Mei 10, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Jati Diri Alam Semula Jadi Malaysia: Warisan yang Perlu Dipertahankan

Oleh Ahmad Ismail

Malaysia sering digelar sebagai salah satu daripada negara megadiversiti dunia. Gelaran ini bukan sekadar simbol, tetapi pengiktirafan terhadap kekayaan kepelbagaian biologi yang menjadi jati diri alam semula jadi negara. Dari hutan hujan tropika berusia jutaan tahun hingga ke sungai dan muara yang membentuk tamadun awal, alam semula jadi Malaysia adalah nadi sejarah, budaya, dan identiti bangsa.

Hutan dan sungai bukan sekadar ekosistem, tetapi pentas sejarah yang membentuk perjalanan bangsa. Beting Beras Basah dikaitkan dengan Kesultanan Perak, Bukit Melawati dengan Kesultanan Selangor, manakala Sungai Muar, Sungai Lukut dan Sungai Kedah menjadi nadi perdagangan dan tamadun awal. Alam semula jadi adalah saksi bisu kepada kebangkitan kesultanan, perdagangan, dan budaya masyarakat. Namun, aspek ini sering dilupakan dalam naratif sejarah moden.

Malaysia menjadi habitat kepada spesies ikonik seperti Gajah Asia, Tapir Malaya, Harimau Malaya, beruang matahari, seladang, binturong, dan burung enggang yang megah. Burung-burung unik lain turut menghiasi hutan tropika, menjadikan Malaysia pusat penting bagi laluan burung hijrah antarabangsa.

Hutan Malaysia pula menyimpan khazanah flora bernilai tinggi. Pokok meranti, keruing, chengal, balau dan merbau menjadi tonggak industri pembalakan, sementara bunga pakma (Rafflesia) menonjol sebagai bunga terbesar di dunia. Jenis-jenis halia dan tumbuhan herba pula menjadi sumber perubatan tradisional. Flora ini bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi, tetapi juga membentuk sebahagian daripada identiti budaya dan amalan masyarakat.

Di Sabah dan Sarawak, kawasan seperti Imbak Canyon, Maliau Basin, dan Danum Valley menjadi pusat penyelidikan kepelbagaian biologi dunia. Sarawak Delta UNESCO Global Geopark pula menonjolkan kepentingan geologi dan ekologi. Di Semenanjung, Taman Negara yang melibatkan Pahang, Kelantan, dan Terengganu adalah simbol usaha pemuliharaan sejak zaman kolonial. Kompleks hutan simpan Ulu Muda, Belum-Temenggor, Endau Rompin, serta tapak Ramsar seperti Tasek Bera, Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup menjadi bukti komitmen terhadap perlindungan habitat dan laluan burung migrasi.

Hari ini, alam semula jadi Malaysia berdepan ancaman serius. Aktiviti pembalakan haram, penerokaan tanah tanpa kawalan, pencemaran sungai, serta tekanan baharu daripada permintaan mineral nadir bumi (REE) memerlukan penyelesaian. Aktiviti penternakan ikan dan kolam udang di muara sungai dahulu telah merosakkan ekosistem bersejarah. Jika dibiarkan, kerosakan ini bukan sahaja memusnahkan kepelbagaian biologi, tetapi juga menghakis jati diri bangsa.

Dunia kini berbicara tentang pencemaarn bahan kimia merbahaya, perubahan iklim dan kehilangan kepelbagaian biologi. Malaysia, dengan sejarah panjang dalam pemuliharaan, perlu mengangkat semula alam semula jadi sebagai warisan bangsa setara dengan tapak sejarah lain. Tapak Ramsar, taman negara, dan hutan simpan harus dipandang sebagai “muzium hidup” yang menyimpan identiti bangsa. Pendidikan, dasar kerajaan, dan kesedaran masyarakat mesti digerakkan agar alam semula jadi dihargai bukan sekadar sebagai sumber ekonomi, tetapi sebagai warisan budaya dan tamadun.

Jati diri alam semula jadi Malaysia adalah warisan yang tidak ternilai. Ia menghubungkan sejarah kesultanan, budaya masyarakat, dan kelangsungan hidup generasi akan datang. Persoalannya: adakah kita benar-benar menghargai warisan ini, atau membiarkannya hilang ditelan kerakusan ekonomi? Masa depan jati diri bangsa bergantung kepada sejauh mana kita mempertahankan alam semula jadi hari ini.

Konvensyen Sejarah Nasional 2026 dengan tema “Bersama Membina Negara Bangsa”, yang akan diadakan pada 12 dan 13 Mei 2026 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), wajar menjadikan alam semula jadi sebagai fokus baharu dalam pemerkasaan sejarah negara. Kekuatan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada dokumen dan arkib, tetapi juga kepada warisan alam yang membentuk jati diri dan kelestarian tamadun.