untuk mengetuai pasukan khas tadbir urus kewangan, dan Tan Sri Prof. Noor Azlan Ghazali dalam memperkasakan agenda pendidikan dan keusahawanan, adalah langkah yang wajar dan sangat dialu-alukan. Namun mereka juga mesti diberikan mandat dan sokongan politik yang jelas untuk membuat pembaharuan berasaskan merit, integriti, dan visi jangka panjang, bukan untuk mengekalkan sistem sedia ada yang mungkin telah lapuk dan tidak lagi relevan.

Kita berharap Ketua Pengarah MARA yang baharu, Dato’ Zulfikri Osman, dapat memainkan peranan sebagai ketua transformasi sebenar, bukan sekadar pentadbir biasa. Dengan sokongan hampir 18,000 kakitangan MARA di seluruh negara dan 32 anak syarikat di bawahnya, MARA berpotensi menjadi konglomerat pembangunan Melayu paling besar dan berpengaruh di rantau ini — jika diberi hala tuju yang jelas, keberanian membuat keputusan, dan integriti dalam pelaksanaan.

MARA harus kembali menjadi simbol kekuatan Melayu.

MARA bukan milik mana-mana parti politik. MARA adalah milik amanah orang Melayu-Bumiputera. Maka, MARA harus tampil sebagai pejuang kepentingan strategik bangsa, bukan hanya pelaksana kontrak-kontrak kecil yang tidak membawa pulangan sebenar kepada masyarakat. Ia harus menjadi institusi yang berani bersuara, merancang dasar, dan memimpin agenda besar Melayu di medan pendidikan, ekonomi, dan teknologi masa depan.

Jangan biarkan anak bangsa terus hanyut tanpa arah, membawa beg makanan di jalanan sedangkan mereka adalah produk sistem pendidikan MARA yang sepatutnya melahirkan pemimpin, pencipta, dan perancang masa depan negara.

Kini masanya untuk MARA bangkit bukan sekadar menjadi agensi – tetapi menjadi gerakan.